Review Filem Mechamato Movie

 

Filem:
Mechamato Movie

Penilaian:
10/10

Pengarah:
Nizam Abd Razak

Pengarah Animasi:
Raja Nukman Raja Mohd Noordin

Genre:
Animasi, Adiwira, Aksi, Pengembaraan & Keluarga

Pelakon Suara:
Armand Ezra Ezal, Muhamad Noradzlan Mohamad Nasir, Ielham Iskandar, Fadhli Mohd Rawi,
Marissa Balqis, Mohd Syabil Syamim, Mohd Fazreen Mohd, Mohd Hazley Abu Bakar, Mohamed Feroz Mohamed Faizal & Etc.  

Pengedar:
Astro Shaw

Tarikh Tayangan:
8 Disember 2022

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan sebuah kapal angkasa misteri terhempas di Bumi dan seorang pemuda bernama Amato telah bertemu dengan robot berkuasa yang bergelar MechaBot. Dengan mengakali MechaBot dan menjadi tuannya, Amato kini boleh menggunakan kuasa unik MechaBot yang membolehkannya untuk Mechanize objek-objek biasa menjadi peralatan yang canggih. Tetapi tanpa pengetahuan mereka, MechaBot sedang diburu oleh alien sibernetik bergelar Grakakus. Saksikan filem animasi Malaysia terbaik tahun 2022 ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 8 Disember 2022 untuk mengetahui kisah seterusnya.

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah menerima jemputan daripada Astro Shaw untuk menonton sebuah filem animasi tempatan yang cukup menarik iaitu Mechamato Movie pada 29 November 2022 yang lepas di GSC Mid Valley, Megamall. Untuk makluman semua, filem ini merupakan filem prekuel kepada siri animasi Mechamato yang sepatutnya ditayangkan pada tahun 2020 tetapi terpaksa ditangguhkan akibat pandemik Covid-19. Dengan kos keseluruhan sebanyak RM30 juta untuk menghasilkan filem dan siri animasi Mechamato ini, kami boleh katakan pelaburan ini bukan sahaja berbaloi tetapi bakal melonjakkan lagi nama Malaysia di persada dunia dalam bidang animasi.

Secara jujurnya, kami belum pernah lagi menonton siri animasi Mechamato di mana-mana saluran berbayar atau di kaca televisyen. Harapan awal kami datang menonton sekadar untuk berhibur dan mengharapkan agar kami memahami keseluruhan cerita yang dipaparkan. Tetapi, kami dikejutkan dengan sebuah penyampaian cerita yang cukup kemas dan bagaimana setiap watak-watak itu diperkenalkan dan dikembangkan adalah sangat menarik dan dekat di hati kami. Kami secara tidak langsung berasa sangat dekat dengan watak-watak utamanya seperti Amato, Mechabot, Pian, Mara, Deep dan banyak lagi kerana setiap watak ini berjaya dibina dengan cukup seimbang dan mudah difahami.

Keistimewaan utama yang memberi kelebihan besar kepada filem ini untuk mudah diterima baik oleh segenap lapisan umur ialah elemen komedinya yang cukup menggeletek hati. Setiap watak animasi di dalam filem ini tidak kira watak utama mahu pun sampingan berjaya membuatkan kami ketawa terbahak-bahak apabila munculnya adegan komedi yang kelihatan sangat spontan dan segar. Sehingga kini kami masih teringat babak-babak lucu melibatkan Amato dan Mechabot, watak Bagogo serta watak pembuli iaitu Bula dan Buli yang memang tidak jemu ditonton berulang kali.

Lawak-lawak yang dipersembahkan pula mempunyai kepelbagaian tersendiri yang mana merangkumi frasa dialog, faktor situasi dan juga nada suara yang melucukan. Ini menjadikan filem animasi ini begitu mudah mendapat tempat di hati penonton walaupun ini adalah pengalaman pertama menonton filem animasi ini.

Tidak dilupakan juga ialah elemen-elemen aksi yang memenuhi sebahagian besar filem Mechamato Movie ini yang berjaya memberikan debaran kepada penonton. Setiap efek serta kesan khas berjaya dihasilkan dengan cukup baik untuk memberi pengalaman yang cukup menggembirakan buat penonton yang gemarkan babak-babak aksi yang memukau seperti yang dipaparkan di dalam filem ini. Kualiti grafik animasi yang dipersembahkan juga cukup untuk membuatkan anda berasa puas melabur wang untuk membeli tiket bagi menonton filem animasi ini nanti. 

Kami juga cukup gembira dengan inisiatif pihak Monsta di dalam memperkenalkan elemen-elemen tradisional dan kemelayuan di dalam filem animasi ini seperti memperkenalkan seni bela diri masyarakat Melayu iaitu silat, permainan tradisional seperti wau dan congkak, aksesori pakaian seperti tengkolok, makanan seperti karipap dan pengangkutan awam iaitu beca. Dibantu pula dengan latar pemandangan berinspirasikan bandaraya Melaka yang cukup memukau membuatkan filem ini pada kami kelihatan serba-serbi lengkap dan hampir sempurna.

Jadi, tahniah kepada 150 orang krew produksi yang terlibat di dalam menghasilkan filem animasi terbaik Malaysia pada tahun 2022 iaitu Mechamato Movie yang ditayangkan bermula pada 8 Disember 2022. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Ialah Sebuah Filem Berjudul ?! Nantikan Ulasan Filem Tersebut Dalam Waktu Terdekat.

Catat Ulasan

0 Ulasan