Review Filem Avatar: The Way Of Water

 

Filem:
Avatar: The Way Of Water

Penilaian:
10/10

Pengarah:
James Cameron

Genre:
Aksi, Pengembaraan & Fantasi

Pelakon:
Sam Worthington, Zoe Saldana, Stephen Lang, Sigourney Weaver, Michelle Yeoh & Etc.  

Pengedar:
Walt Disney Pictures

Tarikh Tayangan:
15 Disember 2022

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan kesinambungan beberapa tahun selepas filem pertama dimana Jake dan Neytiri kini sudah bergelar ibu bapa kepada 4 orang anak dan hidup bahagia. Namun, kedatangan semula orang langit dengan misi untuk kembali menakluk planet Pandora dan menangkap Jake yang dituduh sebagai pengkhianat mereka membuatkan Jake terpaksa bersama keluarganya berhijrah ke sebuah penempatan puak laut. Namun adakah Jake dan keluarganya akan diterima oleh mereka? Sampai bilakah Jake akan melarikan diri daripada ditangkap? Saksikan filem yang cukup mengasyikkan ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 15 Disember 2022 untuk mengetahui kisah seterusnya.

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah menerima jemputan daripada Walt Disney Malaysia untuk menonton sebuah filem yang sememangnya dinantikan oleh ramai pada penghujung tahun 2022 ini iaitu Avatar: The Way Of Water pada 13 Disember 2022 yang lepas di Panggung IMAX 3D TGV Sunway Velocity.


Penantian hampir 13 tahun untuk menyaksikan sekuel filem Avatar iaitu Avatar: The Way Of Water ini sememangnya sangat berbaloi. Perkara pertama yang kami berasa sangat teruja dan ingin memberikan pujian yang cukup besar buat para krew produksi adalah usaha mereka di dalam menghasilkan visual dunia kehidupan puak Na'vi, latar tempat puak laut Metkayina dan kecanggihan teknologi orang langit yang sememangnya sangat mengasyikkan. Imaginasi tahap tinggi yang ada pada mereka semua terutama pengarah James Cameron sememangnya diluar kotak dan faktor ini betul-betul membuatkan kami leka menonton filem yang berdurasi hampir 3 jam 15 minit ini.


Faktor tersebut turut disokong dengan penghasilan visual, teknik imej janaan komputer serta grafik yang cukup mantap untuk memastikan filem Avatar: The Way Of Water ini kelihatan cukup luar biasa. Ketelitian mereka di dalam menghasilkan setiap imej walaupun sekadar objek kecil seperti debu dan percikan api sememangnya wajar diberi pujian yang menggunung. Idea serta imaginasi yang mantap berjaya dipaparkan dengan cukup baik di dalam visual. Berpeluang menonton di dalam format IMAX 3D juga antara salah satu penambah daya tarikan untuk membuatkan kami terpukau dengan apa yang kami tonton muncul di hadapan mata dengan wajah yang betul-betul meyakinkan.


Filem Avatar: The Way Of Water juga turut disokong oleh satu lagi elemen yang diminati oleh majoriti penonton iaitu aksi. Aksi-aksi yang dipaparkan di dalam filem ini bukan semata-mata aksi kosong untuk memuaskan nafsu peminatnya semata-mata tetapi ia disokong kuat oleh plot penceritaan yang membuatkan kami sebagai penonton berasa dekat dengan setiap babak aksi yang wujud di dalam filem ini. Aksi yang penuh dengan debaran ini diperkukuhkan pula dengan permainan emosi yang membuatkan kami seolah-olah berada sendiri di dalam penceritaan tersebut. Sungguh memang mengasyikkan!


Filem Avatar: The Way Of Water juga tidak gagal di dalam menyampaikan kronologi ceritanya yang disusun baik disamping disuntik dengan elemen kekeluargaan yang berjaya bersatu baik dengan penceritaan. Sedikit humor juga turut diselit di dalam beberapa babak disamping kritikan-kritikan sosial tentang pembunuhan hidupan liar, ketamakan manusia demi wang serta perbezaan setiap daripada kita sendiri dari sudut warna kulit, budaya dan cara hidup. Kami sangat yakin untuk menyatakan filem ini sangat berbaloi untuk anda tonton di pawagam yang menawarkan format IMAX 3D kerana anda akan merasai satu pengalaman baru yang cukup berharga dan memuaskan hati.


Jadi, selamat menonton filem Avatar: The Way Of Water yang ditayangkan bermula pada 15 Disember 2022. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Ialah Sebuah Filem Berjudul ?! Nantikan Ulasan Filem Tersebut Dalam Waktu Terdekat. 


Catat Ulasan

2 Ulasan

  1. Alhamdulillah... janji ditepati, review dibacai, heheh. Film² James Cameron tidak pernah mengechewakan. Terima Kasih Hans. Insyaallah akan ditonton dlm IMAX 3D. Amacam... berjaya tahan tanpa ke toilet ke? Heheh...

    BalasPadam
    Balasan
    1. tak rasa nak kencing pun...sedar-sedar dah nak habis.hehehe

      Padam