Review Filem Black Panther: Wakanda Forever

 

Filem:
Black Panther: Wakanda Forever

Penilaian:
8/10

Pengarah:
Ryan Coogler

Genre:
Aksi, Pengembaraan & Fiksyen Sains

Pelakon:
Lupita Nyong'o, Danai Gurira, Martin Freeman,
Letitia Wright, Winston Duke, Angela Bassett & Etc.  

Pengedar:
Walt Disney Pictures

Tarikh Tayangan:
10 November 2022

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan tentang kerajaan Wakanda yang sedang dilanda kesedihan selepas mereka kehilangan raja yang disayangi aitu King T'Chala yang telah meninggal dunia. Rakyat Wakanda bukan sekadar terpaksa menghadapi kesedihan tersebut tetapi kini harus berjuang untuk melindungi kerajaan tersebut daripada ancaman kerajaan bawah laut yang cukup perkasa dipimpin oleh Namor. Mampukah Wakanda yang sedang berada di ambang kelemahan berhadapan dengan serangan Namor? Saksikan filem yang cukup menarik ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 10 November 2022 untuk mengetahui kisah seterusnya.

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah menerima jemputan daripada Walt Disney Malaysia untuk menonton sebuah filem aksi yang sememangnya dinantikan oelh ramai peminat filem Marvel iaitu Black Panther: Wakanda Forever pada 9 November 2022 yang lepas di IMAX TGV One Utama.

Selepas sedikit kecewa dengan filem Thor: Love and Thunder yang dilihat terlalu bersifat komersial dan menampilkan lawak-lawak tipikal filem Marvel sebelum ini, kami secara jujurnya mengharapkan filem Black Panther: Wakanda Forever mampu mengubati kekecewaan kami. Melihat kepada trailer filemnya yang cukup menarik, harapan yang kami letakkan kepada filem aksi ini sememangnya cukup tinggi. Keajaiban mula berlaku kerana filem ini berjaya menepati piawaian yang kami harapkan ada pada keseluruhan filem ini yang cukup menakjubkan dan menghiburkan sepanjang 2 jam 50 minitnya ianya berlangsung di skrin pawagam.


Antara perkara yang menarik perhatian kami tentang filem Black Panther: Wakanda Forever ini ialah garapan jalan ceritanya yang cukup kemas dan tersusun. Bagaimana filem ini menerangkan tentang watak dan karakter Namor yang merupakan ketua kepada kerajaan bawah laut iaitu Talokan cukup jelas dan meyakinkan. Jadi, kemunculan watak ini secara drastik pada filem ini tidak lah kelihatan terlalu klise dan ianya mempengaruhi kepercayaan penonton seperti kami untuk menerima hal ini secara terbuka.


Sebelum ini, peminat filem-filem Marvel sendiri sebenarnya mempersoalkan kualiti CGI mahu pun VFX filem-filem sebelum ini yang dilihat semakin lemah dan tidak secantik seperti mana selalunya. Namun, filem Black Panther: Wakanda Forever ini berjaya memadamkan suara-suara tersebut dengan menampilkan latar tempat kerajaan Wakanda dan Talokan dengan visual yang begitu mempesonakan. Imaginasi yang cukup tinggi ini berjaya diterjemahkan ke dalam layar dalam bentuk visual yang membuatkan anda pasti berasa sangat berbaloi melabur wang untuk membeli tiket wayang bagi menonton filem aksi yang menghiburkan ini.


Selain itu, faktor lain yang berjaya membuatkan kami cukup berasa puas menonton filem Black Panther: Wakanda Forever ini ialah ianya berkaitan dengan watak anti hero di dalam filem ini iaitu Namor. Sebagai antara watak antagonis pada dasar awalnya, filem ini bukan sekadar berjaya membina watak ini dengan baik tetapi menjadikan watak ini satu watak yang cukup berkuasa dan cukup hebat beraksi sehingga ke penghujung filem. Berbeza dengan beberapa watak antagonis filem Marvel sebelum ini yang pada awalnya dipaparkan cukup hebat tetapi begitu lemah pada pengakhiran cerita, Namor ditampilkan sebaliknya dan hal ini membuatkan kami berasa cukup puas menyaksikan filem ini.


Bukan sekadar dipenuhi dengan babak-babak aksi yang padat dan mengasyikkan, filem Black Panther: Wakanda Forever ini menampilkan mesej-mesej sindiran yang cukup pedas berkaitan dengan dunia politik antarabangsa masa kini yang pada kami merupakan satu cubaan yang cukup berani tetapi bijak. Selain itu, terdapat banyak kejutan yang disediakan filem ini dimana kami percaya bahawa filem ini merupakan filem Marvel terbaik untuk tahun 2022.


Jadi, selamat menonton filem Black Panther: Wakanda Forever yang ditayangkan bermula pada 10 November 2022. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Ialah Sebuah Filem Berjudul ?! Nantikan Ulasan Filem Tersebut Dalam Waktu Terdekat. 

Catat Ulasan

0 Ulasan