Review Filem Talbis Iblis

 

Filem:
Talbis Iblis

Penilaian:
6/10

Pengarah:
Kabir Bhatia

Genre:
Seram

Pelakon:
Azira Shafinaz, Nasha Aziz, Zul Ariffin, Amir Nafis, Jay Iswazir, Sherie Merlis,
Zaftfarrel Mikhael Felton, Izzy Reef, Daniella Sya, Putri Syahadah Nurjannah & Etc.  

Pengedar:
Astro Shaw

Tarikh Tayangan:
20 Oktober 2022

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan tentang seorang gadis, Hajar yang dihantar ke satu tempat jauh dari ibu kota bagi melahirkan bayinya secara rahsia. Seorang bidan, Mak Ju telah menjaga Hajar sebelum dan selepas bersalin. Namun hakikatnya Mak Ju mempunyai agenda tersendiri dan menyebabkan Hajar dalam bahaya. Saksikan filem seram yang unik ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 20 Oktober 2022 untuk mengetahui kisah seterusnya.

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah menerima jemputan daripada Astro Shaw untuk menonton sebuah filem seram tempatan yang cukup unik berjudul Talbis Iblis pada 12 Oktember 2022 yang lepas di DADI Cinemas, Pavilion Kuala Lumpur.


Filem Talbis Iblis ini merupakan sebuah filem seram tempatan yang agak unik pada pandangan peribadi kami. Walaupun tidak dapat dinafikan filem seram ini tidak dapat lari daripada filem-filem seram lain yang menampilkan babak-babak seram klise yang boleh diramal atau diteka namun naskah ini masih mampu membawa satu pesona baru dimensi seram untuk penonton tempatan. Tidak perlu terlalu berceramah menggunakan ayat-ayat suci agama tetapi cukup dengan sepatah dua dialog yang berjaya membuatkan penonton sedar bahawa permainan syaitan dalam memperdayakan manusia bukan sekadar gurauan dan kebijaksanaan memperdaya manusia yang terlalu tamak atau sangat inginkan sesuatu berjaya dipaparkan dengan cukup baik di dalam filem Talbis Iblis ini.

Lakonan pelakon utamanya iaitu Azira Shafinaz dan Nasha Aziz sememangnya tidak dapat dinafikan cukup berkesan kerana berjaya membawakan aura yang sangat bertepatan dengan karakter masing-masing. Berbeza dengan lakonan Zul Ariffin yang lebih kepada mimik wajah kerana kekurangan dialog dan kelihatan kurang diuji di dalam filem ini. Manakala lakonan pelakon-pelakon lain termasuk pelakon kanak-kanak ada pasang surutnya yang boleh diperbaiki pada filem-filem akan datang.


Jika melihat kepada elemen seram yang ada di dalam filem Talbis Iblis ini pula, kami boleh menyatakan ianya agak seimbang. Ada babak seram yang sememangnya berjaya mengejutkan penonton dengan teknik jump scare yang agak banyak diguna pakai di dalam filem ini. Begitu juga dengan efek khas kemunculan hantunya yang pada kami agak menyeramkan di penghujung filem ini. Namun, efek-efek yang digunakan kepada kemunculan hantu pada awal dan pertengahan filem dilihat kurang kemas dan ianya kelihatan gagal untuk membuatkan kami berasa keseraman tersebut. Selain itu, kami juga cukup terhibur dengan beberapa babak ngeri yang mengejutkan dan cukup menyeramkan dimana ianya berlaku secara tiba-tiba dan kelihatan cukup ekslusif untuk sebuah filem tempatan sebegini.

Susun atur dan kronologi penceritaan filem Talbis Iblis ini juga agak berselirat dan mendapat komen caca merba daripada segelintir penonton. Kami pula berpendapat sebaliknya dimana jika anda fokus menonton filem ini daripada awal sehingga akhir tanpa terlelap maka anda pasti akan memahami kisah filem ini. Cuma ada beberapa persoalan yang masih tidak terjawab dan agak memeningkan kami tentang kaitan watak Hajar dengan hantu tersebut yang dilihat seperti tidak bersatu dengan keseluruhan filem ini. Secara keseluruhan, filem seram Talbis Iblis ini masih menghiburkan untuk ditonton dan ianya merupakan karya tempatan yang wajib dilihat oleh peminat filem seram di pawagam pada tahun ini.


Jadi, selamat menonton filem Talbis Iblis yang ditayangkan bermula pada 20 Oktober 2022. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Ialah Sebuah Filem Berjudul ?! Nantikan Ulasan Filem Tersebut Dalam Waktu Terdekat. 

Catat Ulasan

1 Ulasan

  1. Filem Talbis Iblis ini sebenarnya mempunyai jalan cerita yang komersial. Garapannya bagus, cuma kadangkala dilihat tergesa-gesa dan sangat predictable. Colour grade filem ini juga cantik. Hajar di tangan Azira dikira cemerlang kerana dia terlihat bersungguh-sungguh menjayakan peranan tersebut. Walaupun filem seram, permainan emosi Azira agak maksimum. CGI yang agak berlebihan di dalam filem ini sepatutnya diperkemaskan lagi.
    Bagaimana pun filem ini memang menghiburkan dan memberi message yang baik kepada audiens.

    BalasPadam