Review Filem Shin Ultraman

 

Filem:
Shin Ultraman

Penilaian:
7/10

Pengarah:
Shinji Higuchi

Genre:
Aksi, Pengembaraan & Drama

Pelakon:
Takumi Saito, Masami Nagasawa, Hidetoshi Nishijima & Etc.  

Pengedar:
GSC Movies

Tarikh Tayangan:
6 Oktober 2022

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan kemunculan raksasa gergasi dan ganas yang dikenali sebagai "Spesies Kelas S," kerajaan Jepun telah membentuk SSSP untuk mengkaji dan merumuskan cara untuk mengalahkan mereka. Semasa satu serangan raksasa itu, SSSP terkejut apabila menerima sekutu baru dalam perjuangan mereka menentang raksasa: gergasi perak senyap yang mereka namakan sebagai "Ultraman." Namun, apakah matlamat sebenar Ultraman? Mengapa dia membantu manusia menentang raksasa? Dan bagaimana semua ini berkaitan dengan veteran SSSP Shinji Kaminaga dan perubahan personalitinya yang tiba-tiba selepas menyelamatkan seorang kanak-kanak semasa penampilan pertama Ultraman? Saksikan filem menarik ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 6 Oktober 2022 untuk mengetahui kisah seterusnya.

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah berjaya menonton sebuah filem dari Jepun yang mempunyai ramai peminat di Malaysia iaitu filem Shin Ultraman pada 6 Oktember 2022 yang lepas di GSC IOI Mall Puchong.


Memandangkan Ultraman merupakan antara salah satu kisah adiwira yang kami minati sejak kecil jadi kami memang sangat teruja untuk menonton filem Shin Ultraman ini sebagai salah satu cara mengenang kembali nostalgia lama. Pada asalnya, kami tidak lah mengharapkan filem ini akan membuatkan kami rasa terpesona jauh sekali meletakkan harapan yang cukup tinggi kepada karya ini. Namun filem ini berjaya membuatkan kami terkejut dengan intipati ceritanya yang cukup berani menyentuh dan mengkritik dasar politik dan hubungan Jepun dengan negara-negara kuasa dunia lain seperti Amerika Syarikat. Menarik kerana ia bukannya sekadar sebuah filem kosong yang memaparkan pertarungan antara Ultraman dan Kaiju semata tetapi ianya lebih daripada itu. Lebih menarik apabila melihat bagaimana orang-orang yang memegang tampuk kuasa sanggup berbuat apa sahaja gara-gara tamak untuk mengekalkan kuasa sehingga menyebabkan pelbagai masalah lain timbul. Ini yang membuatkan filem ini cukup unik daripada pemerhatian kami.

Banyak juga benda menarik lain yang kami lihat daripada filem Shin Ultraman ini. Antaranya lumrah manusia yang bersikap tamak. Kesilapan lama sering diulangi oleh manusia membuatkan mereka ini tidak serik ditipu. Sakit hati juga bila tengok orang-orang atasan senang sangat ditipu dalam filem ini. Sabar sahajalah.


Filem Shin Ultraman yang hanya berdurasi sekitar 112 minit ini dilihat agak terkejar-kejar untuk menampilkan pelbagai konflik sehingga kami melihat watak utama iaitu Kaminaga Shinji yang menjadi Ultraman kelihatan agak tenggelam dalam beberapa babak. Sememangnya menjadi satu gaya untuk filem Jepun menampilkan watak utama pelakon lelaki yang lebih suka bermain emosi dan reaksi wajah berbanding mengungkapkan dialog membuatkan ianya mengambil masa yang agak lama untuk dekat dengan jiwa penonton seperti kami. Berbeza pula dengan watak-watak daripada ahli S-Class Species Suppression Protocool (SSSP) yang lebih dekat dengan tontonan kami kerana pelbagai interaksi berlaku di antara mereka bertiga yang membuatkan kita lebih mengenali watak-watak ini berbanding watak Ultraman itu sendiri.


Selain itu, kami juga agak kagum dengan babak-babak aksi pertarungan di dalam filem Shin Ultraman ini yang pada kami cukup bagis. Efek khas yang digunakan serta teknik imej janaan komputer CGI yang berjaya mengembalikan nostalgia dan pada masa sama kekal relevan dengan imej filem moden yang cuba dipotretkan di dalam filem ini. Cuma ada beberapa adegan yang menampilkan pergerakan Ultraman Shin yang berpusing-pusing nampak sedikit kaku dan melucukan namun ianya masih menghiburkan. Secara keseluruhan, kami sangat terhibur dan puas hati dengan keseluruhan filem Shin Ultraman ini yang memang terbaik.

Jadi, selamat menonton filem Shin Ultraman yang ditayangkan bermula pada 6 Oktober 2022. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Ialah Sebuah Filem Seram Tempatan Yang Cukup Unik Berjudul Talbis Iblis! Nantikan Ulasan Filem Tersebut Dalam Waktu Terdekat. 

Catat Ulasan

1 Ulasan

  1. Dari kanak² lagi siri Ultraman ni saya tonton dlm versi alih bahasa kpd BM. Bila tonton Shin Ultraman ni dlm Bahasa Jepun, rasa pelik pula, heheh...

    BalasPadam