Review Filem Halloween Ends

 

Filem:
Halloween Ends

Penilaian:
2/10

Pengarah:
David Gordon Green

Genre:
Seram

Pelakon:
Jamie Lee Curtis, Andi Matichak, James Jude Courtney,
Will Patton, Rohan Campbell, Kyle Richards & Etc.  

Pengedar:
United International Pictures

Tarikh Tayangan:
13 Oktober 2022

Sinopsis:
Filem seram ini merupakan trilogi terakhir reboot Halloween yang mengisahkan pertembungan terakhir Laurie Strode dan pembunuh bersiri Michael Myers. Mampukah sumpahan Michael Myers pada setiap kali Halloween menjelma dipadamkan di dalam filem kali ini? Saksikan filem ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 13 Oktober 2022 untuk mengetahui kisah seterusnya.

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah menerima jemputan daripada United Internatioal Pictures untuk menonton sebuah filem seram berjudul Halloween Ends pada 11 Oktember 2022 yang lepas di DADI Cinemas, Pavilion Kuala Lumpur.


Filem Halloween Ends ini merupakan trilogi terakhir untuk reboot filem Halloween yang sememangnya dinanti-nantikan oleh ramai peminat filem ini untuk mengetahui kesudahan kisah dan watak pembunuh bersiri paling aneh dan menakutkan iaitu Michael Myers. Namun, keterujaan tersebut seolah-olah lenyap serta merta apabila melihat keseluruhan filem ini yang pada kami agak mengecewakan. Tidak dapat dinafikan filem ini merupakan filem yang paling lemah berbanding dua filem sebelumnya.


Perkara pertama yang cukup mengecewakan kami ialah apabila melihat watak Michael Myers di dalam filem Halloween Ends ini tidak lebih sekadar sebuah watak cameo yang cukup lemah dan tidak dapat berfungsi seperti filem-filem sebelum ini. Kelihatan filem kali ini seolah-olah ingin membina satu watak baru yang seakan-akan sama seperti Michael Myers dan dikembangkan sejak dari awal filem sebelum ianya ditamatkan tiba-tiba pada pertengahan filem sehingga membuatkan kami dan penonton lain tertanya-tanya relevan watak yang dibina dengan cukup konsisten dari awal tanpa arah tuju yang jelas dan kemudian dimatikan begitu sahaja tanpa sebab yang kukuh. Ini adalah antara faktor utama yang sangat mengecewakan.


Suasana sambutan Halloween yang hampir langsung tidak dapat dirasakan di dalam filem Halloween Ends kali ini juga turut menyebabkan rasa suram kepada perasaan kami yang menonton. Ditambah pula dengan begitu banyak adegan keganasan yang dipotong walaupun ianya sangat penting untuk babak-bakak klimaks membuatkan kekecewaan kami semakin terserlah. Sudah dinyatakan klasifikasi filem adalah untuk tontonan 18 tahun dan ke atas tetapi kenapa masih perlu babak-babak ngeri ini dipotong daripada filem? Teruk sangat kah minda penonton Malaysia ini sehingga mereka yang terlibat di dalam urus penapisan filem begitu takut untuk melepaskan adegan-adegan kejam tersebut untuk ditonton oleh kami? Seperti tiada fungsi untuk mengklasifikasikan filem ini untuk tontonan 18 tahun ke atas jika babak-babak sebegitu dibuang daripada filem ini. Secara keseluruhan, faktor-faktor yang kami utarakan di dalam penulisan kali ini membuatkan filem ini gagal menarik perhatian kami untuk berasa gembira mahu pun teruja dengan pengakhiran kisah pembunuh bersiri Michael Myres yang cukup mengecewakan ini.


Jadi, selamat menonton filem seram Halloween Ends yang ditayangkan bermula pada 13 Oktober 2022. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Ialah Sebuah Filem Jepun Yang Cukup Menarik Berjudul Shin Ultraman! Nantikan Ulasan Filem Tersebut Dalam Waktu Terdekat. 

Catat Ulasan

2 Ulasan

  1. Tak sangka film ni mengechewakan. Baru plan nak layan, heheh. Thanks Hans. Nak try film Smile...

    BalasPadam