Review Filem Dreamy Eyes

 

Filem:
Dreamy Eyes

Penilaian:
10/10

Pengarah:
Victor Vu

Genre:
Drama & Romantik

Pelakon (Suara):
Trúc Anh, Tran Nghia, Tran Phong, Khanh Van & Etc.

Pengedar:
GSC Movies

Tarikh Tayangan:
8 April 2021

Sinopsis:
Filem yang latar masanya bermula pada tahun 1961 dan berakhir pada tahun 1990 ini mengisahkan tentang kisah cinta seorang lelaki bernama Ngan yang berasal dari sebuah wilayah terpencil bernama Quang Nam. Ngan sangat meminati seorang wanita bernama Ha Lan sejak mereka berusia 6 tahun lagi. Dia tidak pernah berputus asa untuk mendapatkan cinta daripada wanita tersebut. Mereka berdua cukup rapat dan mesra namun seiring pertambahan usia, hubungan mereka semakin lama semakin menjauh. Ha Lan lebih sukakan kemodenan bandar manakala Ngan pula lebih cintakan suasana kampung halaman. Namun, demi cintanya kepada Ha Lan membuatkan Ngan sanggup merantau ke bandar demi memastikan Ha Lan sentiasa berada disisinya. Namun, segala berakhir apabila Ha Lan jatuh cinta dengan sepupu Ngan yang berasal dari keluarga kaya dan lebih tampan. Walaupun Ngan berasa dikhianati namun dirinya tidak mampu menafikan bahawa cintanya hanya untuk Ha Lan seorang sahaja dan tetap teguh berada di sisi Ha Lan disaat wanita tersebut mengalami pelbagai cabaran dan penipuan di dalam kehidupannya. Adakah cinta Ngan terhadap Ha Lan akan terbalas? Saksikan filem hebat dari Vietnam ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 8 April 2021 untuk mengetahui jawapannya. 


Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah berjaya menonton sebuah filem Vietnam yang sememangnya cukup hebat dan penuh kejutan iaitu Dreamy Eyes. Terima kasih kepada pihak GSC Movies kerana sudi menjemput kami menghadiri tayangan media untuk filem ini yang berlangsung dengan cukup hebat di GSC One Utama pada 5 April 2021 yang lepas. 


Filem Dreamy Eyes adalah antara filem terhebat yang kami telah tonton untuk tahun 2021 buat masa ini. Agak mengejutkan kerana ini merupakan filem Vietnam yang pertama kami tonton dan kualiti yang disajikan sememangnya cukup untuk membuatkan pengkarya tempatan yang sambil lewa celik mata dan berasa malu apabila mereka melihat apa yang filem ini cuba buktikan kepada para penonton yang melabur wang untuk membeli tiket wayang filem ini. Filem ini mungkin kecil di mata sebahagian penonton namun jiwanya sangat besar dan mereka berjaya menyerlahkan jiwa tersebut ke satu tahap yang cukup untuk membuatkan masyarakat disana bangga apabila filem mereka dipuji ramai penonton dari serata dunia.


Walaupun Dreamy Eyes tidak dapat lari daripada tema percintaan yang pada mulanya kelihatan agak klise tetapi sebenarnya ia bijak bermain dengan masa untuk mengembangkan elemen tersebut kepada satu fasa realiti yang mengejutkan dan memang terjadi di sekeliling kita. Keberanian yang cukup luar biasa untuk menterjemahkan kisah realiti cinta sebenar kanak-kanak, remaja dan orang dewasa di dalam naskah ini akan membuatkan penonton mampu merasa dengan baik apa yang mereka saksikan di layar. Pelbagai perasaan yang bercampur baur bakal membuatkan anda sebagai penonton keliru untuk menyatakan siapa yang benar mahu pun siapa yang salah. Inilah kelebihan Dreamy Eyes yang yakin untuk menyatakan kehidupan sebenar bukan lah seindah seperti yang diimpikan. Kekuatan utama filem ini yang bermain dengan kehidupan sebenar pelakon dunia iaitu penghuni bumi itu sendiri yang membuatkan ianya sebuah karya unggul yang mengagumkan.


Pada bahagian pertama filem Dreamy Eyes, kami dihiburkan dengan gelagat Ngan dan Ha Lan sewaktu mereka kecil dan belajar di sekolah. Kisah cinta monyet yang dipaparkan ini sememangnya semanis madu dan ianya dikuatkan lagi dengan latar tempat serta budaya masyarakat Vietnam itu sendiri. Seronok apabila melihat bagaimana keunikan dan kekuatan props yang digunakan serta sedikit unsur humor mewarnai bahagian awal filem ini untuk membuatkan penonton jatuh suka dengan karakter Ngan dan Ha Lan. Kami juga turut kagum dengan kebijaksanaan pembikin filem ini menunjukkan kepelbagaian budaya serta tradisi yang mereka amalkan melalui satu babak yang memaparkan sambutan perayaan kampung yang cukup meriah melalui Ngan dan Ha Lan yang menyertai pesta tersebut. Walaupun babak tersebut pendek namun disitu penonton dipaparkan dengan pelbagai pertunjukan budaya, persembahan tradional serta kreativiti pembuatan barangan cenderamata yang secara tidak langsung membantu meningkatkan industri pelancongan mereka di mata dunia. Nampaknya, Vietnam juga kini hampir berjaya mengikuti daya kreativiti para pengkarya di Korea Selatan. Satu pencapaian yang cukup mengagumkan untuk industri filem Vietnam!


Latar lokasi yang dipilih untuk menghiasi filem Dreamy Eyes ini walaupun tidak banyak namun cukup untuk membuatkan anda jatuh cinta dengan flora dan fauna yang ada disana serta seni reka kawasan-kawasan pelancongan yang wujud disana. Setiap lokasi ini tepat mewakili tempoh waktu babak-babak penceritaan filem itu sendiri dan secara tidak langsung membuatkan kami sebagai penonton menghayati dan menikmati transisi perubahan masa yang disampaikan dengan cukup bertenaga dan meyakinkan. Sinematografi filem ini wajar diberikan pujian kerana ia bukan sekadar menyampaikan kecantikan luaran tetapi juga bersatu dengan kisah filem ini untuk menyampaikan emosi-emosi yang ada pada watak-wataknya. Kami memang jatuh cinta dengan cara filem ini melakukan perkara-perkara tersebut yang pada kami menjadi satu penanda aras yang besar buat karyawan Asean lain untuk menyaingi filem ini.


Apabila filem Dreamy Eyes menjual kisah cinta fiksyen manusia yang mempunyai roh sebenar maka rasa tersebut sampai dengan cukup tepat kepada kami. Menarik untuk melihat bagaimana watak Ngan mewakili frasa sebahagian besar lelaki Asia yang dikatakan tidak romantik dan pemalu beraksi di layar lebar. Watak tersebut hidup bukan sekadar karakter tetapi penjiwaannya yang cukup asli. Gembira juga untuk melihat bagaimana watak tipikal wanita seperti Ha Lan yang pengakhirannya sebenarnya tidak tipikal seperti yang kita selalu fikirkan. Lebih menarik untuk melihat keberanian filem ini memaparkan kisah pencintaan anak gadis terhadap lelaki berusia yang diminatinya. Konflik-konflik yang dicetuskan di dalam filem ini seperti kejutan budaya, kepercayaan kepada lelaki buaya darat serta pilihan teman hidup melalui 5 watak di dalam filem ini sebenarnya cukup untuk membuatkan para penonton rasa cukup tersentuh, hiba dan merasai kesakitan tersebut tanpa perlu dipaksa-paksa.


Pemilihan pelakon yang tepat juga menjadi kunci kepada filem Dreamy Eyes untuk berkembang dengan baik daripada awal sehingga penamat. Kami secara peribadi melihat pelakon-pelakon ini bukan sekadar hebat di dalam pengucapan dialog mahu pun memberi emosi yang bersesuaian dengan suasana adegan pada ketika itu, namun cara pergerakan badan serta bagaimana watak-watak ini berjalan juga berjaya memberi satu aura yang cukup hebat untuk menyampaikan emosi kepada penonton yang menonton. Istimewanya juga kerana filem ini turut menjual lagu-lagu nyanyian penyanyi Vietnam yang cukup hebat. Melodinya sedap! Maksudnya mendalam! Pandangan ikhlas kami ialah Dreamy Eyes merupakan sebuah filem cinta tipikal yang bukannya tipikal seperti yang anda jangkakan. Tonton sehingga tamat dan anda pasti bersetuju dengan kami bahawa filem ini cukup hebat dan tidak hairan apabila ianya tercalon di dalam anugerah-anugerah hebat antarabangsa di luar sana. Sila tonton dan nilai sendiri filem ini!


Jadi, selamat menonton filem Dreamy Eyes ini di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 8 April 2021 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Ialah Sebuah Filem Seram Berjudul The Vigil! Nantikan Ulasan Filem Tersebut Dalam Waktu Terdekat!

Catat Ulasan

0 Ulasan