Review Filem Perempuan Tanah Jahanam



Filem:
Perempuan Tanah Jahanam

Penilaian:
7/10

Pengarah:
Joko Anwar

Genre:
Seram

Pelakon:
Tara Basro, Marissa Anita, Christine Hakim, Asmara Abigail, Ario Bayu & Etc.

Pengedar:
GSC Movies

Tarikh Tayangan:
6 Februari 2020

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan seorang gadis muda bernama Maya yang terselamat daripada percubaan membunuh di bandar dan berpindah ke kampung halamannya selepas mendapat tahu dia mewarisi sebuah rumah di sana. Dia pulang ke kampung itu bersama rakannya Dini tanpa menyedari orang-orang kampung sedang mencarinya untuk membunuhnya demi menghentikan sumpahan yang mengganggu kampung tersebut selama bertahun-tahun. Dia menyedari bahawa dia kini perlu berjuang untuk meneruskan hidup disamping merungkai masa silamnya yang rumit dengan lebih mendalam. Saksikan filem seram yang cukup menarik ini di pawagam berdekatan anda pada 6 Februari 2020 untuk mengetahui kisah seterusnya.

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah menerima jemputan daripada pihak GSC Movies untuk menonton sebuah filem seram dari Indonesia arahan pengarah terkenal Indonesia iaitu Joko Anwar yang berjudul Perempuan Tanah Jahanam yang berlangsung di GSC Mid Valley pada 4 Februari 2020 yang lepas. Kami melihat filem seram terbaru daripada Joko Anwar ini mempunyai kekuatan yang tersendiri walaupun tidak secara keseluruhan dimana masih ada beberapa perkara yang dilihat mengganggu filem ini untuk berdiri sama tinggi atau lebih baik berbanding filem Pengabadi Setan.


Filem Perempuan Tanah Jahanam sememangnya mempunyai plot penceritaan yang kuat, matang serta tersusun dengan baik jika dilihat pada kronologi penceritaan filem ini yang digarap dengan kemas. Permulaan filem ini dimulakan dengan perbualan antara Maya dan Dini sewaktu bekerja lewat malam di kaunter tol jalan raya. Walaupun permulaannya dilihat sedikit perlahan dan agak meleret dengan perbualan yang berjela-jela panjangnya namun kami tertarik dengan diskusi dua watak wanita ini berkaitan dengan hal-hal semasa serta kritikan terhadap isu-isu global terutama berkaitan dengan hal pekerjaan, risiko pekerjaan dan jenis pekerjaan yang melanda seluruh dunia pada masa kini. Selepas perbualan yang agak panjang, filem ini mulai perlahan-lahan memaparkan elemen misterinya melalui seorang pemandu yang berhenti di kaunter tol yang dijaga oleh Maya. Elemen misteri ini semakin bijak dimainkan di saat cemas yang melanda Maya apabila pemandu tersebut mula keluar daripada kereta sambil membawa sebilah senjata. Jadi, persoalan yang ditimbulkan untuk membuatkan penonton berfikir apa sebenarnya terjadi ini dilihat kreatif dan berjaya disampaikan dengan jelas untuk membuatkan kami sebagai penonton semakin teruja untuk mengetahui identiti sebenar seorang wanita bernama Maya ini. 


Kami juga melihat filem Perempuan Tanah Jahanam tidak menunggu lama untuk membawa penonton untuk melihat babak seterusnya tentang perniagaan yang dijalankan oleh Maya dan rakannya Dini di sebuah pasar yang kurang pengunjung hadir membeli-belah atau berbelanja di kawasan tersebut. Masih kekal dengan kritikan sosial yang cukup baik di dalam babak ini, kami juga cukup tertarik dengan percubaan filem ini yang bijak meningkatkan elemen seram dengan memanfaatkan kecemerlangan permainan sudut kamera serta keindahan sinematografi untuk menakutkan atau menipu penonton agar berasa lebih seram. Tidak perlu terlalu bergantung kepada imej-imej hantu atau makhluk halus mahu pun teknik murahan jumpscare, filem Perempuan Tanah Jahanam sememangnya masih berjaya menaikkan bulu roma anda saat tibanya adegan yang tegang, mencemaskan atau menyeramkan hadir di layar perak. Rasa seram dan takut ini hadir sendiri apabila penonton berjaya memahami apa sebenarnya yang cuba disampaikan di dalam filem ini dengan baik.


Filem Perempuan Tanah Jahanam juga dilihat istimewa apabila filem bergenre seram ini cuba menampilkan beberapa adegan gore yang bakal membuatkan penonton tidak senang duduk. Tetapi, adegan gore yang sepatutnya mampu memberikan lebih impak kepada penonton nampaknya tercalar apabila ada beberapa adegan gore di dalam filem ini telah menerima potongan. Hal ini membuatkan penonton seperti kami agak kecewa kerana ianya boleh diibaratkan seperti potong 'stim' kepada kami yang sudah mula teruja menonton adegan-adegan tersebut. Walaupun diakui filem ini bijak mengadun dan membongkarkan misterinya satu persatu kepada penonton terutama pada bahagian pertengahan cerita, namun kami kurang berkenan dengan beberapa perkara lain dimana ia dilihat mencalarkan prestasi filem ini yang sepatutnya menjadi lebih baik. Antara yang menjadi persoalan ialah perihal kelahiran bayi pada tempoh kehadiran Maya dan Dini di kawasan kampung tersebut. Menjadi persoalan yang besar disini apabila setelah hampir 20 tahun lebih dimana sumpahan masih berterusan di kawasan kampung tersebut, masih ramai penduduk kampung yang berani 'membuat anak' walaupun mengetahui tentang sumpahan tersebut yang telah melanda bayi-bayi yang baru lahir sebelum ini. Lebih melucukan ialah setiap malam pasti ada wanita yang bersalin di dalam tempoh kehadiran Maya di kawasan kampung tersebut. Begitu juga dengan masalah kelompongan cerita berkaitan dengan seorang bayi yang masih dibiarkan hidup dan membesar di dalam keadaan sumpahan. Walaupun ada adegan pertemuan dipaparkan namun ianya tidak menyokong kuat sebaliknya membuatkan babak tersebut kelihatan terlalu lemah. Adegan-adegan yang memaparkan kemunculan kanak-kanak misteri terutama pada adegan di rumah lama juga dilihat tidak kuat dan sedikit sia-sia kerana gagal menaikkan momentum penceritaan ke tahap yang lebih cemerlang. Pengakhiran filem ini juga pada kami sedikit klise dan ianya sudah boleh dijangka lebih awal.


Menyentuh tentang bintang-bintang yang terlibat di dalam filem Perempuan Tanah Jahanam ini, kami tidak nafikan semua pelakon utamanya iaitu Tara Basro, Marissa Anita, Christine Hakim, Asmara Abigail dan Ario Bayu memberikan persembahan yang sangat mantap dan bertenaga. Namun, kami melihat pelakon Tara Basro agak tenggelam di dalam babak-babak yang melibatkan dirinya dengan Asmara Abigail. Asmara Abigail dilihat lebih menyerlah jika dibandingkan dengan Tara Basro terutama pada bahagian-bahagian klimaks penceritaan filem ini. Christine Hakim serta Ario Bayu semestinya tidak perlu diragukan lagi kemampuan mereka di dalam menghidupkan watak antagonis Nyi Misni dan Ki Saptadi dimana ianya dilihat menjadi dan berjaya memberi kesan dengan cukup baik. Secara keseluruhan, filem Perempuan Tanah Jahanam mempunyai keistimewaan dan kekuatan dari sudut naratif penceritaannya serta elemen seramnya yang lebih mendidik penonton untuk memahami dan merasai sendiri tahap-tahap seram yang meningkat naik dari awal sehingga akhir. Mesej-mesej serta kritikan tentang kehidupan juga dilihat bagus. Namun, beberapa kelemahan seperti yang kami nyatakan di dalam ulasan ini dilihat membantutkan impian filem Perempuan Tanah Jahanam untuk menjadi sebuah filem terseram Indonesia untuk tahun 2020 ini. 


Jadi, selamat menonton filem Perempuan Tanah Jahanam di pawagam berdekatan anda pada 6 Februari 2020 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Ialah Sebuah Filem Yang Mungkin Mempunyai Tajuk Yang Paling Panjang Pada Tahun 2020 Ini Iaitu Birds Of Prey: And The Fantabulous Emancipation Of One Harley Quinn. Nantikan Ulasannya! 

Catat Ulasan

6 Ulasan

  1. Balasan
    1. ya
      seram dia lain maacam sikit
      kena tonton nanti di pawagam

      Padam
  2. ingatkan hans nak cerita kan apa terjadi pengakhirannya... sebab akak takkan tengok filem seram gini hehehe...

    BalasPadam
    Balasan
    1. tak boleh
      nanti yang baca marah pula sebab bagi spoiler
      hahahaha

      Padam
    2. Alhamdulillah... terima kasih Hans kerana konsisten dgn tidak memberi spoiler kepada semua ulasan yg dikeluarkan, keep it up...

      Padam
    3. tetapi selalunya ada jer spoiler cuma antara perasan dan tidak jer...hahaha

      Padam