Filem:
Birds Of Prey: And The Fantabulous Emancipation Of One Harley Quinn
Penilaian:
7/10
Pengarah:
Cathy Yan
Genre:
Aksi, Pengembaraan & Jenayah
Pelakon:
Margot Robbie, Mary Elizabeth Winstead, Jurnee Smollett-Bell,
Rosie Perez, Chris Messina, Ella Jay Basco, Ewan McGregor & Etc.
Rosie Perez, Chris Messina, Ella Jay Basco, Ewan McGregor & Etc.
Pengedar:
Warner Bros. Pictures
Tarikh Tayangan:
6 Februari 2020
Sinopsis:
Filem ini mengisahkan Harley Quinn yang berada di Bandar Gotham yang kini dibiarkan tanpa pengawasan selepas kehilangan Batman. Harley Quinn yang kini telah berpisah dengan Joker perlu melindungi Cassandra Cain selepas gadis itu terjebak dalam masalah apabila dia menjumpai berlian milik ketua penjenayah Black Mask. Black Canary, Huntress dan Renee Montoya bekerjasama dengan Harley bagi melindungi Cassandra. Saksikan filem yang cukup menghiburkan ini di pawagam berdekatan anda pada 6 Februari 2020 untuk mengetahui kisah seterusnya.
Ulasan:
Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah menerima jemputan daripada pihak Warner Bros. Pictures untuk menghadiri tayangan filem Birds Of Prey: And The Fantabulous Emancipation Of One Harley Quinn yang berlangsung dengan cukup meriah di GSC One Utama pada 4 Februari 2020 yang lepas. Filem Birds Of Prey ini nampaknya menjadi satu lagi tanda aras terbaru buat pihak DC Films di dalam mengangkat kisah watak-watak utama antagonisnya dengan penyampaian yang menarik, unik dan tidak menghukum kejahatan watak itu secara serta-merta.
Filem ini dimulakan dengan teknik penceritaan yang bercampur-campur dimana ia berjaya membuatkan kami sebagai penonton berasa cukup terhibur menyaksikan bagaimana kronologi penceritaannya disusun. Watak Harley Quinn berjaya diceritakan dengan baik walaupun filem ini kerap menggunakan teknik imbas kembali untuk memberi jawapan kepada penonton terhadap beberapa babak yang pada asalnya menimbulkan persoalan yang menarik tentang Harley Quinn itu sendiri. Persembahan Margot Robbie sebagai Harley Quinn sememangnya cukup mengagumkan dan berjaya meninggalkan momen-momen melucukan sepanjang menonton filem ini. Kegilaan watak ini berjaya dihidupkan dengan sempurna dibantu dengan emosi yang kelihatan lahir secara semula jadi sehingga membuatkan penonton sangat dekat dengan jiwa yang sakit kepunyaan seorang wanita yang kelihatan riang dan sentiasa ceria dengan cara kegilaannya yang tersendiri.
Adegan aksi adalah perkara yang cukup menarik dan menjadi kunci kekuatan buat filem ini untuk disukai ramai. Pujian harus diberikan kepada mereka yang terlibat di dalam menyusun dan mereka koreografer aksi yang digabungkan dengan gaya akrobatik yang cukup untuk membuatkan penonton terlopong serta teruja menyaksikan babak-babak pergaduhan mahu pun pertempuran mereka yang sangat 'badas'. Selain itu, kami juga tertarik dengan cara filem ini memaparkan unsur feminin tetapi sama sekali tidak menidakkan atau merendah-rendahkan golongan lelaki. Filem ini cuba mengangkat kaum wanita melalui cara yang tersendiri tetapi ia tidak berlebih-lebihan dan segala-galanya kelihatan lancar dan menjadi.
Filem ini juga sangat dibantu oleh unsur-unsur humor yang komikal dimana pelakon Margot Robbie sememangnya memainkan peranan yang cukup besar di dalam membentuk karakter watak utama yang dipegangnya iaitu Harley Quinn. Komedinya bercampur-campur dimana ada yang kelihatan segar dan ada juga yang dilihat kitar semula. Namun, dibantu oleh elemen-elemen lain seperti tona warna filem yang ceria serta permainan kamera dan suntingan yang kreatif membuatkan segala-galanya kelihatan baru dan menarik perhatian kami. Filem ini menampilkan soundtrack yang sangat mantap dimana ianya sangat membantu menghidupkan suasana filem ini dan sememangnya kena dengan citarasa kami sebagai seorang penonton.
Sememangnya filem ini langsung tidak sesuai untuk tontonan kanak-kanak disebabkan adegan-adegan kejam serta tidak sopan yang melatari hampir 80 peratus filem ini. Selain itu, permasalahan utama filem ini sebenarnya ialah di dalam memberi ruang masa yang adil buat watak-watak utamanya untuk menyerlah atau menyinar dengan baik. Disebabkan terdapat hampir lima watak yang perlu dibangunkan dan diperkembangkan jalan ceritanya yang mana belum lagi mengambil kira watak antagonis yang sedia ada, kami melihat masalah ini sedikit sebanyak mengganggu momentum penceritaan filem ini. Adakalanya watak Harley Quinn sendiri seperti kehilangan saham utamanya apabila ada beberapa bahagian yang melupakan seketika watak ini disebabkan memberi tumpuan kepada perkembangan watak lain yang sepatutnya perlu dipadatkan cara penerangannya. Jika watak protagonis telah dilihat berebut-rebut waktu layarnya, apatah lagi watak antagonisnya yang seakan teratai layu di tasik madu. Watak antagonis Black Mask sebenarnya menarik jika diberi lebih perincian serta waktu layarnya namun apakan daya watak ini juga terpaksa bermain tarik tali dengan masa yang ada padanya. Namun, secara keseluruhan filem Birds Of Prey: And The Fantabulous Emancipation Of One Harley Quinn ini sangat menghiburkan dan berbaloi untuk anda tonton di bulan Februari ini terutama buat para peminat filem keluaran DC Films. Memang terbaik!
Jadi, selamat menonton filem Birds Of Prey: And The Fantabulous Emancipation Of One Harley Quinn di pawagam berdekatan anda pada 6 Februari 2020 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!
P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Ialah Sebuah Filem Berjudul ? . Nantikan Ulasannya!
0 Ulasan