7/02/20

Review Filem The Gentleman


Filem:
The Gentlemen

Penilaian:
7/10

Pengarah:
Guy Ritchie

Genre:
Aksi & Jenayah

Pelakon:
Matthew McConaughey, Charlie Hunnam, Henry Golding, Michelle Dockery,
Jeremy Strong, Eddie Marsan, Colin Farrell, Hugh Grant & Etc.

Pengedar:
TGV Pictures

Tarikh Tayangan:
13 Februari 2020

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan Mickey Pearson yang merupakan seorang ekspatriat Amerika yang menetap di London dan menjadi kaya raya dengan menjual ganja di bandar tersebut. Kini dia merancang untuk menjual empayar ganja yang menguntungkan itu dengan menawarkan nilai USD400 juta kepada kenalan-kenalan Amerikanya. Namun apabila orang lain termasuk gangster dari kartel dadah Oriental mendapat tahu mengenai tawaran itu, mereka mula merancang untuk merampas haknya. Ia telah menyebabkan pertumpahan darah yang Pearson tidak jangkakan. Saksikan filem yang cukup menarik ini di pawagam berdekatan anda pada 13 Februari 2020 untuk mengetahui kisah seterusnya.

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah menerima jemputan daripada pihak TGV Pictures untuk menghadiri tayangan media untuk filem The Gentleman yang berlangsung di TGV One Utama pada 6 Februari 2020 yang lepas. Sebuah filem yang agak menarik cara penyampaiannya melalui adegan percakapan yang sedikit panjang dan berbelit-belit tetapi diselitkan sesekali dengan aksi-aksi ganas serta perkara-perkara rasis yang menjadi kegemaran pengarah Guy Ritchie seperti mana yang boleh dilihat di dalam filem-filemnya yang terdahulu.


Filem The Gentleman adalah sebuah filem yang sebenarnya bergerak secara pantas dan sama sekali tidak membosankan apabila ia bijak menggabungkan antara imaginasi serta realiti disaat wartawan tamak bernama Fletcher cuba mengugut Ray yang merupakan orang kanan Mickey Pearson dengan percubaan menjual 'skrip filemnya'. Cara penyampaian melalui penceritaan antara dua watak ini bijak diolah dengan cukup kreatif dan adakalanya melucukan apabila sesekali ia kelihatan nakal mengusik penonton dengan adegan yang tidak masuk akal mahu pun adegan 'dummy' yang kena dengan situasi penceritaan. Perlawanan mulut melalui adegan membalas dialog antara Fletcher dan Ray sememangnya merupakan antara kekuatan utama untuk memberi satu momentum positif buat filem ini untuk berkembang sebaik yang mungkin.


Filem The Gentleman juga dilihat sebagai sebuah filem yang berani mengusik sesiapa sahaja yang berpengaruh di dunia nyata dimana ianya bukan sahaja dipenuhi dengan dialog yang berunsurkan rasis semata tetapi berani mengusik golongan Yahudi melalui adegan-adegan yang berunsurkan anti Semitisme. Ia adalah satu keberanian yang cukup mengagumkan buat kami kerana ia disampaikan secara terang tanpa berselindung langsung. Selain itu, filem ini juga tidak dapat lari untuk memaparkan adegan-adegan yang berunsurkan homoseksual, penderaan seksual serta masalah-masalah jenayah yang menjadi 'makanan ruji' di dalam karya-karya Hollywood masa kini. Namun, apabila menyentuh tentang hal-hal berkaitan rasis, seperti biasa ia dipaparkan tanpa ada sebab musabab yang kukuh apabila ia dilihat lebih mengagungkan bangsa kulit putih dan merendahkan golongan Asia amnya. Cuma satu adegan menarik yang boleh dipuji apabila ialah memaparkan adegan antara Coach menerangkan kepada anak buahnya yang berkulit hitam di gelanggang tentang satu perkataan yang berbaur perkauman. Hal itu berjaya dipaparkankan dengan cara yang ringan dan cukup melucukan dimana ia adalah antara adegan menarik yang mempunyai visi yang jelas dalam penyampaiannya.


Filem The Gentleman juga dilihat menarik kerana ia bukan sekadar mempunyai barisan pelakon yang hebat tetapi berjaya memberikan persembahan yang hebat dan kelihatan hidup. Matthew McConaughey dilihat mempunyai pesonanya yang tersendiri di dalam menghidupkan watak Mickey Pearson. Namun, pelakon Charlie Hunnam dilihat sangat menyerlah sebagai pemain watak Ray yang mana watak ini mampu berubah sekelip mata hanya dengan menggunakan bahasa badan. Serius Charlie Hunnam sangat memukau di dalam filem ini. Henry Golding yang lebih dikenali sebagai seorang pelakon romantik juga dilihat berjaya mencabar dirinya sendiri dengan memainkan peranan Dry Eye walaupun tidak terlalu menonjol di dalam filem ini. Namun, seperti biasa filem ini bukan sekadar kekurangan 'bunga' tetapi jelas watak-watak wanitanya kelihatan sedikit tenggelam dimana ia dapat dilihat kepada peranan watak Rosalind Pearson yang dilakonkan oleh Michelle Dockery yang tidak berpeluang menyinar dengan lebih lama di dalam filem ini.


Secara keseluruhannya, filem The Gentleman pada zahirnya adalah sebuah filem aksi jenayah yang bukan lah terlampau luar biasa. Tetapi, ianya adalah sebuah naskah yang menghiburkan dimana elemen unik, kreatif, tidak masuk akal serta perkara yang sia-sia berjaya digabungkan dengan baik untuk membentuk satu adunan yang mempunyai pelbagai rasa di dalam kisahnya. Daripada kisah media, orang Rusia, mayat beku, gangster China, dadah, empayar kuasa, polis insurans, video khinzir dan pelbagai perkara lain menjadikan filem ini berjaya menceriakan penonton-penonton yang inginkan hiburan campuran seperti yang terdapat di dalam filem arahan Guy Ritchie yang terbaru ini.


Jadi, selamat menonton filem The Gentleman di pawagam berdekatan anda pada 13 Februari 2020 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Ialah Sebuah Filem Yang Menarik Berjudul Little Women. Nantikan Ulasannya! 

4 ulasan:

  1. Dah tengok. Memang thumbs up movie. Cuma konfius pada plot akhir. Macamana anak buah coach dapat tahu Mickey Pearson akan diculik oleh someone yang ada kaitan dengan watak Aslan tu.

    BalasPadam
    Balasan
    1. den pun tak berapa nak ingat dah tapi so far memang dalam filem tu dah tunjuk dah macam mana diorang tau

      Padam