Review Filem Little Women


Filem:
Little Women

Penilaian:
9/10

Pengarah:
Greta Gerwig

Genre:
Drama

Pelakon:
Saoirse Ronan, Emma Watson, Florence Pugh, Eliza Scanlen,
Timothée Chalamet, Laura Dern, Meryl Streep
& Etc.

Pengedar:
Sony Pictures Entertainment

Tarikh Tayangan:
13 Februari 2020

Sinopsis:
Filem yang berlatarkan tahun 1860-an di Massachusetts ini mengisahkan kehidupan empat adik beradik perempuan dimana tiga orang daripada mereka iaitu Meg, Jo dan Amy telah berpindah keluar dari rumah keluarga mereka. Banyak perkara yang telah mengubah pandangan mereka tentang kehidupan, keluarga, cinta serta hubungan perkahwinan. Saksikan filem yang cukup menarik ini di pawagam berdekatan anda pada 13 Februari 2020 untuk mengetahui kisah seterusnya.

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah menerima jemputan daripada pihak Sony Pictures Entertainment untuk menghadiri tayangan media bagi filem Little Women yang berlangsung di MBO The Starling pada 7 Februari 2020 yang lepas. Kami sememangnya berasa sangat teruja untuk menonton filem yang tercalon di dalam 5 kategori Oscars 2020 dan dinobatkan sebagai pemenang di dalam kategori Rekaan Kostum Terbaik ini disebabkan pujian yang diterima oleh filem ini sebelum ini daripada para pengkritik yang memberikan maklum balas positif tentang kisah yang cuba dipaparkan. Secara jujurnya, kami sendiri sangat menyukai filem ini yang berjaya memaparkan perspektif setiap watak wanitanya dalam pelbagai cabang feminism yang seronok untuk ditonton.


Filem Little Women ini sebenarnya bijak di dalam bermain dengan latar masa dimana ia menggabungkan serpihan-serpihan kisah empat orang beradik yang datang daripada pelbagai waktu yang berbeza. Menariknya ialah ianya sangat mudah difahami dan kami melihat ianya bukan memberi satu naratif filem yang panjang sebaliknya membuatkan kami lebih faham perbezaan setiap waktu itu dengan lebih mendalam. Bagaimana sambutan Krismas keempat-empat adik-beradik ini dirayakan di dalam keadaan berbeza juga amat menarik kerana ia membawa kami untuk melihat dan mengenali dengan lebih mendalam keempat-empat karakter anak gadis ini dengan cukup baik dan membuatkan kami tidak hilang di dalam kisah-kisah mereka yang bercampur aduk ini.


Filem Little Women ini sebenarnya sentiasa memanfaatkan kekuatan emosi di dalam penceritaannya daripada satu babak kepada satu babak yang lain. Penonton dapat melihat bagaimana empat anak gadis ini mempunyai empat karakter yang berbeza dan saling melengkapi antara satu sama lain. Jo March yang merupakan watak utama di dalam filem ini dilihat membawakan satu mesej yang cukup menarik berkenaan definisi wanita yang cuba dikejar oleh kebanyakan wanita di seluruh dunia iaitu tentang kejayaan yang bakal membuatkan mereka bebas daripada menggalas peranan seorang wanita bergelar isteri mahu pun ibu dimana kejayaan akan memberikan kekayaan dan dengan wang mereka mampu berdikari sendiri tanpa bantuan sesiapa. Namun, menariknya tentang watak Jo ini ialah dirinya berbeza dengan sikap ibu saudaranya iaitu Aunt March yang memilih untuk hidup bujang kerana tidak mahu hartanya serta kebebasannya dikawal oleh manusia bernama lelaki. Walaupun kedua-duanya dilihat seakan-akan sama namun ego gadis bernama Jo March ini sentiasa berada di dalam keadaan yang berubah-ubah membuatkan dirinya sendiri sukar untuk mengenali apa yang dia inginkan di dalam kehidupannya.


Hal ini berbeza dengan watak Amy March yang mempunyai sikap yang sangat bertentangan dengan kakaknya iaitu Jo March. Hal ini berjaya dibuktikan di dalam satu adegan yang sangat beremosi dimana ketegangan yang berlaku antara Amy dan Jo akibat rasa tidak puas hati telah menyebabkan Amy memusnahkan harta kesayangan Jo dan ini juga melambangkan kemusnahan hubungan antara dua adik beradik pada beberapa ketika. Perkara ini juga diperjelaskan lagi di dalam beberapa adegan seterusnya dimana ia memaparkan satu perkara yang menarik tentang wanita berkaitan dengan maaf. Maaf untuk wanita tidak bermaksud mereka melupakan kesalahan yang telah dilakukan oleh orang tersebut dan ahli keluarga juga semestinya tidak terkecuali daripada perkara ini. Hubungan antara Amy dan Jo semakin menarik apabila ianya tiba di bahagian klimaks dimana kami melihat babak tersebut adalah antara babak yang cukup mengujakan kerana ia melibatkan cinta dan mereka berdua sebenarnya tersepit di dalam gegelung masalah tersebut. Namun, ianya berjaya disampaikan di dalam gaya ringan ditambah sedikit suntikan humor untuk menjadikan apa yang dipaparkan di dalam babak tersebut sebagai satu lambang kematangan buat wanita yang berjaya mengasingkan antara kehendak, emosi dan realiti. Memang menarik apabila melihat perspektif tentang wanita-wanita di dalam filem Little Women ini.


Filem Little Women ini juga tidak terlepas untuk menyuarakan tentang kepercayaan wanita berkaitan dengan perubahan kualiti dan taraf hidup mereka akan berubah seandainya pasangan yang dipilih adalah daripada golongan kaya. Ini dapat dilihat kepada kisah hidup watak Meg March yang kerap kali bersuara tentang keinginannya untuk hidup senang bak puteri raja sehingga akhirnya Meg jatuh cinta dengan seorang lelaki. Namun, kehidupannya selepas berkahwin tidak seperti yang dirinya impikan dimana selepas mempunyai dua orang anak, kehidupan Meg dilihat tidak sesenang seperti sebelumnya. Menarik untuk melihat tentang persoalan harga pakaian yang dibelanjakan oleh Meg dan bagaimana suaminya menyuarakan rasa bantahan itu dengan cara yang lembut. Beralih pula kepada satu lagi watak iaitu Beth March, gadis ini juga mempunyai kekuatannya yang tersendiri untuk menarik perhatian penonton kepada kemunculannya. Watak ini dilihat tidak mempunyai banyak kata-kata di dalam adegannya namun kekuatan yang keluar pada frasa dialog perbualannya pasti akan membuatkan anda terharu dan menyayangi watak ini seadanya. Beth adalah pendorong kepada kejayaan watak Jo yang pada akhirnya berjaya menggapai angan-angan yang selama ini dirinya impikan. Secara keseluruhan, filem Little Women membawa penonton untuk melihat pemikiran empat anak gadis yang membesar bersama tetapi berfikir mengikut perspektif wanita yang terbentuk di dalam diri mereka dengan cara penerimaan dan pembinaan rasa yang sangat berlainan antara satu sama lain. Pada kami, filem ini sangat menarik kerana ia membawa penonton untuk menyelami situasi yang realistik yang perlu dihadapi oleh setiap wanita pada setiap tahap umur mereka tanpa mengira era. Sebuah filem yang wajib ditonton!


Jadi, selamat menonton filem Little Women di pawagam berdekatan anda pada 13 Februari 2020 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Ialah Sebuah Filem Bollywood Berjudul Malang. Nantikan Ulasannya! 

Catat Ulasan

0 Ulasan