Review Filem Malang


Filem:
Malang

Penilaian:
5/10

Pengarah:
Mohit Suri

Genre:
Aksi, Romantik & Ngeri

Pelakon:
Aditya Roy Kapur, Disha Patani, Anil Kapoor, Kunal Khemu & Etc.

Pengedar:
Suraya Filem

Tarikh Tayangan:
7 Februari 2020

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan Advait bertemu Sara, seorang gadis London yang pertama kali datang ke India ketika bercuti di Goa. Biarpun mempunyai perwatakan berbeza, kedua-dua mereka mula menjalin hubungan cinta dan hidup bahagia. Kehidupan mereka berubah apabila muncul seorang polis jahat bernama Agashe dan rakan sejawatnya Michael yang mempunyai pertalian dengan mereka. Saksikan filem ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 7 Februari 2020 untuk mengetahui kisah selanjutnya.

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah berjaya menonton sebuah filem  Bollywood berjudul Malang bertempat di TGV Cinemas Jaya Centre pada 8 Februari 2020 yang lepas. Malang merupakan sebuah filem yang mempertaruhkan gabungan kisah cinta dan dendam yang dipaparkan secara serentak menggunakan dua latar kisah yang berbeza. Tidak dinafikan filem ini menghiburkan namun terdapat beberapa perkara yang dilihat mengganggu kelancaran momentum filem ini untuk pergi lebih jauh daripada yang kami jangkakan.


Filem Malang dimulakan dengan pergaduhan watak utama Advait di penjara untuk merebut kembali sebuah gelang tangan yang menjadi penggerak cerita kepada keseluruhan filem ini. Filem ini kemudian kembali membawa penonton untuk mengenali siapa sebenarnya Advait dan bagaimana pertemuannya dengan Sara membibitkan perasaan sayang dan cinta. Latar imbas kembali dan latar kisah terbaru kemudian mulai dipraktikkan disini dimana penonton akan dibawa melihat karakter berbeza dua watak utama iaitu Advait (Aditya Roy Kapur) dan Inspektor Agashe (Anil Kapoor) dimana kedua-kedua ini mempunyai persamaan iaitu seorang yang sangat baik ketika mempunyai orang tersayang dan bertindak menjadi ganas atas motif dendam saat kehilangan individu yang mereka sayangi. Satu perkara yang menarik apabila filem ini memberi satu persoalan berkenaan apa sebenarnya kaitan antara Advait dan Agashe ini dimana pembinaan salah satu daripada watak ini dilihat cuba mengeksploitasi pemikiran penonton untuk menganggap bahawa watak ini adalah antagonis. Namun, sebaliknya berlaku dimana kejutan yang diberikan pada kami agak menarik.


Namun, apa yang membuatkan kami sedikit kecewa berkaitan dengan filem Malang ini disebabkan tiga perkara. Pertama ialah tentang motif utama filem ini iaitu berkaitan masalah kejantan yang aneh. Ia memaparkan masalah seorang lelaki yang mempunyai masalah psikologi dimana keganasan rumah tangga yang berlaku antara ibu bapa menyebabkan si anak tidak mampu melakukan hubungan kelamin sebaliknya lebih berminat kepada keganasan seksual dan ia kemudian diklasifikasikan sebagai dendam kepada wanita. Hal ini diperjelaskan dengan adegan yang sangat samar dan sememangnya tidak meyakinkan langsung pada pandangan kami. Perkara kedua ialah apabila filem ini terlalu mempertaruhkan gaya murahan Hollywood seperti dari sudut seksis serta elemen seksual yang pada kami tidak memberikan apa-apa makna kepada filem ini. Lebih kepada tarikan komersial untuk membuatkan penonton lelaki dan wanita berfantasi tentang pelakon-pelakon di dalam filem ini semata-mata. Perkara ketiga adalah VFX filem ini yang pada kami bukannya semua buruk tetapi ada beberapa adegan yang menggunakan VFX yang dilihat 'lucu' kerana hasil pembikinan yang rendah dan tidak menawan.


Tetapi, filem Malang ini dilihat cemerlang dari sudut persembahan para pelakonnya. Pelakon utama Aditya Roy Kapur dilihat berjaya memberikan persembahan berbeza terhadap watak Advait untuk dua latar masa yang berbeza. Lakonannya sangat hebat dan usahanya di dalam pembinaan fizikal tubuh badan wajar diberi penghargaan. Disha Patani sebagai Sara juga tidak mengecewakan dan berjaya memanfaatkan masa skrin kepunyaannya yang banyak dengan cemerlang. Anil Kapoor juga menghiburkan dengan perwatakannya yang lain daripada biasa. Pelakon Kunal Kemmu yang membawakan watak antagonis sebenar pula pada kami berjaya memberikan kejutan dan boleh dikatakan lakonannya juga cemerlang. Secara keseluruhan, filem Malang ini masih menarik untuk ditonton dimana susunan penceritaannya kemas. Sinematografi filem ini juga cemerlang. Lagu-lagu yang melatari filem ini pula hanya berada di dalam kategori sederhana. Mesej-mesej tentang kekeluargaan juga menarik perhatian. Namun, disebabkan kelemahan-kelemahan yang kami nyatakan sebelum ini menjadikan filem Malang tidak lebih sekadar sebuah filem berbentuk komersial yang mengikut acuan lama dan kuno untuk dipersembahkan kepada penonton pada pengakhiran kisah filem ini. 


Jadi, selamat menonton filem Malang di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 7 Februari 2020 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Ialah Sebuah Filem Komedi Daripada Korea Berjudul Secret Zoo. Nantikan Ulasannya!

Catat Ulasan

0 Ulasan