Review Filem Love Aaj Kal


Filem:
Love Aaj Kal

Penilaian:
6/10

Pengarah:
Imtiaz Ali

Genre:
Drama & Romantik

Pelakon:
Kartik Aaryan, Sara Ali Khan, Randeep Hooda & Etc.

Pengedar:
Antenna Entertainments

Tarikh Tayangan:
14 Februari 2020

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan cinta dua pasangan dari tahun 1990 hingga 2020. Satu pasangan berdepan sekatan masyarakat, sementara satu lagi perlu menyeimbangkan antara kerja dan hubungan mereka. Saksikan filem yang menarik ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 14 Februari 2020 untuk mengetahui kisah selanjutnya.

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah berjaya menonton sebuah filem  Bollywood yang menarik berjudul Love Aaj Kal bertempat di TGV Cinemas Jaya Centre pada 15 Februari 2020 yang lepas. Filem dengan judul yang sama pernah menemui peminat filem Bollywood sekitar tahun 2009 dan nampaknya filem untuk versi tahun 2020 ini dilihat lebih kompleks dan memberi fokus kepada kelemahan manusia di dalam membuat keputusan yang terbaik di dalam hidup mereka. Plot filem ini membawakan dua kisah percintaan yang kelihatan sama tetapi berlatar belakangkan suasana yang berbeza dimana kisah cinta pertama lebih bersifat tradisi manakala kisah cinta kedua pula lebih terarah kepada dunia moden dan urbanisasi. Menarik untuk melihat bagaimana kisah cinta moden ini cuba mempelajari kesilapan yang berlaku pada pengakhiran kisah cinta lama namun pada akhirnya tidak terlepas untuk tetap melakukan kesalahan yang sama. Kami merasakan filem ini mempunyai keunikan yang tersendiri dari sudut mengupas persoalan cinta dua pasangan yang melatari kisah filem ini.


Filem Love Aaj Kal ini dilihat menarik apabila ia membawa penonton untuk melihat persepsi manusia tentang cinta dan kehidupan berumah tangga. Seperti kisah pasangan moden di dalam filem ini iaitu berkenaan watak Veer dan Zoe sendiri yang berbeza dan mempunyai pandangan yang berlainan tentang cinta dan perkahwinan. Menarik untuk melihat pandangan Veer sendiri tentang perkahwinan yang mana dirinya mengasingkan seks daripada tujuan perkahwinan sehingga mencetuskan persoalan menarik buat penonton. Pada akhirnya, penonton akan memahami kenapa kelakuan Veer agak aneh dimana ianya logik dan disokong dengan kisah hubungan ibu bapa Veer yang plastik dan tidak melambangkan kasih sayang yang sebenar. Berbeza pula dengan Zoe yang sejak kecil mindanya telah dipasak tentang kepentingan kerjaya dan keperluan berdikari tanpa mengharapkan ihsan daripada kaum lelaki atau suami. Namun, pertembungan konflik yang menarik mula tercetus saat Zoe menerima lamaran daripada pemilik syarikat korporat terbesar di India yang inginkan Zoe berkahwin dengan cucu mereka. Konflik ini mula menghakis kepercayaan yang dipasak kepada Zoe sebelum ini dan penonton akan dihidangkan dengan persoalan menarik tentang takdir kehidupan serta pilihan hidup sebenarnya adalah satu perjudian yang kita sendiri tidak tahu untung ruginya pasa masa hadapan. Kami melihat ini adalah antara kekuatan istimewa filem ini di dalam memancing perhatian kami terhadap keseluruhan isi cerita filem ini yang unik dan menarik. Cuma bagaimana jalan cerita filem ini menggunakan teknik imbas kembali yang disatukan dengan babak-babak terkini di dalam penceritaannya sedikit mengganggu dan kurang kemas.


Filem Love Aaj Kal ini juga diperkuatkan dengan lakonan yang cukup memukau daripada barisan pelakon utamanya. Sara Ali Khan misalnya memberikan warna keceriaan kepada filem ini dengan kecantikannya. Namun, perkembangan watak Sara dilihat ada turun dan naik dimana ianya tidak cukup kuat untuk membuatkan watak Zoe ini memberikan impak yang berterusan kepada penonton. Begitu juga dengan pelakon Kartik Aaryan yang memegang dua watak dimana wataknya sebagi Raghu dilihat berjaya dikembangkan dengan cukup baik dan penuh dengan perubahan-perubahan sikap yang mengejutkan. Tetapi, kekuatan watak Veer yang dibawakan Kartik dilihat kurang menonjol disebabkan watak ini tidak berpeluang untuk berkembang sebaik mungkin. Namun, pelakon Randeep Hooda yang memainkan peranan sebagi Raghu dewasa telah membuatkan kami berasa cukup teruja dengan cara pelakon ini mengekspresikan perasaan gembira, sedih dan bersalahnya sewaktu sesi bercerita dengan watak Sara. Pelakon ini sepatutnya perlu diberikan lebih masa di dalam penceritaan filem ini kerana lakonannya cukup rasa dan penuh jiwa. Secara keseluruhannya, filem Love Aaj Kal ini menampilkan dua kisah percintaan yang unik dan pastinya menarik untuk anda tonton. Namun, ianya bukan sebuah karya yang terlampau baik untuk diangkat sebagai sebuah filem romantik yang hebat di tahun 2020.


Jadi, selamat menonton filem Love Aaj Kal di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 14 Februari 2020 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Ialah Sebuah Filem Korea Berjudul Hitman: Agent Jun. Nantikan Ulasannya!

Catat Ulasan

0 Ulasan