16/02/20

Review Filem Sonic The Hedgehog


Filem:
Sonic The Hedgehog

Penilaian:
6/10

Pengarah:
Jeff Fowler

Genre:
Pengembaraan & Fantasi

Pelakon:
James Marsden, Jim Carrey, Tika Sumpter, Ben Schwartz & Etc.

Pengedar:
United International Pictures

Tarikh Tayangan:
13 Februari 2020

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan Sonic yang merupakan seekor landak kecil antropomorfik biru yang juga merupakan makhluk asing. Dia sedang cuba meloloskan diri dari penjahat Dr. Robotnik yang merancang untuk menakluk dunia menggunakan kuasanya. Sonic kemudian bekerjasama dengan Tom Wachowski yang merupakan seorang bekas polis San Francisco dimana dirinya baru sahaja dilantik sebagai syerif Green Hills, Montana untuk menentang Dr. Robotnik. Berjayakah mereka menghalang kejahatan Dr. Robotnik? Saksikan filem yang menghiburkan ini di pawagam berdekatan anda pada 13 Februari 2020 untuk mengetahui kisah seterusnya.

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah menerima jemputan daripada pihak United International Pictures untuk menghadiri tayangan media filem Sonic The Hedgehog yang berlangsung di MBO The Starling pada 12 Februari 2020 yang lepas. Filem live-action yang diadaptasi daripada permainan video popular SEGA ini akhirnya menemui peminat-peminat watak Sonic yang sebelum ini mengamuk besar dan sakan mengkritik reka bentuk animasi Sonic yang ternyata kelihatan buruk dan menggerikan serta jauh daripada rupa animasi yang sebenar. Ternyata keputusan menangguhkan tayangan filem Sonic The Hedgehog ini yang sepatutnya ditayangkan pada November 2019 untuk memperbaiki semula kecacatan fizikal Sonic membuahkan hasil apabila ianya kembali mendapat pujian dan menjadi buah mulut para kaki wayang di seluruh dunia. 


Filem Sonic The Hedgehog seperti mana filem-filem yang diadaptasi daripada permainan video terkenal yang lain sentiasa memaparkan jalan cerita yang mudah dan sehala dimana ianya begitu mudah difahami dan bersesuaian dengan sasaran penonton mereka iaitu kanak-kanak tanpa mengabaikan penonton dewasa. Penonton akan diperkenalkan dengan latar belakang watak Sonic sejak permulaan filem lagi dimana walaupun intipati yang disampaikan secara asas namun ia sudah cukup untuk membuatkan penonton mengetahui siapakan Sonic dan kenapakah watak ini menjadi buruan penjahat-penjahat yang inginkan kuasa yang dimilikinya. 


Selain daripada watak Sonic yang menghiburkan, filem Sonic The Hedgehog ini juga berjaya mengubat rindu kami terhadap kemunculan Jim Carrey yang membawakan watak Dr Robotnik. Tidak dinafikan walaupun pada awalnya ramai mempersoalkan kenapa Jim Carrey yang dipilih untuk memegang peranan antagonis ini namun jawapannya sudah ada di depan mata. Kegilaan Jim Carrey adalah kunci utama dimana watak Dr Robotnik ini sangat hidup apabila diberikan roh gila oleh pelakon tersebut. Jenaka serta kejahatan yang bergabung baik membuatkan watak Dr Robotnik ini berjaya menyerlah dengan cemerlang. Sememangnya Jim Carrey adalah pilihan yang tepat!


Kekuatan utama filem Sonic The Hedgehog ini sebenarnya dapat dilihat kepada kualiti grafik serta sinematografi filemnya yang sangat memukau. Wajah Sonic yang telah dibaik pulih sememangnya menawan dan menyamai wajah asli karakter itu sendiri. Kami sendiri terpegun melihat bagaimana babak-babak yang memaparkan planet-planet asing dilihat cukup menyerlah dengan penghasilan makhluk-makhluk serta tumbuhannya yang cukup cantik serta lengkap dengan penataan cahaya yang bagus. Pergerakan, lenggok tubuh serta bagaimana emosi watak Sonic ini dihasilkan juga berjaya dipaparkan dengan baik di skrin yang menjadikan filem ini tidak mengecewakan para peminat animasi ini.


Filem Sonic The Hedgehog ini sememangnya sangat sesuai ditonton oleh kanak-kanak dan pada masa yang sama tidak melupakan golongan penonton dewasa. Masih tidak lupa untuk membawakan mesej serta nilai-nilai murni, filem ini sebenarnya mendidik penonton tentang erti sebenar persahabatan dan kaitannya dengan kesunyian di dalam hidup yang mampu membunuh jika anda mengasingkan diri daripada manusia yang lain. Pada masa yang sama, filem ini juga memberitahu kita agar melihat kembali tujuan kehidupan serta niat di dalam pekerjaan kita untuk memastikan kehidupan yang dilalui berada di dalam fasa-fasa kegembiraan. Walaupun filem ini berada di dalam kategori sederhana namun ianya terbukti memang menghiburkan dan sesuai dikatakan sebagai sebuah filem mesra keluarga untuk ditonton bersama-sama pada hujung minggu ini. Ianya bukanlah sebuah filem yang terlampau hebat tetapi boleh dikatakan lebih bagus berbanding dengan kebanyakan filem adaptasi permainan video yang lain sebelum ini.


Jadi, selamat menonton filem Sonic The Hedgehog di pawagam berdekatan anda pada 13 Februari 2020 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Ialah Sebuah Filem Dari Thailand Berjudul Happy Old Year. Nantikan Ulasannya! 

2 ulasan:

  1. Filem ini nampak ada lawak2 dan action so memang tengah mencari masa untuk menonton filem ini

    BalasPadam
    Balasan
    1. filem nih ditahap sederhana
      enjoyable but dont expect too much lah
      hehehe

      Padam