Review Filem Gadis Jolobu

 

Filem:
Gadis Jolobu

Pengarah:
CL Hor

Penilaian:
1/10

Genre:
Romantik Komedi (Dialek Negeri Sembilan)

Pelakon:
Dato Hattan, Joey Daud, Khir Rahman, Ahirine Ahirudin, Iqaa Rose, Lala Ixora & Etc.  

Pengedar:
GSC Movies

Tarikh Tayangan:
4 Ogos 2022

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan tentang tiga bujang terlajak yang sangat rapat sejak kecil. Mereka dalam usaha untuk mencari jodoh masing-masing di kampung halaman mereka. Sumpahan “Lambat Sunat, Lambatlah kahwin” sering bermain difikiran membuatkan mereka berusaha untuk mencari jodoh walaupun menghadapi pelbagai dugaan. Filem ini turut mengetengahkan beberapa elemen “adat pepatih” dan keunikan budaya Minangkabau masyarakat setempat di Negeri Sembilan. Saksikan filem ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 4 Ogos 2022 untuk mengetahui kisah seterusnya.

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah menerima jemputan daripada GSC Movies untuk menonton sebuah filem romantik komedi berdialek Negeri Sembilan iaitu Gadis Jolobu pada 29 Julai 2022 di GSC The Starling Mall


Secara jujurnya, kami hanya menyukai beberapa elemen sahaja di dalam filem Gadis Jolobu ini. Pertama adalah sinematografi filem ini yang boleh kami katakan agak cantik dan berjaya membawa suasana kampung dengan cukup baik. Kerajinan mengambil banyak sudut-sudut menarik sekitar kampung dan ditambah baik dengan suntingan menjadikan filem kelihatan berwarna-warni dengan warna-warna alam semula jadi. Kedua adalah poster filem ini yang pada kami unik dan mempunyai aura untuk menarik perhatian peminat filem tempatan untuk menonton filem ini di pawagam. Tahniah buat pihak yang menghasilkan poster filem ini. Ketiga adalah unsur komedi yang dicetuskan oleh pelakon Joey di dalam filem ini. Walaupun tidak banyak namun ianya berjaya membuatkan kami terhibur dengan keletah watak yang dilakonkan Joey. Itu sahaja faktor yang berjaya menambat hati kami tentang perkara positif tentang filem ini.


Filem Gadis Jolobu sebenarnya tidak lah terlampau panjang durasi. Sama seperti mana filem-filem tempatan lain sekitar 1 jam 30 minit hingga 1 jam 40 minit seperti itu. Namun, kami merasakan filem ini terlampau panjang disebabkan banyak kelemahan yang wujud di sepanjang penceritaan filem ini. Perkara pertama yang sangat menganggu ialah susunan jalan ceritanya yang berterabur serta tiada langsung hala tuju yang jelas. Pada mulanya, kami menyangkakan filem ini cuba membawakan unsur yang sama seperti mana filem Tiga Janda yang berkonsepkan komedi ala-ala iklan sambutan perayaan namun tekaan kami meleset. Ianya sangat menyimpang jauh dan memang mengecewakan. Setiap konflik yang ditimbulkan kurang memberi impak dan muncul secara tiba-tiba dan hilang tanpa dikembalikan semula. Walaupun tajuk filem ini ialah Gadis Jolobu tetapi percayalah kisah tentang Gadis Jolobu boleh dikatakan langsung tidak ada dan tenggelam entah kemana. Tanggapan awal kami ialah filem ini akan mengangkat Gadis Jolobu sebagai gadis yang ekslusif dan berbaloi untuk dimiliki. Tetapi, apa yang kami lihat sebaliknya. Watak tiga gadis Jolobu di dalam filem ini bukan sahaja jauh untuk diangkat sebagai contoh atau idola yang boleh dibanggakan tetapi kami merasakan watak-watak ini seperti direndahkan martabatnya kerana adegan-adegan berunsurkan seksual yang dimasukkan sememangnya kelihatan janggal dan memalukan.


Lebih memeningkan apabila penglibatan pihak penaja di dalam filem Gadis Jolobu ini terlalu menonjol dan perkara ini telah melemahkan jalan cerita filem ini yang sudah sedia lemah. Terlalu bercerita tentang pihak penaja di dalam beberapa babak yang menyebabkan ianya kelihatan sangat caca marba. Ada juga perkara yang kami tertarik iaitu tentang penggunaan dialek di dalam percakapan semua watak di dalam filem ini namun pertuturan dialek Negeri Sembilan untuk beberapa watak agak lemah. Selain itu, lakonan 3 pelakon utama iaitu Dato Hattan, Joey dan Khir Rahman tiada masalah cuma ianya sukar untuk memberi impak disebabkan peliknya kronologi filem ini disusun dan disampaikan. Namun, lakonan 3 pelakon wanita yang memegang watak sebagai tiga gadis Jolobu sememangnya pada kami agak lemah dan adakalanya reaksi wajah dan pergerakan badan mereka tidak selari dengan tuntutan sesetengah babak. Memaparkan budaya adat pepatih pula sebenarnya agak menarik tetapi ia hanya sepintas lalu. Jadi, sayangnya disini penonton seperti kami yang agak tertarik untuk mengetahui lebih lanjut tetapi impian tersebut hanya sekadar impian kerana filem ini lebih tertumpu untuk memaparkan kisah percintaan tiga pasangan yang tidak berapa sampai. Namun, tahniah kepada semua krew produksi dan para pelakon yang berusaha untuk memberi yang terbaik di dalam filem Gadis Jolobu ini. Kami mengharapkan supaya filem-filem keluaran akan datang daripada produksi ini memberikan lebih tumpuan terutama dari aspek jalan cerita dan lakonan agar karya yang terhasil mampu diterima penonton marhaen dan memberi impak kepada hasil jualan tiket filem anda. 


Jadi, selamat menonton filem Gadis Jolobu yang ditayangkan bermula pada 4 Ogos 2022. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Ialah Sebuah Lagi Filem Tempatan Berjudul Jerangkung Dalam Almari! Nantikan Ulasan Filem Tersebut Dalam Waktu Terdekat. 

Catat Ulasan

0 Ulasan