Review Filem Phantom: The Musical Film

 

Filem:
Phantom: The Musical Film 

Penilaian:
9/10

Pengarah:
Kim Min Jeong

Genre:
Muzikal

Pelakon:
Kyuhyun, Sunhae Im, Shin Youngsook & Etc.  

Pengedar:
GSC Movies

Tarikh Tayangan:
28 Julai 2022

Sinopsis:
Filem yang berlatarkan Paris sekitar penghujung abad ke-19 ini mengisahkan tentang seorang lelaki yang dikurniakan bakat yang hebat di dalam muzik tetapi kehidupannya disumpah dengan pemberian wajahnya yang sangat mengerikan iaitu Erik yang tinggal bersembunyi jauh di bawah Rumah Opera Paris. Apabila Erik mendengar suara yang cukup merdu nyanyian Christine Daaé, dia bertekad untuk menjadikan wanita tersebut sebagai diva terkenal di Rumah Opera tersebut. Secara diam-diam Erik mula memberi ilmu dan mengajar Christine sehingga kemahiran vokal Christine bertambah baik dari hari ke hari. Carlotta yang merupakan diva rumah opera tersebut pula mula berasa cemburu dengan bakat yang ada pada Christine dan mula merangka rancangan untuk merosakkan persembahan sulung Christine. Erik berang dan membalas dendam terhadap Carlotta dengan melancarkan satu siri serangan yang mengubah kehidupannya serta merta pada malam tersebut dengan satu peristiwa yang cukup tragis. Saksikan filem muzikal yang menarik ini di pawagam-pawagam GSC yang terpilih bermula pada 28 Julai sehingga 31 Julai 2022 untuk mengetahui kisah seterusnya.

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah menerima jemputan daripada GSC Movies untuk menonton sebuah filem Korea bergenre muzikal yang cukup menarik iaitu Phantom: The Musical Film pada 19 Julai 2022 di GSC Mid Valley Megamall


Kami memang cukup tertarik dengan filem Phantom: The Musical Film ini yang berjaya memberikan satu pengalaman menonton yang sangat mengujakan dan kelihatan betul-betul realistik di hadapan mata. Ia memberikan satu rasa seolah-olah kami sedang berada di Istana Budaya dan sedang menyaksikan sebuah pementasan teater hebat yang telah menjalani latihan demi latihan dengan masa yang cukup dimana hasilnya adalah sangat mengagumkan.


Walaupun filem ini merupakan adaptasi daripada negara luar namun filem Phantom: The Musical Film versi Korea ini masih berjaya menampilkan budaya-budaya Korea yang unik terutamanya melalui lagu-lagu yang dinyanyikan di dalam bahasa Korea dengan gaya soprano. Memang faktor ini membuatkan filem ini menjadi sangat unik dan ia juga adalah satu pengalaman yang cukup menarik buat kami kerana setiap lagu-lagu di dalam filem ini mempunyai magis dan kemerduan yang tersendiri untuk membuatkan kami turut terbuai-buai dengan penceritaan lirik dan emosi yang disuntik di dalam setiap lagu.


Lakonan dan nyanyian para pelakon yang membarisi filem muzikal Phantom: The Musical Film ini juga wajar diberi pujian. Di dalam nyanyian mereka masih mampu membuatkan kami berasa sebak dengan emosi yang sedih melalui penceritaan yang disampaikan di dalam lagu-lagu nyanyian watak-watak utama ini. Lakonan yang cukup hebat disokong oleh props, busana, pengcahayaan serta kepantasan krew filem ini mengubah set pada setiap adegan menjadikan filem ini sebagai sebuah karya agung Korea yang wajar dibanggakan untuk tahun 2022.


Jadi, jangan lepaskan peluang untuk menonton filem muzikal Phantom: The Musical Film ini jika anda mempunyai peulang untuk menontonnya kerana ianya sangat berbaloi. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Ialah Sebuah Filem Berjudul ?! Nantikan Ulasan Filem Tersebut Dalam Waktu Terdekat. 

Catat Ulasan

1 Ulasan

  1. Teringat zaman sekolah dulu. Buku novel The Phantom of the Opera ni. Baca dan hayati plot nya. Memang best. Kalaulah zaman SPM dulu dah ade movie ni confirm A. Sebab dapat tonton secara live

    BalasPadam