Review Filem Minions: The Rise Of Gru

 

Filem:
Minions: The Rise Of Gru 

Penilaian:
6/10

Pengarah:
Kyle Balda

Genre:
Animasi

Pelakon:
Steve Carell, Taraji P. Henson, Michelle Yeoh, RZA, Jean-Claude Van Damme,
Lucy Lawless, Dolph Lundgren, Danny Trejo, Russell Brand, Julie Andrews, Alan Arkin & Etc.  

Pengedar:
United International Pictures

Tarikh Tayangan:
30 Jun 2022

Sinopsis:
Sekuel kepada filem "Minions" (2015) ini berlatar belakangkan tahun 1970-an. Gru bercadang untuk menyertai kumpulan penjahat terkenal yang diminatinya iaitu Vicious 6 apabila mendapat tahu ketua mereka, Wild Knuckles telah digugurkan dari kumpulan itu. Dengan bantuan pengikutnya Kevin, Stuart, Bob dan Otto, Gru berjaya membina sarang penjahat mereka lengkap dengan senjata-senjata baru. Bukan sahaja tidak diterima untuk menyertai Vicious 6 malah kepintaran Gru adalah punca dia kini menjadi musuh utama kumpulan penjahat itu. Dia tidak mempunyai pilihan lain selain meminta tunjuk ajar dan bantuan daripada Wild Knuckles sendiri untuk berlawan dengan mereka. Saksikan filem animasi yang melucukan ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 30 Jun 2022 untuk mengetahui kisah seterusnya.

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah menerima jemputan daripada United International Pictures untuk menonton sebuah filem animasi yang mempunyai ramai peminat di seluruh dunia iaitu Minions: The Rise Of Gru pada 28 Jun 2022 di GSC The Starling Mall


Filem Minions: The Rise Of Gru ini kembali tampil dengan tiga watak Minion kegemaran ramai iaitu Kevin, Stuart dan Bob serta satu watak baru iaitu Otto yang betul-betul mencuit hati. Istimewanya filem ini ialah penonton berpeluang untuk melihat begitu banyak kemunculan keempat-empat minion ini sepanjang penceritaan dan setiap kali kemunculan mereka pasti akan membuatkan anda ketawa geli hati melihat gelagat keempat-empat watak ini. Gabungan kisah Minion ini dengan watak utama penceritaan iaitu watak Gru sewaktu kecil pada kami sangat menjadi. Faktor ini berjaya menghiburkan kami walaupun hakikatnya keseluruhan penceritaan filem ini agak klise dimana kami sangat mudah meramal kesudahan kisah ini dan ianya betul-betul tepat.


Disebabkan filem Minions: The Rise Of Gru ini menceritakan semula tentang kisah Gru sewaktu kecil yang sememangnya bercita-cita untuk menjadi seorang penjenayah terkenal, kami mula menyedari bahawa sasaran utama filem ini ialah kanak-kanak. Walaupun tidak dinafikan sudah begitu kisah hidup Gru tetapi adalah penting disini untuk ibu bapa mengawasi anak-anak dan menerangkan semula apa yang baik dan apa yang buruk selepas anak-anak anda selesai menonton filem ini kerana ironinya filem ini sememangnya tidak meletakkan sebarang kesalahan kepada tindakan Gru yang dengan bangga dan yakinnya memilih untuk menjadi sebagai seorang penjahat.


Tidak ada banyak sangat perkara yang boleh kami ulas tentang filem Minions: The Rise Of Gru ini kerana filem ini sememangnya dihasilkan sebagai hiburan buat anak-anak dan keluarga. Penceritaan filemnya agak ringan. Faktor lucunya semakin terserlah dengan kemunculan Minions dengan pelbagai bahasa yang melucukan. Secara keseluruhan, filem ini masih menghiburkan walaupun durasinya sangat pendek iaitu sekitar 1 jam 15 minit sahaja. 


Jadi, selamat menonton filem animasi Minions: The Rise Of Gru yang telah pun ditayangkan sejak 30 Jun 2022. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Ialah Sebuah Filem Berjudul ?! Nantikan Ulasan Filem Tersebut Dalam Waktu Terdekat. 

Catat Ulasan

0 Ulasan