Review Filem Ah Girls Go Army Again

 

Filem:
Ah Girls Go Army Again

Penilaian:
7/10

Pengarah:
Jack Neo

Genre:
Komedi & Drama

Pelakon:
Apple Chan, Ke Le, Xixi Lim, Glenn Yong, Belle Chua Bei Er & Etc.  

Pengedar:
MM2 Entertainment

Tarikh Tayangan:
23 Jun 2022

Sinopsis:
Filem sekuel ini mengisahkan bagaimana skuad wanita kendalian Sarjan Chow dan Leftenan Roxanne yang kembali menempuhi cabaran baru yang lebih ketat dan memenatkan. Pelbagai ujian yang perlu mereka hadapi sehingga pada suatu hari kumpulan ini diuji dengan satu insiden ngeri yang membuatkan mereka kembali bersatu hati. Saksikan filem yang menghiburkan ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 23 Jun 2022 untuk mengetahui kisah seterusnya.
 
Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah menerima jemputan daripada MM2 Entertainment untuk menonton sebuah filem komedi yang menghiburkan iaitu Ah Girls Go Army Again yang berlangsung dengan cukup meriah di Dadi Cinema Pavilion KL pada 21 Jun 2022 yang lepas. 


Baru sahaja rasanya kami menonton filem pertama iaitu Ah Girls Go Army sekitar bulan Februari yang lepas. Disebabkan filem pertamanya sangat menghiburkan maka kami sememangnya meletakkan harapan yang tinggi terhadap filem sekuel ini. Walaupun filem ini masih menghiburkan namun ianya kalah kepada filemnya yang pertama. Kami melihat hal ini berpunca daripada penekanan filem ini yang lebih memberi fokus kepada latihan dan ujian di dalam tentera yang perlu dihadapi oleh skuad wanita ini berbanding dengan penekanan dan perkembangan watak seperti filem sebelumnya.


Kami secara jujurnya berharap agar filem kedua ini memberi fokus kepada watak-watak lain yang masih belum sempat dikembangkan pada filem pertama dan tidak lupa juga untuk memberi masa yang cukup kepada watak-watak utama yang lain agar tidak tenggelam. Namun, sayangnya faktor ini diabaikan terus di dalam sekuel kali ini dan ianya amat mengecewakan kami. Namun, kami bersyukur kerana elemen komedi yang bersifat komikal masih dikekalkan dan ianya masih tetap berjaya membuatkan kami ketawa besar dan semestinya terhibur dengan adegan-adegan komedi yang memenuhi hampir sebahagian besar filem ini.


Tidak ada banyak yang ingin diulas tetapi secara keseluruhan filem Ah Girls Go Army Again ini masih menghiburkan untuk anda tonton di pawagam. Cuma kami merasakan adegan-adegan bersifat drama dan emosi yang cuba disampaikan pada filem kali ini kelihatan kurang memberi impak yang besar kepada pengalaman tontonan kami. Namun, memilih untuk menamatkan kisah para watak dalam filem sekuel ini pada kami adalah satu keputusan yang tepat kerana momentum penceritaan untuk filem sekuel ini agak mendatar berbanding filem pertama. Apa-apapun, tahniah kepada semua krew dan pihak yang terlibat di dalam menghasilkan filem yang masih berjaya mengekalkan 70 peratus komedi di dalam penceritaannya.


Jadi, selamat menonton filem komedi Ah Girls Go Army Again yang akan mula ditayangkan pada 23 Jun 2022 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Ialah Sebuah Filem Animasi Berjudul Minions: The Rise Of Gru! Nantikan Ulasan Filem Tersebut Dalam Waktu Terdekat.

Catat Ulasan

0 Ulasan