Review Filem Pulang


Filem:
Pulang

Penilaian:
8 / 10

Pengarah:
Kabir Bhatia 

Genre:
Biografi, Drama & Sejarah

Pelakon:
Remy Ishak, Puteri Aishah Sulaiman, Alvin Wong, Sherry Al Jeffry,
Azrel Ismail, Erwin Dawson, Juliana Evans, Jalaluddin Hassan, Aida Khalida & Etc 

Tarikh Tayangan:
26 Julai 2018

Terbitan:
Primeworks Studios

Sinopsis:

Filem ini diinspirasikan daripada kisah sebenar yang berlaku di Malaysia pada tahun 40-an. Filem ini menceritakan mengenai pasangan suami isteri iaitu Othman dan Thom. Othman yang berasal dari sebuah perkampungan nelayan di Serkam telah membuat keputusan untuk berlayar ke seluruh dunia dengan harapan dapat menjadi kaya dan dapat mengubah nasib keluarganya yang hidup dalam kesempitan. Othman berjanji kepada isterinya yang dia pasti akan pulang. Namun, setelah 61 tahun berlalu, Thom masih menunggu kepulangan Othman. Adakah Othman berjaya menunaikan janjinya pulang semula bertemu dengan Thom? Saksikan filem hebat ini di pawagam berdekatan anda.

Ulasan:

Alhamdulillah. Filem Pulang yang ditayangkan tepat pada tarikh hari lahir aku sememangnya merupakan sebuah filem yang amat aku nanti-nantikan sejak Disember tahun lepas. Tambahan pula apabila filem ini telah dicanang di dada media tentang kos keseluruhan pembikinan filem yang agak besar iaitu RM6 juta dimana RM2 juta daripada nilai tersebut sahaja telah diperuntukkan untuk hasil kesan khas imej janaan komputer (CGI) yang digunakan hampir 70 peratus di dalam filem ini.


Permulaan awal filem ini sahaja sudah berjaya memberikan satu wajah awal yang sangat positif untuk menangkap perhatian penonton dimana aku cukup suka bagaimana produksi filem ini yang sememangnya sebelum ini dikenali ramai melalui kekuatan sinematografi di dalam setiap filem-filem terbitan mereka berjaya memanfaatkan kelebihan tersebut untuk menggunakannya sebagai medium bercerita kepada penonton. Bagi aku ini adalah antara salah satu kejayaan besar filem ini yang wajar dipuji dan dibanggakan.


Menyentuh berkenaan para pelakon yang membintangi filem ini, setiap pelakon yang membintangi filem Pulang perlu menghadiri sesi ujibakat terlebih dahulu dan kemudian menghadiri kelas lakonan bersama Fatimah Abu Bakar selama dua bulan. Kehebatan Remy Ishak tidak perlu dipertikaikan lagi kerana bagi aku dia telah berjaya membawakan watak sebagai seorang lelaki melayu tradisional yang cuba mempertahankan akidahnya, berjaya menyampaikan ego seorang lelaki melayu dan dapat memberi gerak tubuh serta gaya bahasa seorang lelaki romantik versi lelaki melayu secara dalaman dengan begitu cantik sekali. Sekalung tahniah buat pelakon Remy Ishak kerana lakonan anda memang tidak mengecewakan.


Lakonan Puteri Aishah yang memegang watak sebagai Thom pula bagi aku tidak terlalu cemerlang tetapi bukan bererti lakonannya lemah. Ini kerana watak Thom itu sendiri sememangnya memerlukan penghayatan yang lebih secara dalamannya dan sememangnya bukan sesuatu yang mudah untuk pelakon yang bagi aku masih baru lagi di dalam industri. Bagaimanapun, ada babak yang berjaya disampaikan emosinya dengan baik oleh Puteri Aishah dimana aku dapat rasa penderitaan dan kesunyian yang dialami oleh watak Thom yang telah lama ditinggalkan oleh suaminya. Secara keseluruhan, naskhah filem ini berjaya membantu Puteri Aishah membawa nama dan bakat lakonannya ke satu fasa yang lebih baik melalui watak berat yang dipegangnya ini.


Berbalik kepada momentum penceritaan di dalam filem ini, aku secara peribadi sangat kagum dengan perjalanan ceritanya yang pantas kerana aku sendiri tidak berminat dengan babak-babak meleret yang kerap kali dijumpai di dalam filem-filem Melayu. Walaupun filemnya bergerak pantas tetapi setiap mesej dan pengolahannya ceritanya bergerak seiring tanpa terpotong atau melompat disana sini. Bagi aku filem ini memang sangat berjaya di dalam menyampaikan penceritaannya dengan cara yang bijak.


Berkenaan teknik khas CGI yang digunakan pula, aku rasa babak yang memaparkan lokasi-lokasi seperti Hong Kong, Okinawa, Kepulauan Jeju dan beberapa negara yang dilawati agak kemas dan tiada sangat masalah untuk filem ini. Cuma kesan khas yang digunakan sewaktu berada di atas kapal dan kejadian kapal karam itu masih tersangat lemah. Masih kelihatan terlalu animasi tetapi mungkin ini menjadi penanda aras kepada pengeluar filem-filem seterusnya yang berhasrat untuk memaparkan lagi kisah kelasi-kelasi Malaysia untuk menambah baik lagi hasil penggunaan teknik khas CGI ini. Namun disebabkan penceritaan filem ini sangat kuat dan disampaikan dengan baik oleh barisan pelakonnya berjaya mengaburi serba sedikit kelemahan hasil kesan khas imej janaan komputer (CGI) tersebut.


Berkenaan susunan plot cerita filem Pulang ini, aku beranggapan ia agak menarik dan tersusun bermula daripada kisah pertemuan di pasar pagi, penjajahan Jepun ke atas Malaya sehingga ke zaman selepas merdeka. Penggunaan props untuk melambangkan latar setiap zaman yang dipaparkan juga bagi aku menarik, cantik dan menghidupkan suasana pada ketika itu. Babak sewaktu Othman dan 'Omar' melarikan diri daripada pihak tentera Jepun dan terpaksa bersembunyi di sebalik timbunan mayat adalah antara babak yang bagi aku cukup menggelikan tetapi itulah antara babak yang sebenarnya sangat menarik.


Tetapi, filem yang berjaya menambat hati pastilah filem yang mampu menipu ramalan awal aku atau pun pengakhiran yang diluar jangkaan. Apa yang menarik perhatian tentang filem ini ialah perubahan plot yang sedikit di luar jangkaan dan berjaya membuatkan aku sedikit tergamam serta sedih apabila memikirkan betapa deritanya kisah hidup kedua-dua watak utama di dalam filem ini. Serius apabila difikirkan balik betapa tragis dan kejamnya takdir yang menimpa kedua-dua watak utama ini. Kalau nak tahu apa yang aku maksudkan, kalian harus lah tonton sendiri filem ini di pawagam untuk mengetahui jawapan kepada persoalan yang aku tinggalkan ini.


Menyentuh berkenaan pelakon Sherry Al Jeffry yang memegang watak Thom yang telah pun tua, aku mengakui sangat sukakan kualiti suaranya yang sangat artistik, klasik dan ekslusif. Walaupun kadang-kadang terasa sedikit janggal dengan gaya bahasanya yang baku tetapi bagi aku itulah keindahan bahasa Melayu yang menjadikan keunikan terhadap filem ini.


Berbalik kepada sinematografi yang dipaparkan di dalam filem ini bukan sekadar untuk mencuci mata penonton dengan warna lautan yang cantik membiru hijau. Bukan juga untuk memberi kesan takjub dengan memaparkan pasir putih yang melandai di pantai. Tetapi, sinematografi filem ini berjaya bercerita dan menyampaikan emosi sedih, rindu, marah, kasih sayang dan pelbagai lagi yang menjadikan perjalanan cerita ini semakin menarik dan mencuri hati penonton. Paling aku suka babak yang melibatkan Omar memandang Othman dan Thom menari di malam bulan purnama serta babak Omar memandang cikgu sekolahnya bersama Thom yang membawa dua persepsi yang sangat berbeza dan berjaya disampaikan dengan begitu menarik sekali.



Aku tidak mahu bercerita lebih kerana aku yakin filem ini ada keistimewaan dan perlu disokong oleh semua rakyat Malaysia untuk ditonton di pawagam kerana jika filem ini berjaya mencapai kutipan yang tinggi dan memberangsangkan maka pasti kita berpeluang untuk menonton filem-filem yang hebat dan lebih hebat seperti filem Pulang ini. Cuma aku senaraikan lima sebab disini kenapa anda wajib menonton filem Pulang :

1) Memberi fokus terhadap tema dan cerita yang masih baru di dalam dunia perfileman Malaysia iaitu berkenaan kelasi kapal tetapi filem ini digarap dengan cukup baik dan bukannya dibuat secara semberono.

2) Plot twist yang bijak dan sedikit diluar jangkaan pada pandangan aku kerana filem ini akan buat anda tertanya-tanya, sedikit geram dan mempersoalkan kembali tentang kata-kata serta janji yang dibuat bersama antara Othman, Thom dan Omar. Mungkin ada antara kalian yang akan menyumpah serta menggeleng kepala tetapi akhirnya menyesal dengan apa yang anda lakukan selepas melihat pelbagai kejutan plot yang dipaparkan mulai pertengahan filem Pulang ini lagi.

3) Berjaya memaparkan budaya masyarakat Melayu tradisi yang pemalu tetapi berani dimana dapat dilihat betapa beraninya Othman berjuang menjadi kelasi seorang diri dan betapa beraninya Thom mencari Omar di luar negara sedangkan ilmu pengetahuannya tentang dunia luar adalah sangat cetek.

4) Sinematografi filem ini sememangnya sangat cantik dan membantu penonton untuk lebih fokus terhadap setiap babak yang dipertontonkan.

5) Sebab filem Pulang ini adalah antara naskhah filem yang bagus dan berjaya ditayangkan pada tahun 2018. Sokonglah filem tempatan yang bagus dan In Sha Allah lebih banyak filem yang bagus yang dibuat dan ditayangkan untuk penonton Malaysia.

P/S : Angin Menderuuuu.......Aku Jatuh Hati Betul Dekat Suara Thom Versu Tua Tu! Mahal Betul Kualiti Suara Dia :)

Catat Ulasan

20 Ulasan

  1. Ini review kedua yang saya baca tentang filem Pulang membuatkan hati tak sabar nak menonton. Jom sokong filem tempatan yang berkualiti!

    BalasPadam
    Balasan
    1. betul tu
      sokong filem tempatan yang bagus
      selamat menonton

      Padam
  2. baca review pun dah excited. semalam nak tengok tapi dah terlambat sampai... layan movie lain pulak

    BalasPadam
  3. terasa nak tgok bila tgok trailer dia..
    tp belum ada kesempatan..

    BalasPadam
    Balasan
    1. sempat lagi tu
      tak sampai seminggu lagi tayang
      mesti sempat lah

      Padam
  4. Nk tgk.cite tntg org kampung saya.kg.serkam.

    BalasPadam
    Balasan
    1. hahhh wajib tengok lah dah kisah orang kampung sendiri
      hehehe

      Padam
  5. Dh tengok...memang terbaik....semua wajib tengok....supaya kutipan blh capai RM10 juta

    BalasPadam
  6. Baru tgk petang tadi...best..mngalir air mata..

    BalasPadam
  7. Bru tgk ptg tadi..amat menarik dan sedih...menitis air mata

    BalasPadam
  8. Baru jer tngok..memang best...gmbr yg cantik..lakonan mantap..menangis bila scene perpisahan..moral of the story..jgn peecaya 100% apa yg kita lihat..dptkn penjelasan lisan supaya tidak mnyesal kemudian hari

    BalasPadam
    Balasan
    1. yer betul tu
      tetapi itulah ego kebanyakan lelaki Melayu
      hehehe

      Padam
  9. baru tengok semalam. memang puas hati. Jarang tengok movie melayu. Tapi berjaya menarik emosi sampai menangis.

    BalasPadam
    Balasan
    1. alhamdulillah
      tahniah kerana menonton filem Pulang :)

      Padam