Review Filem Jerangkung Dalam Almari

 

Filem:
Jerangkung Dalam Almari

Penilaian:
5/10

Pengarah:
Shadan Hashim

Genre:
Seram

Pelakon:
Adi Putra, Sophia Albarakbah, Hasnul Rahmat, Wan Hanafi Su, Anne Abdullah & Etc.  

Pengedar:
Empire Film Solution

Tarikh Tayangan:
4 Ogos 2022

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan tentang Fikri yang tidak tenteram akibat gangguan lembaga dari dalam sebuah almari. Gangguan tersebut turut mengancam nyawa isterinya Shikin dan anak mereka iaitu Adam. Fikri mengambil keputusan untuk pulang ke kampung mencari jawapan kepada penyelesaian masalah tersebut. Tanpa disangka, banyak kejadian aneh dan misteri yang mula terungkai satu demi satu yang membuatkan Fikri perlu mencari jalan bagaimana untuk menyelesaikan permasalahan ini. Saksikan filem seram ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 4 Ogos 2022 untuk mengetahui kisah seterusnya.

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah menerima jemputan daripada Empire Film Solution untuk menonton sebuah filem seram yang agak menarik iaitu Jerangkung Dalam Almari pada 27 Julai 2022 di GSC Tropicana Gardens Mall


Pada pandangan kami, filem Jerangkung Dalam Almari sememangnya bukan sebuah filem seram tempatan yang terbaik tetapi filem ini sebenarnya mempunyai potensi untuk berkembang dengan lebih baik dan ada beberapa perkara yang berjaya menarik perhatian kami. Idea yang menampilkan almari sebagai medium perantara kepada makhluk mistik adalah salah satu perkara unik yang agak menarik untuk dilihat di dalam filem ini. Dibarisi oleh majoriti pelakon yang sememangnya dikenali dengan bakat dan persembahan lakonan mereka yang cukup mantap seperti Adi Putra, Hasnul Rahmat, Wan Hanafi Su dan Anne Abdullah, ianya memang tidak dapat disangkal lagi dimana mereka berempat berjaya memberikan lakonan yang cukup padu dan permainan emosi yang betul-betul meyakinkan. Walaupun filem ini mungkin antara filem terawal yang menampilkan pelakon Sophia Albarakbah namun lakonannya masih boleh diberi pujian walaupun masih ada permasalah dari sudut reaksi wajah dan pergerakan badan pada babak-babak seram yang ada di dalam filem ini.


Kami sebenarnya agak kagum dengan solekan ngeri yang terdapat pada watak hantu-hantu yang wujud di dalam filem ini. Untuk sebuah filem yang kami yakin bukannya sebuah filem yang berbaget besar, hasil yang kami lihat pada setiap penampilan watak hantu ini sangat cantik dan menggerunkan. Jadi, kami memang memberikan pujian pada perkara ini yang mana ini menunjukkan bahawa pihak produksi sememangnya cuba memberikan yang terbaik pada setiap aspek terutamanya yang berkaitan dengan elemen-elemen seram yang membantu filem ini untuk lebih berkembang baik. Mesej-mesej sosial yang cuba diketengahkan di dalam filem ini boleh diberikan pujian kerana ia tidak terlalu berbentuk ceramah dan berjaya disampaikan dengan cara yang ringan. 


Cuma kami melihat jalan cerita filem Jerangkung Dalam Almari ini adalah terlalu berkonsepkan sehala yang mana majoritinya sudah boleh diramal dan ia seakan-akan membawa 'mood' filem zaman-zaman 90-an. Bukannya tidak bagus tetapi ianya mudah diteka walaupun banyak permainan plot yang cuba dimainkan di dalam filem ini. Selain itu, ada beberapa babak yang sebenarnya serius dan seram namun ianya menjadi lucu disebabkan dialog yang tidak kena pada adegan tersebut. Namun, secara jujurnya kami masih gembira menonton filem ini daripada awal sehingga akhir. Seperti mana kami katakan pada awal tadi, filem ini sebenarnya mempunyai potensi besar untuk berkembang jika aspek-aspek seperti plot cerita diperkembang dengan lebih baik dan teliti. Apa-apapun, tahniah buat pihak produksi dan krew yang terlibat kerana berjaya menghasilkan filem seram Jerangkung Dalam Almari ini dengan baik. Semoga filem-filem terbitan syarikat produksi filem ini pada masa akan datang lebih berjaya memberi impak dan berjaya memuaskan hati dan selera penonton tempatan.


Jadi, selamat menonton filem Jerangkung Dalam Almari yang ditayangkan bermula pada 4 Ogos 2022. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Ialah Sebuah Filem Hollywood Berjudul Bullet Train Lakonan Brad Pitt! Nantikan Ulasan Filem Tersebut Dalam Waktu Terdekat. 

Catat Ulasan

0 Ulasan