Review Filem Bullet Train

 

Filem:
Bullet Train

Penilaian:
6/10

Pengarah:
David Leitch

Genre:
Aksi

Pelakon:
Brad Pitt, Joey King, Aaron Taylor-Johnson, Brian Tyree Henry, Andrew Koji,
Hiroyuki Sanada, Michael Shannon, Benito A Martínez Ocasio & Etc.  

Pengedar:
Sony Pictures Entertainment

Tarikh Tayangan:
4 Ogos 2022

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan sekumpulan pembunuh upahan di dalam kereta api peluru Jepun tidak menyedari bahawa tugasan yang diterima oleh mereka daripada sebuah kumpulan jenayah terkenal adalah saling berkaitan. Perkara ini menyebabkan kacau bilau berlaku di dalam gerabak keretapi dan secara perlahan-perlahan setiap pembunuh upahan ini mula mengenali antara satu sama lain. Saksikan filem aksi ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 4 Ogos 2022 untuk mengetahui kisah seterusnya.

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah menerima jemputan daripada Sony Pictures Malaysia dan Miharu Kenshin untuk menonton sebuah filem aksi yang menghiburkan iaitu Bullet Train pada 3 Ogos 2022 di GSC The Starling Mall dan GSC One Utama


Kami boleh katakan bahawa filem Bullet Train merupakan filem aksi bersifat komersial dimana jalan ceritanya boleh dikatakan sangat klise dan tiada sebarang makna yang menarik. Namun, kekuatan filem ini disokong oleh penglibatan sebahagian besar pelakon yang mempunyai nama besar yang berjaya memberikan persembahan lakonan yang cukup menarik dan bersahaja. Elemen komedi di dalam filem ini boleh dikatakan sebahagian besarnya sangat menjadi dan ia membantu kami untuk sentiasa kekal fokus menonton filem ini daripada awal hingga ke akhir penceritaan. Namun, secara jujurnya kami tidak menggemari pengakhiran salah satu watak di dalam filem ini pada penghujung cerita yang pada kami menggunakan formula klise yang cukup lemah dan sudah biasa dilihat di dalam kebanyakan filem Hollywood lain yang mengguna pakai idea yang sama. 


Memilih negara Jepun sebagai latar tempatan, elemen sosiobudaya Jepun berjaya diterap masuk ke dalam filem ini dan memberikan satu wajah baharu buat filem aksi Hollywood sebegini. Filem ini juga bijak memanfaatkan beberapa kelebihan elemen tersebut untuk dimasukkan ke dalam beberapa adegan mereka yang berbentuk humor dan ianya berjaya menggeletek hati kami sebagai penonton. Kami melihat filem ini sebagai sebuah filem aksi yang sangat ringan penceritaannya dan tidak memeningkan kepala dimana setiap watak yang muncul akan diberi pengenalan awal terlebih dahulu dan apa hubung kait watak tersebut dengan watak-watak lain. Jadi, dari sudut pemahaman cerita, filem ini adalah sangat mudah untuk difahami.  


Selain itu, kami agak kagum dengan teknik imej janaan komputer atau CGI yang digunakan di dalam filem ini kerana ianya kelihatan realistik dan berjaya membuatkan kami cukup teruja apabila menyaksikan babak-babak pergelutan serta pergaduhan yang berlaku di dalam dan luar gerabak keretapi laju Jepun ini. Memang wajar diberi pujian untuk aspek ini. Untuk pengetahuan para pembaca, filem Bullet Train ini merupakan sebuah filem yang diklasifikasikan sebagai 'R-Rated' dimana filem ini penuh dengan adegan pembunuhan yang ngeri, slasher dan gore. Jadi, filem ini sememang tidak sesuai ditonton oleh kanak-kanak. Kepada anda yang menggemari filem-filem sebegini, adalah satu pengalaman yang berbaloi jika memilih untuk menonton filem ini di pawagam terdekat untuk merasai sendiri keseronokan yang ditawarkan oleh filem ini buat anda semua.


Jadi, selamat menonton filem Bullet Train yang ditayangkan bermula pada 4 Ogos 2022. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Ialah Sebuah Filem Korea Yang Cukup Menarik Berjudul Emergency Declaration! Nantikan Ulasan Filem Tersebut Dalam Waktu Terdekat. 

Catat Ulasan

0 Ulasan