Review Filem Emergency Declaration

 

Filem:
Emergency Declaration

Penilaian:
10/10

Pengarah:
Han Jae-Rim

Genre:
Drama

Pelakon:
Song Kang-Ho, Lee Byung-Hun, Jeon Do-Yeon, Kim Nam-Gil, Im Si-Wan, Kim So-Jin, Park Hae-Joon & Etc.  

Pengedar:
GSC Movies

Tarikh Tayangan:
4 Ogos 2022

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan sebuah pesawat penerbangan komersial KI501 yang membuat 'Pengisytiharan Kecemasan' selepas pesawat mereka diserang seorang lelaki yang menggunakan senjata biokimia yang cukup berbahaya di dalam pesawat. 'Pengisytiharan Kecemasan' ini bermaksud jika pesawat menghadapi potensi bencana dan penerbangan biasa tidak lagi dapat dikekalkan, juruterbang meminta pendaratan tanpa syarat kepada mana-mana negara yang dilalui oleh pesawat. Namun, masalah timbul apabila pertolongan ini ditolak oleh negara-negara berdekatan dan membuatkan Menteri Pengangkutan Sook-hee menubuhkan pasukan petugas antikeganasan dan memanggil mesyuarat tergempar untuk mencari jalan untuk mendaratkan pesawat. Saksikan filem yang cukup menarik ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 4 Ogos 2022 untuk mengetahui kisah seterusnya.

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah menerima jemputan daripada Kakimuvee untuk menonton sebuah filem Korea yang cukup menarik iaitu Emergency Declaration pada 2 Ogos 2022 di GSC One Utama. Kami secara jujurnya sangat menggemari filem ini walaupun kami sendiri tidak menjangkakan filem ini mampu memberi kami kejutan demi kejutan dalam satu tempoh yang cukup lama. 


Filem Emergency Declaration ini berjaya memberikan kami perasaan yang bercampur baur. Bayangkan jika anda menjadi salah satu watak di dalam filem ini dimana anda terperangkap di dalam sebuah pesawat yang sedang terbang tinggi di awangan tetapi telah diserang oleh seorang pengganas psiko yang telah pun meracun semua penumpang dengan serangan senjata biokimia dimana maut menanti pada bila-bila masa sahaja. Ditambah pula apabila pengisytiharan yang dibuat oleh juruterbang untuk mendarat di negara-negara dalam laluannya akibat kekurangan bahan api tetapi ditolak dan diancam untuk ditembak atau diletupkan oleh tentera udara negara berkenaan. Semua perkara ini berjaya memberikan kami satu ketakutan yang cukup hebat sepanjang menonton filem ini dan ianya betul-betul membantu kami untuk merasai sendiri apa yang dirasai oleh setiap watak di dalam filem hebat ini.


Kami juga sangat menggemari filem Emergency Declaration ini disebabkan kejayaan plot ceritanya menimbulkan kepelbagaian konflik dan bijak bermain plot atau plot twist untuk membuatkan filem ini langsung tidak jemu ditonton. Menariknya setiap perkara ini mempunyai tahap realistik yang nyata dan ianya boleh diterima oleh akal untuk membuatkan kami berasa lebih dekat dengan penceritaan yang cuba disampaikan. Seperti mana filem-filem Korea yang lain, sifat dan nilai kemanusiaan yang pelbagai semestinya wajib diterapkan di dalam setiap watak untuk menjadikan kisah ceritanya lebih pelbagai. Sekali lagi faktor ini berjaya memberikan nilai tambah untuk memastikan filem ini berjaya diterima ramai dengan permainan emosi yang cukup hebat. Kami cukup menyukai babak protes rakyat Korea yang berpecah kepada dua kumpulan iaitu yang menentang pendaratan pesawat dan menyokong pesawat mendarat di Korea dimana ketakutan melampau akibat penyebaran virus yang masih belum dijumpai antivaksin ini masih dekat dengan kita semua melalui pengalaman masing-masing menghadapi virus Covid-19 sebelum ini. Jadi, masalah yang terjadi dari sudut keamanan, pilihan majoriti rakyat dan juga hubungan politik yang dipaparkan di dalam filem ini membuatkan kita lebih memahami dilema setiap pihak dan kewarajannya dari sudut positif dan negatif. Memang perkara ini sangat menghiburkan kami!


Menampilkan senjaa biokimia sebagai salah satu subjek di dalam serangan pesawat dilihat berjaya memberikan satu definisi baru buat kami untuk melihat filem Emergency Declaration ini dari sudut pandang yang berbeza. Dibantu pula oleh lakonan setiap pelakonnya tidak kisah pelakon utama, pembantu atau sampingan yang berjaya membawakan lakonan masing-masing dengan cukup baik, tidak boleh disangkal filem ini adalah antara filem terbaik yang kami tonton untuk tahun 2022 ini. Penggunaan imej teknik janaan komputer yang sangat cantik, kesan khas yang menarik serta solekan ngeri yang menggerunkan, kami sememangnya sangat berpuas hati dan bersyukur kerana berpeluang untuk menonton salah sebuah filem terbaik dari Korea Selatan untuk tahun 2022 ini. Jadi, kami sangat menyarankan kaki wayang atau peminat filem untuk mewajibkan diri anda menonton filem ini kerana ianya adalah sebuah karya yang sangat berbaloi untuk ditonton di panggung wayang.

Jadi, selamat menonton filem Emergency Declaration yang ditayangkan bermula pada 4 Ogos 2022. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Ialah Sebuah Filem Berjudul ?! Nantikan Ulasan Filem Tersebut Dalam Waktu Terdekat. 

Catat Ulasan

0 Ulasan