Review Filem Alive Drift

 

Filem:
Alive Drift

Penilaian:
7/10

Pengarah:
Ten Shimoyama

Genre:
Aksi & Sukan

Pelakon:
Shô Aoyagi, Shôdai Fukuyama, Shinsuke Hiratsuka & Etc.  

Pengedar:
Warner Bros. Pictures

Tarikh Tayangan:
11 Ogos 2022

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan juara pemain e-sukan Jepun bernama Koichi yang beralih arah daripada permainan video kepada perlumbaan sebenar yang cukup mencabar. Koichi perlu berhadapan dengan pemandu profesional dalam perlumbaan hidup dan mati untuk membawa dia dan pasukannya yang hampir muflis ke tahap kejayaan yang tinggi dengan satu peluang yang diberi sahaja. Mampukah Koichi menjadi sehebat dirinya di dalam permainan e-sukan sewaktu berlumba pada perlumbaan sebenar atau sebaliknya? Saksikan filem aksi yang cukup mendebarkan ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 11 Ogos 2022 untuk mengetahui kisah seterusnya.

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah menerima jemputan daripada Warner Bros. Pictures Malaysia untuk menonton sebuah filem aksi sukan yang cukup mendebarkan dari Jepun berjudul Alive Drift pada 9 Ogos 2022 di TGV Sunway Pyramid.

Secara jujurnya, kami tidak menaruh harapan yang terlalu tinggi terhadap filem Alive Drift ini. Namun, sangkaan kami meleset apabila filem ini sememangnya penuh dengan aksi-aksi drift kereta yang cukup mendebarkan dan pada masa yang sama berjaya menaikkan adrenalin kami ke tahap yang tinggi sehinggakan kami seakan-akan dapat merasa suasana pemandu-pemandu yang terlibat menggerakkan kereta ke kanan, ke kiri, berpusing dan menekan brek dengan cukup mengasyikkan. Suntingan setiap adegan sememangnya sangat membantu untuk membuatkan filem aksi ini mempunyai momentum yang pantas dan langsung tidak membosankan untuk ditonton. Aksi-aksi perlumbaan kereta di dalam filem ini juga berjaya dipaparkan dengan sangat baik dan kelihatan betul-betul realistik. Jadi, setiap kali babak-babak perlumbaan muncul, kami pasti anda akan merasai debaran apabila dua buah kereta saling merapat dan seakan-akan hampir berlanggar. Faktor ini sememangnya merupakan kekuatan utama filem ini yang memberikan kepuasan tertinggi buat anda yang menanti-nantikan aksi perlumbaan sebenar yang cukup mengagumkan.

Jika dilihat terdapat penceritaan filem Alive Drift ini pula, kami merasakan kisahnya agak ringan. Tetapi, objektifnya untuk menyatakan bahawa setiap manusia itu pasti mempunyai kelebihan tertentu di dalam sesuatu perkara dan apa yang perlu dilakukan adalah dengan memberanikan diri untuk melakukannya boleh dikatakan tercapai. Cerita ini boleh kami nyatakan sebagai sebuah cerita yang bermotivasi dan ia memenuhi kriteria sebuah filem bergenre aksi sukan sebegini. Lakonan para pelakonnya juga antara penyebab untuk membuatkan filem ini juga penuh dengan emosi yang pelbagai daripada watak-watak yang mempunyai karakter berlainan dan unik. Secara keseluruhan, filem ini mempunyai kualiti yang baik sehinggakan mampu membuatkan anda hanyut di dalam deruan bunyi enjin kereta serta geseran tayar di jalanan. Berbaloi untuk ditonton terutamanya buat mereka yang meminati kisah perlumbaan kereta sebegini.


Jadi, selamat menonton filem aksi Alive Drift yang ditayangkan bermula pada 11 Ogos 2022. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Ialah Sebuah Filem Bollywood Yang Cukup Menarik Iaitu Laal Singh Chaddha! Nantikan Ulasan Filem Tersebut Dalam Waktu Terdekat. 

Catat Ulasan

0 Ulasan