Review Filem Laal Singh Chaddha

 

Filem:
Laal Singh Chaddha

Penilaian:
8/10

Pengarah:
Advait Chandan

Genre:
Komedi & Drama

Pelakon:
Aamir Khan, Kareena Kapoor Khan, Naga Chaitanya Akkineni, Mona Singh & Etc.  

Pengedar:
United International Pictures

Tarikh Tayangan:
11 Ogos 2022

Sinopsis:
Filem ini merupakan sebuah filem adaptasi daripada filem Forrest Gum yang mengisahkan kehidupan luar biasa seorang lelaki biasa bernama Laal Singh Chaddha. Zaman kanak-kanaknya ditandai dengan ikatan unik antara Laal dan ibu tunggalnya dimana Laal sememangnya bergantung kepada ibunya akibat kekurangan yang ada pada takdirnya. Namun, pertemuannya dengan Rupa mengubah segalanya yang membuatkan Laal tidak pernah berhenti untuk mencintai gadis tersebut. Namun, Rupa memilih untuk menjauhkan diri dengan Laal. Hal ini disedari Laal namun dia tidak pernah sekalipun berputus asa untuk mendapatkan cinta Rupa. Namun, segalanya berubah apabila rahsia sebenar Rupa terbongkar. Saksikan filem komedi drama yang cukup menghiburkan ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 11 Ogos 2022 untuk mengetahui kisah seterusnya.

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah menerima jemputan daripada United International Pictures Malaysia untuk menonton sebuah filem Bollywood yang diadaptasi daripada filem Forrest Gump iaitu Laal Singh Chaddha pada 10 Ogos 2022 di TGV One Utama.


Kami mendapat perkhabaran bahawa filem Laal Singh Chaddha ini telah diboikot oleh sebahagian besar rakyat negara India. Kami tidak sebabnya dan ini menyebabkan kami agak teruja untuk menonton filem adaptasi ini. Alhamdulillah, penilaian yang rendah di laman sesawang IMDb untuk filem ini tidak berjaya mempengaruhi pilihan kami untuk menonton karya ini. Menariknya kami menyukai filem ini dan naskah ini berjaya menonjol dengan cara yang tersendiri walaupun filem asalnya iaitu Forrest Gump merupakan sebuah filem yang cukup hebat daripada pelbagai sudut.


Sudah namanya filem adaptasi maka Laal Singh Chaddha ini tidak dapat lari untuk menampilkan babak-babak yang sama dengan filem asalnya. Namun, elemen lain yang dimasukkan ke dalam penceritaanya terutama berkaitan konflik politik dan agama menjadikan filem ini mempunyai tulang belakang yang kuat dan berjaya membuatkan filem ini berdiri teguh sehingga akhir. Mungkin perkara ini sensitif bagi penduduk negara India namun ianya menarik pada tontonan kami kerana kita dapat melihat filem ini juga memaparkan sudut pandang berbeza melalui watak Laal Singh Chaddha ini.


Lebih menarik tentang filem Laal Singh Chaddha ini semestinya juga dipengaruhi oleh lakonan pelakon utamanya iaitu Aamir Khan yang sekali lagi berjaya menunjukkan tahap komitednya di dalam memenuhi kehendak watak seperti mana yang pernah dibuktikannya sebelum ini di dalam filem Dangal. Menampilkan tiga fizikal yang berbeza untuk satu watak yang sama bukannya sesuatu yang mudah namun ianya kelihatan senang buat Amir Khan. Faktor ini sebenarnya sangat membantu kerana hal ini membuatkan kami dapat merasai perubahan watak Laal Singh Chaddha ini dengan cukup baik dan meyakinkan. Aamir juga membuktikan bahawa beliau adalah pelakon versatil yang serba boleh kerana mampu membawakan watak ini dengan cara yang tersendiri. Permainannya di dalam menggabungkan lontara suara, reaksi wajah, gerakan tubuh dan permainan emosi menjadi satu adalah salah satu kegilaan yang memberi nilai tambah kepada filem ini untuk mengekalkan momentumnya dengan cukup baik.


Falsafah-falsafah menarik yang digunakan di dalam filem Laal Singh Chaddha ini melalui watak-watak penting juga merupakan satu titik tambah untuk membuatkan filem ini bukan sekadar sebuah filem adaptasi yang boleh ditebak sesuka hati. Inilah yang membuatkan filem ini mempunyai nilainya tersendiri sehingga tanpa sedar ianya berjaya menjentik hati dan emosi kami untuk sama-sama larut dan sebak dengan babak-babak sedihnya yang memberi impak yang cukup tinggi. Dibantu pula dengan beberapa buah lagu yang melatari kisah filem ini dan kejutan permainan plot yang menarik, ianya sudah cukup untuk membuatkan kami sangat berpuas hati dan terhibur dengan keseluruhan penceritaan filem ini yang cukup bermakna. Berbaloi untuk anda tonton di pawagam pada minggu ini!


Jadi, selamat menonton filem komedi drama Laal Singh Chaddha yang ditayangkan bermula pada 11 Ogos 2022. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Ialah Sebuah Filem Hollywood Berjudul Beast! Nantikan Ulasan Filem Tersebut Dalam Waktu Terdekat. 

Catat Ulasan

0 Ulasan