Review Filem Pengabdi Setan 2 : Communion

 

Filem:
Pengabdi Setan 2 : Communion

Penilaian:
8/10

Pengarah:
Joko Anwar

Genre:
Seram

Pelakon:
Tara Basro, Bront Palarae, Jourdy Pranata, Endy Arfian, Nasar Anuz,
Ratu Felisha, Ayu Laksmi, Muhammad Adhiyat & Etc.  

Pengedar:
GSC Movies

Tarikh Tayangan:
11 Ogos 2022

Sinopsis:
Filem sekuel Pengabdi Setan 2 : Communion ini mengisahkan sambungan kisah beberapa tahun setelah berjaya menyelamatkan diri daripada kejadian tragik yang mengakibatkan keluarga mereka kehilangan ibu serta adik bongsu, Rini serta adik-adiknya Toni dan Bondi berpindah ke rumah flat bersama ayah mereka. Mereka sangkakan dengan ramai jiran tetangga keadaan lebih selamat namun jangkaan mereka ternyata salah apabila mereka tidak mengenali orang sekeliling. Pada suatu malam kejadian seram yang cukup dasyat telah berlaku dan mereka harus menyelamatkan diri sekali lagi. Namun, mungkin ianya sudah terlambat. Saksikan filem yang cukup menyeramkan ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 11 Ogos 2022 untuk mengetahui kisah seterusnya.

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah menerima jemputan daripada Murai Malaysia dan GSC Movies untuk menonton sebuah filem seram yang cukup menggerunkan dari Indonesia berjudul Pengabdi Setan 2 : Communion pada 9 Ogos 2022 di GSC Tropicana Gardens Mall.


Menonton filem sekuel Pengabdi Setan 2 : Communion ini memberikan kami dua definisi pengalaman yang cukup berbeza jika ingin dibandingkan dengan filemnya yang pertama. Perbezaan pertama yang memberikan kelebihan kepada sekuel filem ini ialah tahap seramnya yang cukup melampau dan semestinya memberi kesan kepada pengalaman tontonan kami. Jika filem pertama, tahap keseraman yang dirasai hanya pada bahagian penghujung namun tidak untuk sekuel filem ini. Unsur seram ini bijak dimasukkan dan dipupuk bermula sejak awal penceritaan lagi untuk membuatkan kami sebagai penonton sukar untuk duduk diam. Kami sentiasa bersedia dengan pelbagai elemen kejutan seram yang diaplikasikan di dalam penceritaan filem ini yang pada kami cukup unik dan kreatif.


Kami sangat tertarik dengan penggunaan suara latar untuk membangkitkan suasana seram di dalam filem Pengabdi Setan 2 : Communion ini. Ada beberapa adegan yang berjaya memanfaatkan penggunaan suara latar ini untuk memaksimumkan rasa seram yang pada akhirnya berakhir dengan kejayaan mengejutkan dan menakutkan penonton dengan jayanya. Teknik jumpscare turut digunakan di dalam filem ini namun menariknya ia tidak dipaparkan secara klise seperti mana filem-filem seram yang lain. Tetapi, ia dibantu oleh permainan kamera yang laju dan bijak untuk membuatkan adegan tipikal yang selalu kita lihat di dalam filem seram menjadi lain daripada kebiasaan dan berjaya membuatkan majoriti penonton menjerit terkejut kerana adegan-adegan ini sememangnya tidak dapat dijangka oleh penonton.


Selain itu, permainan warna sephia, biru, merah dan hitam yang melatari babak-babak filem Pengabdi Setan 2 : Communion ini juga berjaya membangkitkan rasa seram kepada penonton di tahap yang agak tinggi. Kami tertarik melihat bagaimana kawasan perumahan di dalam filem ini berjaya dipaparkan di dalam empat jenis suasana yang cukup berbeza dan ianya sangat kena dengan emosi yang cuba dipaparkan di dalam adegan-adegan yang berbeza. Kreatif dan segar! Lebih mengasyikan apabila adegan-adegan ngeri yang ada di dalam filem ini juga berjaya membantu memberi impak kepada penonton untuk membuatkan filem ini berada di kelasnya yang tersendiri. Namun, filem ini tidak lah terlampau kejam kepada para penontonnya kerana keseramannya cuba diredakan dengan adegan-adegan lucu yang tidak kurang banyaknya juga di dalam filem ini yang berjaya membuatkan penonton ketawa dan ketakutan berselang-seli.


Namun, jika dilihat kepada keseluruhan plot penceritaan filem sekuel Pengabdi Setan 2 : Communion ini dengan filemnya yang pertama, kami merasakan jalan cerita filem kedua ini agak kosong. Filem pertamanya mempunyai jalan cerita yang cukup meyakinkan dan permainan plot yang kreatif di dalam filem tersebut juga berjaya membuatkan filem Pengabdi Setan menjadi sebutan peminat filem seram yang berkualiti. Namun, filem sekuel ini pula sebaliknya yang mana ia lebih kepada menurut keinginan peminat filem ini yang mahukan ianya lebih bersifat komersial dan boleh jual. Hasilnya keseramannya berjaya menjadi igauan dan kepuasan peminat filem seram yang lebih dahagakan babak-babak seram berbanding peminat seram yang lebih mengutamakan jalan cerita yang kuat dan bermakna. Secara keseluruhannya, kami tiada sebarang masalah untuk filem sekuel ini kerana elemen seramnya menepati apa yang kami inginkan dan berjaya menutup kelemahan filem ini dari sudut jalan ceritanya yang agak kosong. Berbaloi buat anda yang ingin menguji sejauh mana keberanian anda menonton sebuah filem seram yang cukup menyeramkan ini.


Jadi, selamat menonton filem seram Pengabdi Setan 2 : Communion yang ditayangkan bermula pada 11 Ogos 2022. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Ialah Sebuah Aksi Drift Menarik Dari Jepun Berjudul Alive Drift! Nantikan Ulasan Filem Tersebut Dalam Waktu Terdekat. 

Catat Ulasan

0 Ulasan