Review Filem Perjalanan Pertama

 

Filem:
Perjalanan Pertama

Penilaian:
6/10

Pengarah:
Arief Malinmudo

Genre:
Drama

Pelakon:
Dato Ahmad Tamimi Siregar, Muzakki Ramdhan, Adinda Thomas, Randy Pangalila,
Gilang Dirga, Komi Ricky, Angelica Petra & Etc.  

Pengedar:
Empire Film Solution

Tarikh Tayangan:
18 Ogos 2022

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan seorang pekerja kedai cenderamata bernama Tan yang tinggal di sebuah kampung bersama cucunya, Yahya. Pada masa sama, Yahya yang semakin membesar sering bertanya kepada datuknya tentang identiti ibu bapanya. Ternyata semua persoalan akhirnya terjawab ketika mereka menghadapi masalah sewaktu dalam perjalanan untuk menghantar sebuah lukisan yang juga merupakan mas kahwin untuk satu pasangan yang akan bernikah. Sebuah perjalanan yang akan mengubah seluruh hidup Yahya dan Tan. Saksikan filem menarik ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 18 Ogos 2022 untuk mengetahui kisah seterusnya.

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah menerima jemputan daripada Rekomen Filem, Mahakarya Pictures, D'Ayu Pictures dan Empire Film Solution untuk menonton sebuah filem bergenre drama yang menarik berjudul Perjalanan Pertama pada 11 Ogos 2022 di GSC The Starling Mall.


Perkara pertama yang menarik perhatian kami tentang filem Perjalanan Pertama ini ialah budaya rakyat Indonesia terutama dari suku Padang yang berjaya dipaparkan dengan cukup menarik melalui keindahan sinematografi yang memenuhi keseluruhan perjalanan filem ini. Daripada latar tempat, ekonomi penduduk, makanan, permainan dan budaya yang ditunjukkan secara kreatif membuatkan hati kami terpaut untuk setia menonton kisah antara datuk dan cucu ini daripada mula sehingga kepada pengakhiran filem. Perkara ini betul-betul berjaya membuatkan kami mengimbau kembali kehidupan di zaman kecil dan menjadikan kami lebih dekat dengan penceritaan kedua-dua watak utama ini. Mana mungkin tidak tersenyum tersendirian melihat permainan layang-layang, meriam buluh serta menangkap ikan di parit yang betul-betul cukup nostalgia.


Perkara kedua yang menarik pada kami tentang filem Perjalanan Pertama ini ialah lakonan para pelakon terutamanya dua pemain watak utama di dalam filem ini iaitu Dato Ahmad Tamimi Siregar dan Muzakki Ramdhan. Kedua-dua mereka mempunyai keserasian yang cukup hebat dan hubungan datuk dan cucu yang cuba ditonjolkan di dalam filem ini kelihatan cukup meyakinkan dan realistik. Pertuturan bahasa Indonesia yang cukup fasih daripada Dato Ahmad Tamimi Siregar juga betul-betul berjaya meyakinkan kami bahawa beliau betul-betul berjaya membawakan watak ini dengan cukup baik. Dikuatkan lagi dengan lakonan mantap daripada adik Muzakki Ramdhan yang bukan sahaja petah berbicara tetapi berjaya meluahkan rasa emosinya dengan cukup berkesan. Jadi, kekuatan yang ada pada dua watak utama ini sahaja betul-betul berjaya menggeletek hati kami pada saat adanya adegan-adegan humor dan membuatkan kami sebak pada adegan-adegan yang betul-betul beremosi. Tahniah kami ucapkan atas kombinasi yang cukup mantap ini.


Kami juga akui bahawa filem Perjalanan Pertama ini mempunyai plot penceritaan yang cukup menarik dan kemas tersusun kronologinya. Melihat perjalanan datuk dan cucu menaiki skuter lama yang banyak ragam merentasi kawasan-kawasan menarik di sekitar Padang dan bahagian lain Indonesia sememangnya cukup menghiburkan. Namun, tidak dinafikan terdapat beberapa babak yang menimbulkan lompong-lompong kosong. Antara yang kami masih fikirkan ialah babak melibatkan barang penting yang dibawa oleh datuk dan cucunya ini telah dicuri dan motif bagaimana si pencuri mengetahui tentang betapa berharganya barang yang dibawa mereka masih menjadi persoalan tidak terjawab. Namun, hal tersebut tidak lah terlampau memberi kesan kepada filem ini kerana karya ini masih menghiburkan walaupun momentum filemnya disampaikan secara sederhana sepanjang filem ini berlangsung. Secara keseluruhan, filem ini masih berbaloi untuk anda tonton kerana ia mempunyai kepelbagaian rencah yang semestinya bakal menjentik hati anda untuk tersentuh dan mampu membuatkan air mata anda mengalir tanpa sedar. Tonton dan rasai sendiri pengalaman menarik ini nanti!


Jadi, selamat menonton filem Perjalanan Pertama yang akan ditayangkan bermula pada 18 Ogos 2022. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Ialah Sebuah Filem Seram Dari Indonesia Yang Cukup Menyeramkan Iaitu Pengabdi Setan 2! Nantikan Ulasan Filem Tersebut Dalam Waktu Terdekat. 

Catat Ulasan

0 Ulasan