Review Filem Satria Dewa: Gatotkaca

 

Filem:
Satria Dewa: Gatotkaca

Penilaian:
5/10

Pengarah:
Hanung Bramantyo

Genre:
Aksi, Pengembaraan & Adiwira

Pelakon:
Rizky Nazar, Yasmin Napper, Omar Daniel, Ali Fikry & Etc.  

Pengedar:
TGV Pictures

Tarikh Tayangan:
18 Ogos 2022

Sinopsis:
Filem Satria Dewa Gatotkaca merupakan filem pertama dari lapan filem Satria Dewa Semesta (Satria Dewa Cinematic Universe). Filem ini bakal memperkenalkan kepada penonton siapakah Pandawa & Kurawa serta adiwira yang terkenal dengan gelaran otot besi GATOTKACA. Filem ini mengisahkan kehidupan Yuda, pemuda berusia 22 tahun yang sedang mencari pembunuh bersiri yang telah mengambil nyawa ibunya sendiri, Arimbi dengan bantuan rakan-rakannya. Dalam pencarian tersebut, Yuda mula sedar dirinya mempunyai kuasa luar biasa dan menggunakan kelebihan itu untuk melindungi insan tersayang serta mencari dalang pembunuhan bersiri itu. Saksikan filem adiwira ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 18 Ogos 2022 untuk mengetahui kisah seterusnya.

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah menerima jemputan daripada Horizon Film Entertainment dan TGV Pictures ntuk menonton sebuah filem adiwira daripada Indonesia yang agak menarik iaitu Satria Dewa: Gatotkaca pada 15 Ogos 2022 di TGV Sunway Pyramid. Disini, kami ingin lahirkan rasa bangga terhadap karyawan-karyawan dari Indonesia yang sudah selangkah ke hadapan dari sudut menghasilkan dan memperkenalkan filem-filem adiwira mereka kepada dunia. Tahniah diucapkan atas kejayaan ini!


Secara jujurnya, filem Satria Dewa: Gatotkaca mempunyai banyak keistimewaan yang tersendiri. Cara pengenalan watak adiwira ini yang dimulakan pada babak imbas kembali dan perlahan-lahan wataknya diperkembangkan sedikit demi sedikit membuatkan kami sebagai penonton sangat mudah dan jelas untuk memahami siapa sebenarnya adiwira disebalik topeng Gatotkaca ini. Pemilihan Rizky Nazar sebagai pemain watak utama Gatotkaca adalah sebuah pilihan yang tepat dimana susuk tubuhnya serta persembahan lakonannya memang sangat kena dan sebati dengan kostum adiwira ini. Pujian juga harus diberikan kepada pereka kostum Gatotkaca kerana dimata kami ianya kelihatan sangat cantik dan betul-betul nampak ekslusif serta berharga.


Plot penceritaan filem Satria Dewa: Gatotkaca ini pada kami sudah baik. Babak aksinya juga banyak dan memuaskan terutama apabila ianya melibatkan babak pertembungan antara Gatotkaca dan watak antagonis lakonan Yayan Ruhian. Elemen lucunya juga ada dan berjaya menggeletek hati kami untuk terhibur dan sesekali ketawa geli hati. Namun, satu permasalahan yang agak mengganggu kami ialah filem ini seperti kehilangan arah untuk memilih sama ada ingin membawakan tema lebih berat atau tampil dengan cara penyampaian yang lebih ringan dan humor. Secara perbandingan mudah, jika mengambil contoh daripada dunia industri filem Hollywood, filem adiwira Indonesia ini tersepit di antara dua apabila dilihat kadang-kadang terlalu ingin kelihatan seperti filem-filem keluaran DC dan adakalah ingin dilihat seperti filem-filem keluarga Marvel. Apabila hal-hal sebegini dapat dilihat wujud pada filem ini, masalah penyampaian yang tidak konsisten ini memberi satu titik kelemahan yang membuatkan filem ini seakan-akan hilang arah, momentum penceritaan menjadi perlahan dan kelucuan yang pada mulanya menarik tetapi penghujungnya kurang memberi impak. Begitu juga dengan babak aksinya yang mana aksi-aksi di dunia nyata dilihat cukup mengasyikkan tetapi apabila melibatkan babak aksi di dalam dunia hitam merah, adegannya bergerak terlalu pantas dan pencahayaan yang terlalu gelap menghilangkan rasa aksi yang sebenarnya telah dikoreografer dengan cukup baik. Secara keseluruhan, filem ini masih menghiburkan dan ianya adalah antara salah satu karya Indonesia yang masih boleh diberi pujian.


Jadi, selamat menonton filem adiwira Satria Dewa: Gatotkaca yang ditayangkan bermula pada 18 Ogos 2022. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Ialah Sebuah Filem Berjudul?! Nantikan Ulasan Filem Tersebut Dalam Waktu Terdekat. 

Catat Ulasan

0 Ulasan