Review Filem Beast

 

Filem:
Beast

Penilaian:
6/10

Pengarah:
Baltasar Kormakur

Genre:
Ngeri

Pelakon:
Idris Elba, Sharlto Copley, Riley Keough, Iyana Halley, Leah Sava Jeffries & Etc.  

Pengedar:
United International Pictures

Tarikh Tayangan:
18 Ogos 2022

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan Dr. Nate Daniels, seorang duda yang kembali ke Afrika Selatan untuk melihat kembali tempat dia pertama kali bertemu dengan isterinya. Dr Nate turut membawa bersama dua anak perempuannya ke kawasan simpanan yang diuruskan oleh Martin Battles yang merupakan rakan keluarga isterinya dan ahli biologi hidupan liar. Tetapi, segala-galanya berubah menjadi satu pengalaman yang menakutkan apabila kenderaan yang mereka naiki rosak dan membawa kepada pertemuan dengan seekor singa jantan yang sedang mengganas akibat berdendam dengan pemburu haram yang telah membunuh kawanannya. Adakah mereka berempat akan selamat? Saksikan filem ngeri yang cukup mendebarkan ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 18 Ogos 2022 untuk mengetahui kisah seterusnya.

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah menerima jemputan daripada United International Pictures Malaysia untuk menonton sebuah filem ngeri yang cukup mendebarkan berjudul Beast pada 16 Ogos 2022 di GSC The Starling.


Filem Beast merupakan sebuah filem biasa atau mediocre yang sememangnya cukup menghiburkan dan padat dengan elemen aksi serta kejutan di dalam hampir keseluruhan penceritaan filem ini. Apa yang menarik perhatian kami ialah filem ini berdurasi di bawah 1 jam 30 minit. Jadi, dapat dilihat pengarah filem ini memang betul-betul memanfaatkan sehabis baik masa yang ada untuk memperkembangkan plot penceritaan tanpa ada elemen-elemen pengulangan dan bebas daripada cubaan untuk melambatkan penceritaan dengan adegan-adegan yang merapu. Ini yang membuatkan filem ini kelihatan cukup baik secara keseluruhan walaupun ianya hanya sekadar sebuah lagi filem komersial Hollywood yang memaparkan pertembungan antara manusia dan haiwan di dalam intipati kisahnya.


Pemilihan pelakon untuk setiap watak di dalam filem Beast memang terbaik. Idris Elba sekali lagi berjaya mengagumkan kami dengan lakonannya yang cukup mantap dan penuh dengan penghayatan emosi yang mengagumkan. Begitu juga dengan lakonan para pelakon cilik merangkap anak Dr Nate di dalam filem ini yang berjaya membuatkan penonton faham tentang karakter, perwatakan dan konflik yang berlaku antara mereka anak beranak. Jadi, ini memudahkan kami sebagai penonton untuk merasa lebih dekat dan jelas dengan motif konflik yang tercetus antara tiga watak utama ini. Selain itu, imej teknik janaan komputer atau CGI yang digunakan untuk menghasilkan singa-singa ganas di dalam filem ini juga boleh dikatakan hampir sempurna dan ianya sangat realistik. Jadi, adegan-adegan ganas dan menggerunkan sememangnya terasa nyata dan betul-betul berjaya membuatkan kami turut sama berasa terkejut dan cemas disaat babak-babak serangan singa muncul di layar. Walaupun ada masanya saiz singa berubah di dalam beberapa adegan namun ianya masih tidak mencacatkan keseluruhan filem ini. Tema yang dibawa tentang kekeluargaan, perlindungan haiwan liar serta masalah pemburu haram juga dilihat berjaya disampaikan dengan baik di dalam filem ini walaupun tidak secara menyeluruh. Babak-babak aksi juga berjaya dikoreograf dan disunting dengan baik walaupun ada beberapa adegan aksi yang terlalu hiperbola tetapi ianya sangat bagus untuk sebuah filem komersial seperti ini. Kesimpulannya, kami melihat filem Beast sebagai sebuah filem yang mampu memberikan hiburan yang sekata buat mereka yang dahagakan aksi-aksi pertembungan dan serangan haiwan liar terhadap manusia.


Jadi, selamat menonton filem Beast yang ditayangkan bermula pada 18 Ogos 2022. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Ialah Sebuah Filem Dari Indonesia Iaitu Satria Dewa: Gatotkaca! Nantikan Ulasan Filem Tersebut Dalam Waktu Terdekat. 

Catat Ulasan

0 Ulasan