Review Filem Fall

 

Filem:
Fall

Penilaian:
7/10

Pengarah:
Scott Mann

Genre:
Pengembaraan & Ngeri

Pelakon:
Jeffrey Dean Morgan, Grace Caroline Currey, Virginia Gardner & Etc.  

Pengedar:
Warner Bros. Pictures

Tarikh Tayangan:
25 Ogos 2022

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan dua sahabat baik iaitu Becky dan Hunter yang cuba melawan rasa takut dengan mendaki 2,000 kaki ke puncak menara radio yang terpencil dan terbiar. Namun, masalah mula timbul apabila mereka mendapati diri mereka terkandas tanpa sebarang jalan turun. Jadi, kemahiran pendakian pakar Becky dan Hunter akan diuji apabila mereka bermati-matian berjuang untuk bertahan dari masalah-masalah seperti kekurangan bekalan dan ketinggian. Saksikan filem ngeri yang cukup mendebarkan ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 25 Ogos 2022 untuk mengetahui kisah seterusnya.

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah menerima jemputan daripada Warner Bros. Pictures Malaysia untuk menonton sebuah filem ngeri yang cukup mendebarkan berjudul Fall pada 23 Ogos 2022 di TGV One Utama.


Filem Fall ini sememangnya merupakan salah satu genre filem yang kami gemari dimana ia memaparkan perjuangan manusia untuk kekal hidup di dalam situasi yang sukar dan mencabar. Memulakan kisah dengan perkembangan kedua-dua watak utama adalah satu perkara yang cukup penting di dalam sebuah filem. Alhamdulillah filem ini berjaya melakukan tugas tersebut dan ternyata membantu kami memahami karakter dan kisah silam Becky serta Hunter dengan lebih mudah dan jelas. Kejayaan ini berjaya membuatkan kami bersimpati dengan nasib kedua-dua watak ini yang menjadi tunjang utama dan penggerak kepada kejayaan filem ini secara keseluruhan. 


Pembangunan watak dan cerita yang bergerak seiring membuatkan filem Fall berjaya mengekalkan momentum penceritaannya dengan baik. Sentiasa hadir dengan pelbagai babak cemas serta permainan plot yang bijak mengelirukan penonton juga adalah salah satu kelebihan positif yang ada di dalam filem ini dan ianya wajar diberikan kredit. Tanpa elemen ini sememangnya filem ini tidak mampu mengikat penonton di tempat duduk masing-masing sehingga di akhir penceritaan.


Filem Fall walaupun menelan kos pembikinan yang rendah namun berjaya merealisasikan kesan khas yang meyakinkan terutamanya melibatkan struktur menara besi usang yang tinggi melangit. Mengikut info yang kami peroleh, struktur menara ini memang dibina oleh pihak produksi tetapi tidak lah tinggi seperti di dalam filem tersebut. Jadi, dengan bantuan teknik janaan imej CGI yang cukup bagus membuatkan unsur-unsur tragis, seram dan gerun berjaya disampaikan dengan sangat baik dan memberi impak yang cukup kuat buat kami yang menonton filem ini dengan rasa yang cukup teruja.


Tidak dinafikan ada sahaja babak-babak yang tidak logik di dalam filem Fall ini namun ianya masih boleh dimaafkan. Paling penting lakonan dua watak utama ini sangat bagus dan keserasian yang ada pada mereka berdua berjaya membuatkan kami seolah-olah percaya bahawa watak Becky dan Hunter ini wujud di dunia nyata. Secara keseluruhan, kesederhanaan yang ditampilkan di dalam filem Fall ini masih berjaya menghiburkan kami dan kami sangat sarankan buat para penggemar filem-filem berkonsepkan 'survival' untuk pergi menonton sendiri filem ini di pawagam berdekatan anda.


Jadi, selamat menonton filem Fall yang ditayangkan bermula pada 25 Ogos 2022. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Ialah Sebuah Filem Berjudul?! Nantikan Ulasan Filem Tersebut Dalam Waktu Terdekat. 

Catat Ulasan

0 Ulasan