Review Filem Air Force The Movie: Selagi Bernyawa


Filem:
Air Force The Movie: Selagi Bernyawa

Penilaian:
6/10

Pengarah:
Zulkarnain Azhar & Frank See

Genre:
Aksi

Pelakon:
Aiman Hakim, Adi Putra, Nas-T, Pablo Amirul, Luqman Hafidz,
Johan As'ari, Jack Tan, Sara Ali, Anas Ridzuan & Etc.  

Pengedar:
GSC Movies

Tarikh Tayangan:
25 Ogos 2022

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan Kapten Adib dan Major Adnan bersama skuadnya yang terlibat di dalam misi bantuan kemanusiaan di Namburi, sebuah negara yang sedang dalam pergolakan. Di dalam perjalanan pulang ke Malaysia, pesawat mereka telah ditembak jatuh oleh pengganas. Mengetahui perkembangan ini, Tentera Udara Diraja Malaysia telah mengarahkan misi untuk menyelamatkan mereka semua. Zafran, abang ipar kepada Adib dan juga seorang pilot SUKHOI berusaha untuk menyelamatkan mereka. Demi keselamatan bersama, mereka harus berkorban dan berjuang sehingga ke titisan darah yang terakhir. Saksikan filem aksi mendebarkan ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 25 Ogos 2022 untuk mengetahui kisah seterusnya.

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah menerima jemputan daripada GSC Movies untuk menonton sebuah filem aksi tempatan yang sememangnya dinanti ramai rakyat Malaysia iaitu Air Force The Movie: Selagi Bernyawa pada 22 Ogos 2022 di GSC Mid Valley.


Usai selesai menonton filem Air Force The Movie: Selagi Bernyawa ini sebentar tadi, jujur untuk kami nyatakan bahawa filem ini sangat memikat dari sudut aksinya yang tidak henti-henti sepanjang filem ini berlangsung. Untuk sebuah filem aksi tempatan, pada kami elemen aksinya tidak mengecewakan cuma ada beberapa babak yang masih boleh ditambah baik. Tahniah kami ucapkan untuk pihak yang terlibat di dalam menghasilkan sudut aksi ini. 


Lakonan para pelakon yang membintangi filem Air Force The Movie: Selagi Bernyawa ini juga pada kami wajar dipuji kerana hampir semua berjaya mempamerkan lakonan yang cukup mantap, realistik dan hebat dari sudut emosi tidak kira sama ada watak tersebut protagonis atau antagonis. Dari sudut ini dapat dilihat pemilihan pelakon untuk setiap watak daripada watak utama, pembantu mahu pun 'pak pacak' memang sangat tepat dan menakjubkan. Ini juga antara perkara yang kami suka untuk ucapkan tahniah kepada barisan yang terlibat di dalam pemilihan para pelakon filem ini.


Selain itu, filem Air Force The Movie: Selagi Bernyawa juga dilihat mempunyai usaha untuk menghasilkan lokasi dan props yang menepati latar masa dan negara rekaan Namburi yang meyakinkan. Seronok untuk melihat tempat tinggal penduduk Namburi di kem penempatan yang serba daif dan ia sememangnya bersesuaian dengan situasi peperangan saudara.


Namun, ada beberapa perkara yang agak menganggu keindahan filem Air Force The Movie: Selagi Bernyawa ini dimata kami. Perkara pertama ialah pembangunan watak yang jelas sekali amat kurang diberi perhatian dan penekanan di dalam filem ini. Ianya amat merugikan kerana para pelakon telah berjaya memberikan lakonan yang mantap namun disebabkan penonton tidak diberikan pengenalan sebaiknya untuk setiap watak dengan jelas maka ia membuatkan kami berasa ccanggung dan jauh daripada setiap watak tersebut. Dalam erti kata lain, kami susah untuk berasa sayang terhadap setiap watak ini dan apabila ada watak-watak yang dimatikan, ianya tidak memberi impak langsung kepada emosi kami. Hal ini kerana kelemahan penceritaan kisah setiap watak tidak diceritakan sebaik mungkin.


Menyentuh tentang aksi-aksi penerbangan dan serangan pula, tidak dapat dinafikan filem Air Force The Movie: Selagi Bernyawa sememangnya tidak boleh dibandingkan dengan filem dari Hollywood yang disanjung ramai tahun ini iaitu Top Gun Maverick. Sememangnya jauh panggang dari api jika dilihat dari kos pembikinan sementelah filem ini juga dihasilkan lewat tahun 2018. Ada babak-babaknya yang cantik dan ada juga yang kurang menarik namun dari satu sudut, kami masih ingin memberikan pujian kerana mereka telah menjadi antara penanda aras untuk filem-filem bergenre begini pada masa akan datang.


Selain itu, plot penceritaan filem Air Force The Movie: Selagi Bernyawa ini juga dilihat agak mengelirukan apabila melihat tentera Malaysia di dalam filem ini seakan-akan menjadi musuh terbesar kepada dua buah puak yang sedang berperang saudara tanpa sebab yang jelas. Mengikut fahaman kami, sepatutnya yang menjadi satu-satunya musuh kepada tentera Malaysia di dalam filem ini adalah puak yang paling dominan dan sedang mengganas membunuh puak yang satu lagi. Tetapi, perkara ini kurang jelas atau adakah jalan ceritanya mengelirukan kami masih menjadi persoalan. Namun, untuk sebuah filem aksi yang bersifat patriotik kepada negara tercinta, filem Air Force The Movie: Selagi Bernyawa masih sebuah filem yang menarik dan berbaloi untuk anda tonton terutamanya jika anda menyukai elemen aksi dan suka menonton nilai-nilai kemanusiaan yang terhakis seandainya sesuatu perang terjadi.


Jadi, selamat menonton filem Air Force The Movie: Selagi Bernyawa yang ditayangkan bermula pada 25 Ogos 2022. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Ialah Sebuah Filem Yang Cukup Menarik Iaitu Fall! Nantikan Ulasan Filem Tersebut Dalam Waktu Terdekat. 

Catat Ulasan

3 Ulasan

  1. Selalunya mcm tu la Hans, terlalu fokus dgn aksi, penceritaan diketepikan dan tidak dibentuk dgn baik. Tu belom lagi Hans sentuh berkaitan skrip. Character pula hanya buat syarat utk menarik penonton. Jika jalan cerita dan plot nya pon mengelirukan penonton, pada saya amat sayang segala tenaga, masa dan duit yg dilaburkan utk hasilkan filem ini. Mantis, Tuai, Rock, Gaban dan yg lain... all the best ye, peace...

    BalasPadam
    Balasan
    1. wahhhh...tahu semua nama watak. dah tengok juga ker tadi? hehehe.

      Padam
    2. Heheheh, saya tak tengok lagi dan memang menanti² review nya oleh Hans. Excited bila dpt baca tadi. Sebenarnya siang tadi kami ada sesi "movie apa nak layan minggu ni" dan kami petik film Air Force. Cuma kami surprised dgn nama² characters dlm film tu, belom lagi yg lain mcm Hujan, Paco... alahai, heheh...

      Padam