Filem:
Dragon Ball Super: Super Hero
Penilaian:
7/10
Pengarah:
Tetsuro Kodama
Genre:
Pengembaraan & Fantasi
Pelakon:
Masako Nozawa, Toshio Furukawa, Aya Hisakawa & Etc.
Pengedar:
Sony Pictures Entertainment
Tarikh Tayangan:
30 Ogos 2022
Sinopsis:
Filem ini mengisahkan tentang Tentera Red Ribbon dari masa lalu Goku telah kembali dengan dua android serta Cell yang dihasilkan semula dengan kuasa luar biasa untuk memusnahkan Son Goku dan rakan-rakannya. Namun, disebabkan Son Goku dan Vegeta berada di planet lain dan tidak dapat dihubungi maka tugas ini perlu diselesaikan oleh Son Gohan dan Picollo. Masalah mula timbul apabila Son Gohan yang tidak bersedia kini perlu menyelamatkan anak perempuannya iaitu Pan yang diculik oleh Tentera Red Ribbon. Mampukah mereka memulihkan keadaan kembali seperti sediakala? Saksikan filem animasi yang cukup menghiburkan ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 30 Ogos 2022 untuk mengetahui kisah seterusnya.
Ulasan:
Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah selesai menonton filem Dragon Ball Super: Super Hero bertempat di TGV The Mines pada 30 Ogos 2022. Terima kasih kepada rakan kami iaitu Iman kerana sudi menaja tiket wayang tersebut. Kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak Sony Pictures Malaysia kerana telah menjemput kami untuk menonton pada tayangan media serta tayangan istimewa waktu malam pada 29 Ogos yang lepas. Namun kerana kekangan masa kerana bekerja maka kami tidak dapat hadir pada sesi tersebut.
Filem Dragon Ball Super: Super Hero ini kali ini nampaknya tampil dengan mengetengahkan adiwira yang agak berbeza berbanding filem-filem sebelum ini. Selalunya wajah yang wajib ditampilkan adalah Son Goku dan Vegeta. Tetapi, berbeza untuk filem ini apabila Piccolo diangkat sebagai tunjang utama serta dibantu oleh watak Son Gohan dan anaknya Pan untuk keseluruhan jalan cerita. Agak menarik apabila penonton dapat melihat sisi lain Piccolo serta bagaimana filem ini memaparkan hubungan yang cukup rapat antara Piccolo dan Pan serta Son Gohan yang boleh kita anggap seperti anak dan cucunya sendiri. Lebih menarik kerana watak Piccolo berjaya menyinar dengan cukup baik dan tidak kelihatan janggal apabila diangkat sebagai watak utama di dalam filem ini. Adegan-adegan yang melibatkan Son Goku dan Vegeta semestinya masih ada dan tidak dimatikan.
Istimewanya tentang filem Dragon Ball Super: Super Hero ini ialah naskah ini tampil dengan elemen humor yang cukup melucukan daripada permulaan sehingga kepada penamat filem ini. Ianya sangat berbeza jika dibandingkan dengan filem sebelum ini iaitu Dragon Ball Super: Broly yang tampil dengan penceritaan yang penuh aksi serta suasana tegang yang cukup mencemaskan. Filem kali ini juga penuh dengan aksi namun kekuatan utamanya yang kami lihat adalah tahap komedi yang dicetuskan oleh setiap wataknya yang memang berjaya menggeletek hati kami untuk sentiasa ketawa walaupun pada waktu-waktu genting terutama pada babak-babak aksi.
Cuma seperti kami nyatakan tadi, filem Dragon Ball Super: Super Hero ini tidak dapat menandingi elemen-elemen tegang dan mencemaskan seperti mana filem Dragon Ball Super: Broly kerana watak-watak antagonis yang baru diperkenalkan ini tidak sekejam mana. Kekejaman yang cuba dipaparkan ini ditenggelamkan oleh faktor komedinya yang benar-benar menjadi. Lagipun watak antagonis Cell juga sudah dikenali oleh peminat-peminat siri Dragon Ball dan ianya tidak menjadi satu kejutan yang cukup kuat untuk dikenang oleh kami sendiri. Namun, secara keseluruhan filem Dragon Ball Super: Super Hero ini sememangnya cukup menghiburkan dan berbaloi untuk anda tonton di pawagam IMAX.
Jadi, selamat menonton filem Dragon Ball Super: Super Hero yang ditayangkan bermula pada 30 Ogos 2022. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!
P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Ialah Sebuah Filem Berjudul?! Nantikan Ulasan Filem Tersebut Dalam Waktu Terdekat.
0 Ulasan