Review Filem Hello World


Filem:
Hello World

Penilaian:
7/10

Pengarah:
Tomohiko Ito

Genre:
Animasi, Sains Fiksyen, Fantasi & Romantik

Pelakon:
Takumi Kitamura, Tôri Matsuzaka, Minami Hamabe, Haruka Fukuhara, Minako Kotobuki & Etc.

Pengedar:
GSC Movies

Tarikh Tayangan:
6 Februari 2020

Sinopsis:
Filem yang berlatar belakang Kyoto di tahun 2027 ini mengisahkan seorang pelajar lelaki sekolah menengah bernama Naomi Katagaki yang telah bertemu dengan seorang lelaki yang mendakwa dirinya adalah Naomi sendiri yang datang dari masa hadapan dengan jarak sebanyak 10 tahun. Naomi masa hadapan meminta bantuan Naomi untuk mengubah masa depan demi menyelamatkan kekasihnya iaitu Ruri daripada kematian. Mampukah Naomi mengubah sejarah hidupnya sendiri? Saksikan filem anime yang cukup menarik ini di pawagam terpilih GSC pada 6 Februari 2020 untuk mengetahui jawapannya.

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah menerima jemputan daripada pihak GSC Movies untuk menonton sebuah filem anime dari Jepun berjudul Hello World yang berlangsung di GSC Cinema One Utama pada 3 Februari 2020 yang lepas. Kami bukan lah peminat tegar filem Anime tetapi sejarah tontonan kami membuktikan filem-filem anime yang pernah kami tonton sepanjang tahun lepas sememangnya tidak pernah mengecewakan dan ada sebahagian kisahnya yang memang tidak terjangkau dek akal fikiran. Perkara ini nampaknya kembali berulang apabila filem anime Hello World ini juga menampilkan sebuah premis yang menarik dan begitu futuristik pada pemerhatian kami.


Filem Hello World ini seperti biasa dimulakan dengan kisah yang pada kami agak klise untuk sebuah filem anime dimana ia memaparkan kehidupan seorang budak lelaki bernama Naomi Katagaki yang skema dimana hidupnya lebih kepada buku-buku. Kami dipertontonkan tentang bagaimana Naomi cuba mengubah cara pergaulan, komunikasi serta meningkatkan dirinya melalui sebuah buku bacaan namun ianya gagal dilakukan oleh Naomi. Namun, filem ini mulai memaparkan satu konflik yang penuh kejutan saat Naomi bertemu dengan dirinya daripada masa hadapan dimana Naomi mulai mengetahui bahawa dirinya serta kehidupan bandar Kyoto yang dihuninya kini sebenarnya adalah sebuah simulasi komputer yang dihasilkan oleh dirinya daripada masa depan yang bertujuan untuk menyelamatkan seorang gadis yang dicintai dirinya pada masa hadapan. Hal ini dilihat menarik kerana Naomi di dalam dunia simulasi komputer ini belum pernah lagi jatuh cinta pada gadis yang dimaksudkan iaitu Ruri. Memandangkan Naomi daripada masa hadapan sangat mengenali dirinya sendiri jadi dia memperalatkan Naomi di dunia simulasi komputer ini untuk menyelamatkan Ruri demi mengambil data bagi menghidupkan semula Ruri di dunianya. 


Kami melihat hal ini sebagai satu perkara yang sangat menarik di dalam filem Hello World dimana ia memaparkan dua karakter yang berbeza yang boleh dilihat pada kedua-dua watak Naomi ini. Seorang yang lurus dan jujur pada zaman remaja dan seorang yang sangat mementingkan diri sewaktu mencapai kematangannya. Pertembungan ini dilihat sangat menarik dan membuatkan kami cukup teruja menyaksikan filem ini. Melihat bagaimana watak Naomi di dalam simulasi komputer berjuang untuk mengatasi rasa malu dan meningkatkan keyakinan dirinya disaat plot penceritaan ini berani membongkarkan rahsianya terlalu adalah satu perkara yang cukup mengujakan. Kisah percintaan berjaya dihubungkan dengan cukup baik dan berjaya membuatkan kami berasa sangat dekat dengan watak Naomi ini sendiri.


Kami melihat filem Hello World mempunyai keistimewaan yang cukup menarik dari sudut kisah percintaan watak Naomi dan Ruri ini. Walaupun kisah cinta dua orang remaja sering kali menjadi pilihan mudah di dalam penceritaan filem-filem tidak kira filem animasi atau pun sebaliknya, namun menonton perjalanan kisah cinta Naomi dan Ruri sememangnya cukup memberi kesan dan kepuasan kepada kami. Hubungan yang dimulakan dengan rasa yang cukup canggung serta memaparkan pasangan yang mempunyai kecenderungan minat yang sama dilihat berfungsi dengan baik dan langsung tidak membosankan. Sebaliknya, hubungan pasangan ini dilihat sangat comel dan cukup melucukan.


Namun, kami melihat permasalahan utama filem anime Hello World ini ialah pada penceritaan bahagian akhirnya yang terasa seperti kosong dimana ianya tidak berlaku pada bahagian pertama filem ini yang mempunyai pelbagai intipati menarik untuk dilihat dan dirasai. Bahagian kedua filem ini dilihat hanya memberi fokus kepada tiga watak sahaja dimana dua watak tersebut ialah Naomi dari masa hadapan dan Naomi yang tinggal di dalam simulasi komputer. Watak-watak lain sama sekali dilupakan dan dihilangkan serta merta. Hanya watak antagonis yang terdiri daripada makhluk-makhluk menyeramkan yang bertopeng rubah sahaja yang dilihat menguasai bahagian kedua filem ini dengan konflik penceritaan yang semakin samar dan menjauh daripada yang diharapkan. Walaupun bahagian kedua dilihat menampilkan penceritaan yang cukup futuristik serta luar biasa tetapi kami merasakan bahagian kedua filem ini masih gagal memberi impak sebaik bahagian pertamanya. Secara keseluruhan, filem anime Hello World menawarkan satu perkara baru buat penonton-penonton seperti kami yang bukannya peminat tegar anime Jepun dimana ianya sebuah naskah yang menarik, menghiburkan dan penuh dengan elemen kejutan. Cuma penyampaian kisah ini ada naik dan turunnya bergantung kepada sejauh mana anda membiarkan diri anda menikmati kisah yang dipaparkan di layar perak ini nanti.


Jadi, selamat menonton filem anime Hello World di pawagam GSC yang terpilih pada 6 Februari 2020 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Ialah Sebuah Filem Seram Dari Indonesia Karya Pengarah Tersohor Indonesia Iaitu Perempuan Tanah Jahanam. Nantikan Ulasannya! 

Catat Ulasan

0 Ulasan