Review Filem Pamali

Filem:
Pamli

Penilaian:
3/10


Pengarah:
Bobby Prasetyo

Genre:
Seram

Pelakon:
Marthino Lio, Putri Ayudya, Taskya Namya, Unique Priscilla & Etc.  

Pengedar:
GSC Movies

Tarikh Tayangan:
12 Januari 2023

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan sepasang suami isteri iaitu Jaka dan Rika yang kembali ke rumah keluarga Jaka yang ditinggalkan sejak 20 tahun yang lalu. Jaka terpaksa menjual rumah tersebut disebabkan kegawatan ekonomi yang dialaminya ekoran dibuang kerja sebagai seorang wartawan sebelum ini. Jadi, niat Jaka untuk membersihkan dan membaiki kerosakan yang terdapat pada rumah tersebut sebelum dijual kepada pembeli dengan harga yang lebih tinggi. Namun, tanpa disangka kedatangan mereka nampaknya tidak disenangi oleh makhluk mistik yang berada di rumah tersebut. Apakah yang bakal terjadi kepada Jaka dan Rika? Saksikan filem seram ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 12 Januari 2023 untuk mengetahui kisah seterusnya.

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah berjaya menonton sebuah filem seram daripada Indonesia berjudul Pamali pada 10 Januari 2023 yang lepas di GSC Tropicana Garden Mall. Untuk makluman semua, Pamali ini bermaksud pantang larang dan pada asalnya Pamali ini merupakan sebuah permainan video seram yang cukup terkenal di Indonesia. Disebabkan populariti permainan video tersebut disana, Pamali akhirnya diangkat menjadi sebuah filem seram untuk tontonan ramai.


Seperti biasa, Pamali merupakan antara salah sebuah filem seram klise yang tidak dapat lari daripada kebanyakan filem seram yang lain. Jalan ceritanya tidak terlampau kompleks dan sangat mudah diramal. Jadi, sedikit sebanyak hal ini menyebabkan  kami berasa filem ini terlampau biasa dan tidak ada sebarang keistimewaan untuk dinikmati. Walaupun cuba membawa budaya dan kepercayaan tentang kata-kata orang tua dahulu yang melarang untuk memotong kuku atau rambut pada waktu malam jika tidak mahu dilanda musibah namun ianya seakan-akan tenggelam dan tidak memberi kekuatan yang besar terhadap filem ini.


Filem Pamali cuba menawarkan keseraman yang dilihat lebih memberi kesan kepada mereka yang terlalu penakut. Jadi, buat penonton yang berani seperti kami pasti sedikit kecewa kerana elemen seram yang cuba diberikan gagal menaikkan bulu roma kami. Pengalaman kami sendiri menonton filem ini pada barisan kerusi ketiga dari hadapan skrin namun ternyata tidak ada sebarang babak pun yang berjaya mengejutkan kami. Ditambah dengan permainan cahaya pada babak malam atau gelap yang terlalu kelihatan kelabu membuatkan elemen seram yang cuba dipaparkan agak terganggu pada pandangan kami. Namun, masih ramai yang menyatakan filem ini berjaya menyeramkan mereka. Tetapi, jika ianya disoal kepada kami maka secara jujurnya kami menyatakan filem seram ini tidak berjaya menakutkan kami.


Jadi, selamat menonton filem seram Pamali yang ditayangkan bermula pada 12 Januari 2023. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Ialah Sebuah Filem Tempatan Yang Cukup Menarik Berjudul Duan Nago Bogho! Nantikan Ulasan Filem Tersebut Dalam Waktu Terdekat. 

Catat Ulasan

0 Ulasan