Review Filem Imaginur

Filem:
Imaginur

Penilaian:
8/10

Tiktok Review:

Pengarah:
Nik Amir Mustapha

Genre:
Drama & Fantasi

Pelakon:
 Beto Kusyairi,Diana Danielle, Nadiya Nisaa, Afdlin Shauki, Rahim Razali, Fatimah Abu Bakar & Etc.

Pengedar:
Skop Production

Tarikh Tayangan:
23 Febuari 2023

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan seorang lelaki muda bernama Zuhal yang mempunyai pelbagai masalah termasuk serangan panik dan cuba mendapatkan rawatan hipnosis selepas dicadangkan oleh seorang makcik. Keadaan mula kacau bilau apabila Zuhal secara tidak sengaja terjumpa dengan Nur yang sebelum ini hanya dijumpai di dalam mimpinya tetapi kini secara realiti. Zuhal mula keliru dengan kehidupannya dan cuba mencari penyelesaian terhadap segala masalah tersebut. Berjayakah Zuhal menemui kunci kepada jawapan persoalan itu? Saksikan filem yang cukup menarik ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 23 Februari 2023 untuk mengetahui kisah seterusnya.

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah berkesempatan menonton sebuah filem yang cukup dinanti-nantikan oleh ramai peminat filem tempatan iaitu Imaginur pada 20 Februari 2023 yang lepas di GSC Starling Mall. Filem ini mungkin boleh diklasifikasi sebagai salah satu seni filem berat namun ianya merupakan sebuah karya yang cukup menarik dan berbaloi untuk ditonton buat pertama kali di pawagam.


Kami melihat jalan cerita filem Imaginur ini cukup kreatif walaupun plot penceritaannya disusun bersilang-silang untuk membuatkan penonton sentiasa berteka-teki tentang persoalan dan jawapan kepada permasalahan utama yang dihadapi oleh watak penting filem ini iaitu Zuhal. Tidak pasti jika filem ini ada mengambil inspirasi daripada mana-mana filem luar negara namun kami harus akui karya terbaru pengarah Nik Amir Mustapha merupakan salah sebuah karya tempatan yang cukup bijak untuk tahun 2023 ini.


Antara perkara utama yang ingin diberikan pencerahan kepada penonton apabila menonton filem Imaginur ini ialah harga kasih sayang yang cukup mahal. Disokong oleh beberapa frasa ayat yang puitis atau berfalsafah menarik seperti “Kita wujud apabila ada orang menyedari tentang diri kita!” merupakan antara sumber kekuatan utama untuk memastikan perkara ini memberi kesan melankolik terhadap jiwa penonton. Kami akui terkesan saat mengetahui apa sebenarnya yang filem ini ingin sampaikan kepada penonton dan perkara ini telah memukau kami untuk jatuh cinta dengan hasil keseluruhan filem ini pada penghujung ceritanya.


Lakonan para pelakon yang terlibat di dalam filem Imaginur ini memang tidak boleh dipertikaikan lagi. Setiap pelakon mempunyai karakter yang berbeza dan masing-masing berjaya di dalam menghidupkan watak masing-masing yang disulam dengan pelbagai elemen dan emosi di dalam satu-satu masa. Disokong pula oleh sinematografi yang indah berlatar belakang pemandangan menghijau sambil ditemani sekawan pepatung menambah seri kepada filem ini untuk bermain dengan eksperimen alam semula jadi dan kesannya kepada kehidupan seharian.


Filem Imaginur mungkin kurang berjaya mengekalkan momentum cemerlang pada beberapa bahagian cerita kerana terlalu gemar bermain dengan pengulangan babak-babak tertentu namun hal ini mempunyai sebab yang jelas untuk digunakan di dalam teknik penyampaian ceritanya. Memang tidak sia-sia kerana apabila jawapan sebenar terbongkar maka segala yang dirasakan membosankan atau pengulangan babak yang meleret berubah menjadi sesuatu yang sangat manis dan cukup berharga. Untuk kami, filem sebegini mungkin sesuai ditonton sekadar sekali kerana ia berkaitan dengan usaha mencari jawapan di dalam setiap teka-teki yang diberikan. Pengalaman menonton buat kali kedua mungkin berubah 100 peratus buat anda yang telah mengetahui jawapannya. Jadi, pastikan tontonan pertama anda untuk filem ini adalah tontonan yang paling berkualiti supaya kemanisan kisah ini dapat anda nikmati secara menyeluruh. Tahniah kami ucapkan kepada para pelakon dan barisan krew produksi yang terlibat di dalam menghasilkan filem yang cukup bijak ini.


Jadi, jangan lupa untuk menonton filem Imaginur yang akan ditayangkan bermula pada 23 Februari 2023. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

Catat Ulasan

0 Ulasan