Review Filem Ant-Man And The Wasp: Quantumania

 

Filem:
Ant-Man And The Wasp: Quantumania

Penilaian:
8/10

Tiktok Review:

Pengarah:
Peyton Reed

Genre:
Aksi, Pengembaraan & Komedi

Pelakon:
 Paul Rudd, Evangeline Lily, Michael Douglas, Michelle Pfeiffer, Kathryn Newton & Etc.

Pengedar:
Walt Disney Pictures

Tarikh Tayangan:
16 Febuari 2023

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan Scott Lang yang telah menjadi seorang penulis yang berjaya dan bahagia hidup bersama Hope Van Dyne. Namun, segalanya berubah apabila Cassie iaitu anak kepada Scott Lang telah ditahan polis berikutan tingkah lakunya yang melanggar undang-undang kerana menggunakan teknologi pym secara tidak sah. Selepas diikat jamin, Scott telah membawa Cassie ke rumah ibubapa Hope iaitu Hank Pym dan Janet Van Dyne. Disinilah Cassie menunjukkan bagaimana dia berjaya menghasilkan peranti yang mampu menghubungkan mereka ke Quantum Realm. Tetapi, secara tiba-tiba reaksi Janet iaitu nenek Cassie berubah menjadi tidak gembira dengan kejayaan tersebut kerana terdapat satu rahsia besar yang cuba disembunyikan oleh dia daripada mereka semua. Janet tidak dapat menghalang dan mereka semua disedut ke Quantum Realm selepas portal terbuka secara sendiri. Jadi bermulalah pengembaraan mereka berlima di dalam Quantum Realm sehingga bertemu dengan musuh terbaru untuk fasa kelima MCU iaitu Kang si Penakluk. Saksikan filem yang menarik ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 16 Februari 2023 untuk mengetahui kisah seterusnya.

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah menerima jemputan daripada Walt Disney Pictures untuk menonton sebuah filem yang cukup dinanti-nantikan oleh ramai peminat Marvel iaitu Ant-Man And The Wasp: Quantumania pada 15 Februari 2023 yang lepas di IMAX TGV One Utama. 

Filem Ant-Man And The Wasp: Quantumania ini merupakan filem pertama untuk fasa kelima MCU yang menampilkan watak musuh utama terbaru iaitu Kang. Tidak dinafikan ramai yang memberikan ulasan kurang enak tentang filem ini terutamanya berkaitan dengan hasil penulisan yang dikatakan agak malas dan meruntuhkan imej watak-wataknya yang sebelum ini dibina dengan cukup baik. Namun, kami juga tidak dapat menolak bahawa filem ini mempunyai beberapa elemen yang cukup menarik untuk diberi pujian. Perkara pertama yang menarik tentang filem ini ialah berkaitan dengan dunia Quantum itu sendiri yang penuh dengan misteri dan kejutan. Disebabkan hampir keseluruhan filem ini memaparkan visual dunia terbabit jadi ia adalah satu percubaan yang cukup menarik untuk menunjukkan karakter-karakter baru serta pelik yang rata-ratanya bukan manusia. Ini adalah antara elemen yang agak menarik buat kami.

Perkara kedua yang menarik di dalam filem Ant-Man And The Wasp: Quantumania ini ialah babak penerangannya yang agak epik. Untuk filem pertama bagi fasa kelima dimana kisahnya lebih tertumpu kepada satu adiwira utama dan bukannya gabungan dengan adiwira lain, kami melihat ini adalah satu usaha yang cukup hebat dan menakjubkan. Terdapat hampir empat kejutan di dalam babak peperangan yang agak panjang dan perkara ini sudah cukup membuatkan kami berasa cukup puas menyaksikan keseluruhan babak. Membawakan semula musuh lama Ant-Man iaitu George Tarleton di dalam bentuk raksasa berkepala besar bernama MODOK adalah satu lagi perkara yang cukup baik dimana penghasilan yang dilakukan cukup teliti dan sama seperti mana yang dilihat di dalam siri animasi komik.


Namun, ada beberapa perkara juga yang dilihat telah membantutkan kecemerlangan filem Ant-Man And The Wasp: Quantumania ini pada pandangan kami. Antaranya ialah penceritaan tentang hubungan Scott Lang dan anak perempuannya Cassie yang kurang mendalam dan tenggelam dengan kisah dunia Quantum itu sendiri. Kedua ialah bagaimana imej ‘villain’ Kang yang ditakuti dan digeruni sebelum ini nampak seperti tidak memberi sebarang kesan kepada minda penonton. Watak Kang di dalam filem ini dilihat begitu mudah ‘di ayam-ayam’ kan sehingga kami teringat watak Namor yang lebih berkuasa dan menakutkan. Namun kelemahan ini telah diubati sedikit melalui babak penghujung pos kredit yang cukup gah dan mengujakan kami. Perkara ketiga ialah tentang watak MUDOK yang sepatutnya lebih hitam tetapi sekali lagi ia dirosakkan dengan dijadikan bahan lucu sehingga ke penghujung watak ini bernafas. Agak sayang kerana pertembungan antara MUDOK dan Ant-aman sepatutnya lebih gelap dan bernostalgia. Namun, secara keseluruhan filem Ant-Man And The Wasp: Quantumania ini masih menghiburkan kami dan berbaloi untuk ditonton di pawagam.


Jadi, jangan lupa untuk menonton filem Ant-Man And The Wasp: Quantumania yang akan ditayangkan bermula pada 16 Februari 2023. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!


Catat Ulasan

0 Ulasan