Review Filem Missing

Filem:
Missing

Penilaian:
8/10

Tiktok Review:

Pengarah:
Nick Johnson & Will Merrick

Genre:
Thriller

Pelakon:
 Storm Reid, Nia Long, Joaquim de Almeida, Ken Leung & Etc.

Pengedar:
Sony Pictures Entertainment

Tarikh Tayangan:
23 Febuari 2023

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan seorang remaja perempuan bernama June yang cuba menjejak ibunya yang hilang sewaktu percutian bersama teman lelakinya di Colombia. Jun cuba menjejaki lokasi terakhir ibunya berada dan cuba menyiasat latar belakang kekasih ibunya. Apa yang dijumpai June sangat mengejutkan dan kini nyawa ibunya dalam bahaya. Saksikan filem yang cukup mendebarkan ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 23 Februari 2023 untuk mengetahui kisah seterusnya.

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah menerima jemputan daripada Sony Pictures untuk menonton sebuah filem yang cukup menarik iaitu Missing pada 13 Februari 2023 yang lepas di GSC Starling Mall. 


Filem Missing ini diarahkan oleh pengarah yang sama dengan filem Searching dan pernah ditayangkan di pawagam pada tahun 2018. Mengambil premis yang lebih kurang sama namun berbezanya kali ini adalah subjek yang diberi fokus utama di dalam Missing ialah seorang anak perempuan yang mempunyai misi untuk menjejaki ibunya yang hilang secara tiba-tiba di negara luar. Pembaharuan di dalam filem ini dapat dilihat cukup ketara dari segi teknologi yang diguna pakai yang sememangnya mengikut arus peredaran masa dan bersesuaian dengan tontonan pada tahun 2023 ini. Kali ini penonton akan dihidangkan dengan hubungan antara anak perempuan dan ibunya yang sering bergolak akibat kawalan ketat ibunya ke atas kehidupan anaknya yang sudah menjangkau umur 18 tahun. Segala tindak tanduk si ibu dan kesan ke atas anaknya iaitu June berjaya dikembangkan dengan cukup baik untuk membuatkan kami sebagai penonton dapat memahami situasi dan pemikiran kedua-dua watak dengan cukup mudah.


Filem Missing berjaya memberi pelbagai jenis kejutan melalui permainan teka-teki yang diberikan kepada penonton untuk cuba menyelesaikannya sebelum dikejutkan dengan banyaknya plot twist yang cukup menjadi. Kami melihat susunan jalan ceritanya adalah cukup baik dan plot penceritaannya juga mudah tetapi meyakinkan. Dibantu oleh imej serta logo aplikasi yang diguna pakai dalam penceritaan melalui suntingan pantas sememangnya berjaya menaikkan adrenalin kami sebagai penonton untuk sentiasa teruja dan cemas menyaksikan perjalanan ceritanya yang penuh dengan kejutan. Walaupun berlatarkan lokasi yang sangat minima tetapi ianya sama sekali tidak membantutkan filem ini untuk terus berkembang mekar menggembirakan penonton yang menyukai genre thriller sebegini.


Filem Missing bukan sekadar menampilkan olahan cerita yang kelihatan realistik dengan isu semasa tetapi juga diperkuatkan lagi dengan persembahan lakonan para pelakonnya yang cukup berwibawa dalam membawakan watak masing-masing yang rata-ratanya cukup misteri. Secara jujurnya, kami cukup terhibur menonton filem Missing ini daripada permulaan sehingga ke peringkat akhirnya. Memang sebuah filem yang cukup berbaloi untuk anda tonton di panggung wayang.

Jadi, jangan lupa untuk menonton filem Missing dengan menonton karya hebat ini yang akan ditayangkan bermula pada 23 Februari 2023. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

Catat Ulasan

0 Ulasan