Review Filem Kaappaan


Filem:
Kaappaan

Penilaian:
7/10

Pengarah:
K.V. Anand

Genre:
Aksi & Ngeri

Pelakon:
Suriya, Mohanlal, Arya, Sayyeshaa, Boman Irani & Etc.

Tarikh Tayangan:
20 September 2019

Pengedar:
DMY Creation Sdn Bhd

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan mengenai seorang pegawai Perlindungan Khas, yang diberi tanggungjawab untuk menjaga keselamatan orang-orang ternama termasuk Perdana Menteri. Saksikan filem penuh aksi ini di pawagam berdekatan anda bermula pada 20 September 2019 ini untuk mengetahui jawapannya.

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah berjaya menonton sebuah filem Kollywood berjudul Kaappaan di MMcineplesex eCurve pada 25 September 2019 yang lepas. Apa yang menariknya tentang filem ini ialah ia mempunyai banyak permainan plot atau plot twist serta elemen aksi komersial wajib filem Kollywood untuk membuatkan kami tertarik dan terhibur dengan keseluruhan kisahnya walaupun ia bukannya sebuah filem yang terbaik. Kami agak menyukai 30 minit terawal filem ini yang berjaya membuatkan kami sedikit tertipu apabila menyangkakan watak utama filem ini adalah antagonis sebelum akhirnya kisah sebenar watak utama ini dibongkarkan.


Namun, apa yang membuatkan kami kurang berkenan tentang filem ini apabila kebanyakan intipatinya selepas 30 minit tersebut bukan sekadar kurang menarik tetapi juga dilihat tergelincir jauh dan menyebabkan ianya kelihatan sedikit kacau bilau. Ianya dilihat gagal memanipulasi pemikiran penonton untuk berasa kagum dengan keseluruhan plot yang dibangunkan selepas itu. Hubungan watak utama Kathir dengan Perdana Menteri India dilihat tidak menyakinkan. Hubungan percintaan antara Kathir dan Anjali juga dilihat terlalu kebetulan dan tidak menyatu dengan baik. Hubungan persahabatan antara Kathir dan rakan-rakannya juga gagal dikembangkan dengan menyeluruh. Sebelum watak-watak antagonis mula ditimbulkan satu persatu yang kemudiannya cuba memusnahkan kawasan-kawasan di India melalui serangan biologi menggunakan belalang Afrika yang turut dilihat kurang berkesan kepada filem ini.


Kami melihat filem Kaappaan lebih kepada sebuah filem komersial yang mempertaruhkan aksi-aksi menarik dan pada kami ianya berjaya. Kami juga menyukai elemen  politik yang disadurkan di dalam kisah penceritaan filem ini berkaitan India dan Pakistan walaupun babak pertemuan antara Perdana Menteri India dan Duta Pakistan dilihat terlalu keanak-anakkan. Unsur humor juga sedikit membantu menceriakan filem ini yang sememangnya padat dengan aksi-aksi yang dikoreografi dengan baik. Mesej berkaitan masalah petani, eksploitasi industri pertanian serta kemiskinan juga turut diselitkan namun kami merasakan seperti terdapat kelompongan yang besar antara mesej dan isu-isu yang dipaparkan ini dengan keseluruhan jalan ceritanya. Ianya bukan tidak menghiburkan tetapi kelihatan sedikit janggal buat kami yang menonton filem ini.


Secara keseluruhannya, kami masih terhibur menonton filem Kaappaan ini yang penuh dengan aksi-aksi yang memukau. Jadi, selamat menonton filem Kaappaan di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 20 September 2019 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Ialah Sebuah Filem Tempatan Berjudul Walk With Me. Nantikan Ulasannya!

Catat Ulasan

0 Ulasan