Review Filem Walk With Me


Filem:
Walk With Me

Penilaian:
5/10

Pengarah:
Ryon Lee

Genre:
Seram & Ngeri

Pelakon:
Michelle Wai, Alex Lam, Qi Yuwu, Anna Ng, Richard Ng & Etc.

Tarikh Tayangan:
3 Oktober 2019

Pengedar:
MM2 Entertainment Sdn Bhd

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan seorang wanita yang tinggal bersendirian tanpa kasih sayang keluarga dimana bapanya merupakan seorang penagih dadah manakala ibunya pula seorang jururawat yang sibuk.  Dia mula melihat seorang budak perempuan kecil bertocang sering mengikutnya selepas salah seorang jiran di rumah sewanya berpindah kerana diserang roh jahat. Dia juga turut dibuli oleh pengurus di tempat kerja serta bapanya di rumah. Tanpa sesiapa untuk membantunya, dia akhirnya meminta pertolongan satu patung aneh untuk melawan pembulinya. Apabila mereka ditemui mati dalam keadaan yang aneh, dia merasakan patung itu ada kaitan dengan kematian mereka. Saksikan filem yang menyeramkan ini di pawagam berdekatan anda bermula pada 3 Oktober 2019 ini untuk mengetahui kisah seterusnya.

Ulasan:

Alhamdulillah pihak Rollo De Pelicula mendapat jemputan daripada MM2 Entertainment Sdn Bhd untuk menghadiri tayangan filem Walk With Me bertempat di GSC Mid Valley pada 30 September 2019 yang lepas. Filem tempatan berbahasa Kantonis ini nampaknya menawarkan satu premis yang menampilkan banyak kejutan menarik yang boleh diberi penghargaan walaupun tidak secara keseluruhannya. Terdapat banyak juga perkara yang kelihatan canggung yang kami rasakan saat menonton filem bergenre seram ini.


Pada peringkat awal dan pertengahan filem Walk With Me ini, kami melihat filem ini tidak dapat lari daripada dibayangi oleh kebanyakkan filem-filem seram tempatan mahu pun antarabangsa dimana ia bermula dengan perkembangan kisah dan watak-watak utamanya sambil menjadikan satu objek sebagai fokus serta pembayang kepada kewujudan makhluk-makhluk halus atau mistik. Objek di dalam filem ini ialah sebuah patung bernama Dao Dao dimana ia dibawa kemana sahaja dan dipercayai mempunyai semangat jahat dan merupakan punca kepada terjadinya segala perkara misteri dan menakutkan di dalam filem ini. Secara jujurnya, kami agak tertarik dengan elemen-elemen seram yang ditimbulkan di dalam filem ini dimana ianya tidak terlalu keterlaluan tetapi menjadi. Dibantu pula oleh permainan kamera serta sinematografi yang baik menjadikan elemen kejutan dan seram ini berjaya terbentuk dengan baik.


Kami juga sangat tertarik dengan realiti wajah masyarakat tempatan kelas bawahan yang dipaparkan di dalam filem Walk With Me ini melalui mesej-mesej menarik yang disampaikan melibatkan gabungan isu-isu sensasi seperti masalah buli, kemiskinan serta masalah keganasan rumah tangga. Landskap serta latar tempat yang dipilih sama ada lokasi rumah mahu pun tempat kerja berjaya menterjemahkan apa yang dilalui oleh watak-watak penting filem ini dengan sebaik mungkin. Namun, satu masalah yang dilihat melanda filem ini ialah walaupun ianya mempunyai isu menarik dan disampaikan melalui gabungan beberapa plot menarik namun kami harus akui momentum penyampaiannya yang sedikit perlahan adakala cepat mengundang kebosanan kepada pengalaman tontonan untuk beberapa bahagian filem ini.


Seperti yang kami nyatakan, filem Walk With Me ini sememangnya kaya dengan kejutan permainan plot pada bahagian akhirnya dimana kami secara peribadi sukakan idea serta kreativi menarik yang cuba dipaparkan. Namun, campuran unik ini pada akhirnya bukan sahaja kelihatan membingungkan tetapi juga menyebabkan kami terasa canggung apabila memikirkan balik beberapa perkara yang pada akhirnya kelihatan seperti satu percubaan yang longgar dan kurang menjadi. Perkara-perkara yang kelihatan bermasalah dan bertentangan dengan kisah sebenar yang ingin disampaikan boleh dilihat kepada adegan antara Sam dan York yang cuba mengimbau zaman kanak-kanak tetapi pada akhirnya kelihatan tidak kesampaian. Begitu juga dengan kelibat hantu kanak-kanak perempuan yang juga dilihat agak longgar dan pada akhirnya seperti jauh terpisah dengan realiti kisah sebenar. Masalah utama babak akhir filem ini ialah apabila ia dilihat terlalu mencuba untuk memanipulasi pemikiran penonton sehingga pada akhirnya sebahagian elemen tersebut kembali menjerat diri penceritaan filem ini sendiri. Namun, secara keseluruhannya filem seram tempatan berbahasa Kantonis ini masih boleh diberi penghargaan dan berbaloi untuk ditonton oleh para peminat filem seram tempatan walaupun naratifnya terutama dibahagian akhir kurang memberi impak secara maksimum.


Jadi, selamat menonton filem Walk With Me di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 3 Oktober 2019 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Ialah Sebuah Filem Aksi Hollywood Berjudul Gemini Man. Nantikan Ulasannya!

Catat Ulasan

0 Ulasan