Festival Filem Kesatuan Eropah Kembali Dengan 19 Filem Pemenang Anugerah

Buat pertama kalinya, portal filem Rollo De Pelicula telah dijemput oleh pihak GSC Movies untuk hadir ke majlis pelancaran Festival Filem Kesatuan Eropah (EUFF) yang berlangsung pada 1 Oktober 2019 yang lepas. Untuk pengetahuan semua, Festival Filem Kesatuan Eropah merupakan salah satu festival filem antarabangsa yang dinanti-nantikan di Malaysia yang kini kembali ke pawagam-pawagam Golden Screen Cinemas yang terpilih sempena meraikan ulang tahun ke-20 penganjurannya di negara ini. Untuk tahun ini, festival ini memfokuskan ciri-ciri dinamik, keluasan dan inovasi kontemporari perfileman Eropah serta kepelbagaian kebudayaan benua tersebut melalui filem-filemnya yang telah mendapat pujian positif oleh ramai penonton sebelum ini. 


Sejak edisi pertama Festival Filem Kesatuan Eropah (EUFF) pada tahun 2000, ramai golongan penggemar filem, pelajar, keluarga dan orang awam telah menikmati pengalaman filem berbahasa asing yang buat pertama kalinya melalui filem-filem EUFF dimana filemnya meliputi pelbagai genre seperti animasi, drama, romantik, komedi, pengembaraan, keluarga dan dokumentari. Dapat dilihat program festival ini berjaya memaparkan kesinambungan kreativiti dan kepelbagaian Eropah yang menepati minat semua golongan. 


Menurut TYT Maria Castillo Fernandez yang merupakan Duta dan Ketua Delegasi Kesatuan Eropah ke Malaysia, beliau menyatakan benua Eropah ialah satu entiti yang memiliki kepelbagaian budaya, bahasa dan gaya hidup. Melalui EUFF, mereka meraikan perihal kebudayaan dan budaya diletakkan sebagai fokus perkongsian mereka di seluruh duniatermasuklah di Malaysia. Beliau turut berharap agar filem-filem yang dibawakan kali ini bukan sahaja sekadar dapat menghibur penonton Malaysia tetapi juga dapat memberi inspirasi dan mengajar para penonton tentang kebudayaan Eropah bahkan menunjukkan keterbukaan rakyat Malaysia dengan masyarakat Eropah meraikan kepelbagaian budaya dalam kalangan orang ramai.


Untuk tahun 2019, sebanyak 19 buah filem pemenang anugerah dari 15 buah negara Eropah bakal ditayangkan sempena Festival Filem Kesatuan Eropah (EUFF) kali ini. Selain itu, filem-filem daripada negara bukan Kesatuan Eropah seperti Switzerland dan Norway juga turut sama ditayangkan. Kebanyakan filem ini adalah hasil kerjasama atau usahasama produksi antara negara Eropah yang dimanfaatkan daripada projek Suruhanjaya Eropah yang diuruskan oleh sebuah konsortium yang ditubuhkan oleh Goethe-Institut (peneraju), Institut Français dan Cineuropa, sebuah portal promosi perfileman Eropah. Seperti kehidupan bersatu padu di Malaysia, filem-filem ini meraikan perbezaan yang menyatukan Eropah serta mengetengahkan skop penceritaan dan seni melintasi batas budaya dan negara yang berbeza. 


Festival Filem Kesatuan Eropah (EUFF) kali ini akan dibuka dengan tayangan filem utama dari Romania, Beside Me yang diinspirasikan daripada idea hubungan insan yang meruntun jiwa. Diarahkan oleh sutradara berbangsa Romania berkelainan upaya Tedy Necula, Beside Me mengingatkan kita bahawa manusia adalah terasing sehinggalah sesuatu membawakan manusia bersatu. Mesej yang dibawakan adalah relevan pada kehidupan masa kini iaitu empati, kesedaran kendiri dan toleransi. 


Portal filem RolloDePelicula serta rakan-rakan media lain juga berkesempatan menonton filem Les Invisibles yang ditayangkan semasa sidang media sebentar tadi dimana filem ini merupakan sebuah filem komedi yang berkisarkan mengenai sekumpulan pekerja sosial yang melakukan apa saja sedaya-upaya mereka untuk membantu golongan wanita gelandangan di dalam tempat perlindungan mereka untuk bergaul dengan masyarakat. Filem ini diangkat sebagai contoh komitmen Eropah dalam kesamarataan sosial. Apa yang menarik, ramai watak utama filem ini dilakonkan oleh wanita bekas gelandangan dan bukan pelakon profesional. Untuk mendapatkan tona yang betul untuk filem ini, pengarahnya Louis-Julien Petit telah melakukan kerja sukarelawan selama setahun di pusat perlindungan wanita gelandangan di Grenoble dan Paris. 


Festival Filem Kesatuan Eropah (EUFF) Ke-20 ini dianjurkan oleh Delegasi Kesatuan Eropah ke Malaysia, dengan kerjasama semua kedutaan dan institut kebudayaan 13 buah negara anggota Kesatuan Eropah, serta Norway dan Switzerland. Selain itu, festival filem ini mendapat sokongan daripada rakan organisasi tempatan Golden Screen Cinemas Sdn. Bhd., Golden Screen Cinemas International Screens, GSC Movies dan CinemaOnline. Berita baik buat penggemar filem Eropah, anda dapat menonton enam filem secara percuma di pawagam-pawagam terpilih yang menayangkan filem-filem ini. Enam filem yang kami maksudkan ialah:

1) Lada Kamenski (Croatia)
2) Winter Flies (Republik Czech)
3) Ailo's Journey (Finland)
4) The Romantic Exiles (Sepanyol)
5) Don't Stop Me Now (Itali)
6) As Needed (Itali)

Kupon untuk tayangan filem ini boleh dimuat turun daripada www.euff.com.my dan ditebus di kaunter tiket GSC yang menyertai berdasarkan “siapa cepat, dia dapat”


Bagi tahun 2019 ini, Festival Filem Kesatuan Eropah (EUFF) akan berlangsung di beberapa pawagam Golden Screen Cinemas terpilih iaitu:
Kuala Lumpur (17 – 27 Oktober) :
– GSC Mid Valley
– GSC Pavilion KL
– GSC 1 Utama 

Pulau Pinang (31 Oktober - 6 November) :
– GSC Gurney Plaza. 

Untuk makluman, tiket EUFF akan mula dijual pada 10 Oktober pada harga RM9.00 untuk tempat duduk biasa. Tiket bagi filem GSC International Screens Les Invisibles (Perancis) dijual pada harga yang ditetapkan oleh GSC. Selain di outlet GSC yang menyertai, tiket juga boleh dibeli secara GSC E-payment di www.gsc.com.my dan aplikasi mudah alih GSC. Maklumat terperinci mengenai filem, jadual tayangan dan lain-lain mengenai Festival Filem Kesatuan Eropah boleh didapati di laman web www.euff.com.my atau www.gsc.com.my

Catat Ulasan

0 Ulasan