Review Filem The Wrath


Filem:
The Wrath

Penilaian:
5/10

Pengarah:
Yoo Young-Seon

Genre:
Seram & Misteri

Pelakon:
Seo Young-Hee, Son Na-Eun, Lee Tae-Ri, Park Min-Ji & Etc.

Tarikh Tayangan:
6 Disember 2018

Pengedar:
GSC Movies

Sinopsis:

Filem ini merupakan filem seram yang dibuat semula berdasarkan filem seram pada tahun 1986 dengan judul yang sama. Ia mengisahkan tentang dua wanita Joseon yang bergaduh sesama sendiri berikutan tragedi yang berlaku dalam sebuah keluarga di mana ketiga-tiga orang anak lelaki dalam keluarga itu mati pada hari perkahwinan mereka akibat terkena sumpahan yang cukup dasyat. Mereka cuba melakukan sesuatu untuk menghentikan sumpahan tersebut agar keturunan mereka dapat dikekalkan. Berjayakah mereka menghilangkan sumpahan tersebut? Saksikan filem seram ini di pawagam berdekatan anda bermula pada 6 Disember 2018 untuk mengetahui kisah seterusnya.

Ulasan:

Aku sebenarnya memang langsung tidak bercadang untuk menonton filem seram dari Korea yang berjudul The Wrath ini. Namun, disebabkan ada beberapa masalah yang berlaku dan tidak dapat dielakkan membuatkan aku mengambil keputusan untuk menonton filem ini di GSC IOI Mall Puchong pada 10 Disember 2018 yang lepas. Filem The Wrath ini merupakan filem pembikinan semula daripada filem seram Korea yang pernah diterbitkan pada tahun 1986 dengan judul yang sama. Namun, aku merasakan membuat semula filem ini di tahun 2018 adalah satu kesilapan besar kerana filem ini bukan sahaja gagal memikat hati para penonton tetapi turut gagal di dalam mengekalkan fokus penceritaannya menyebabkan filem ini kelihatan menyepi daripada menjadi bualan peminat filem Korea yang diterbitkan pada tahun ini.


Filem seram Korea ini secara zahirnya tidak lah seseram mana kerana ia lebih menekankan kepada eleman drama di dalam penceritaannya. Unsur kejutan yang berjaya ditimbulkan untuk membuat penonton berasa takut pun hanya melalui beberapa babak sahaja yang menggunakan kesan bunyi, zoom pantas lensa kamera serta sinematografi filem ini yang berjaya membangkitkan elemen seram itu walaupun tidak secara keseluruhan. Filem ini mempunyai kisah yang menarik berkenaan sumpahan yang membunuh waris lelaki keluarga tersebut. Namun, kelemahan yang ketara dari segi lakonan kebanyakkan pelakon utamanya serta susunan plot cerita yang kurang memberi impak menyebabkan filem ini tidak ada keunikan yang tersendiri dan menyebabkan ia hanya sekadar sebuah lagi filem seram yang melengkapkan kuota tayangan di panggung wayang.


Aku melihat kekuatan filem ini dari sudut lakonan pula hanya datang daripada lakonan cemerlang yang diberikan oleh pelakon Seo Young-Hee dimana watak ini berjaya dikembangkan penceritaannya melalui pelbagai emosi serta sudut yang kreatif berbanding watak-watak utama lain. Son Na-Eun yang memegang watak utama sebagai gadis kampung yang merupakan seorang anak yatim piatu pula dilihat sangat kekok di dalam membawakan watak tersebut. Lebih menghibakan apabila satu lagi watak penting iaitu dukun Hae Chun Bi yang dilakonkan oleh pelakon Lee Tae-Ri seperti dilupakan apabila anda menonton filem ini kerana kemunculannya seakan-akan tidak kena waktu dan menimbulkan banyak kelompongan dan persoalan terhadap jalan cerita filem ini. 


Filem The Wrath bukannya sebuah filem yang gagal tetapi jika anda inginkan sesuatu yang lebih daripada sebuah filem seram, filem ini bukan lah filem yang anda cari. Naskhah ini boleh dikatakan hanya sebagai sebuah lagi filem seram yang sesuai dimakan bersama popcorn sewaktu sesi tontonan di dalam panggung. Filem ini tidak merugikan untuk ditonton tetapi ia juga tidak lah memberikan kepuasan yang maksimum. Boleh dikatakan sebagai sebuah lagi filem seram Korea tipikal yang berada di tahap sederhana.


Jadi, selamat menonton filem The Wrath dan jangan lupa kongsikan pandangan anda melalui komen di ruangan komen di bawahSekian!

P/S : Ulasan Filem Bumblebee Akan Menemui Anda Dalam Waktu Terdekat. Nantikan!

Catat Ulasan

0 Ulasan