Review Filem Bumblebee


Filem:
Bumblebee

Penilaian:
6/10

Pengarah:
Travis Knight

Genre:
Aksi & Pengembaraan

Pelakon:
Hailee Steinfeld, John Cena, Jorge Lendeborg Jr., Jason Drucker,
Dylan O'Brien, Justin Theroux, Angela Bassett, Pamela Adlon & Etc.

Tarikh Tayangan:
20 Disember 2018

Pengedar:
United International Pictures

Sinopsis:

Filem ini berlatarkan tahun 1987 dimana seorang gadis berusia 18 tahun bernama Charlie telah terjumpa Bumblebee secara tidak sengaja yang rosak dan tersorok di sebuahkedai potong di pantai California. Dia kemudian menyedari bahawa kereta itu bukannya Volkswagen Beetle yang biasa. Saksikan filem menarik ini di pawagam berdekatan anda bermula pada 20 Disember 2018 untuk mengetahui kisah seterusnya.

Ulasan:

Alhamdulillah, aku berkesempatan menonton filem Bumblebee sempena tayangan sneak preview di TGV Cinemas Sunway Pyramid pada tanggal 14 Disember 2018 yang lepas. Memang kerusi di dalam panggung hampir separuh penuh walaupun tayangan awal bermula pada pukul 10.45 pagi. Ini menandakan filem Bumblebee merupakan salah satu lagi filem yang dinanti-nanti oleh kaki wayang sebelum tahun 2018 melabuhkan tirainya dalam masa dua minggu lagi. 


Filem ini dimulakan dengan babak peperangan di antara pihak Autobots dan Decepticons yang berlaku di Cybertron. Pada babak inilah pengenalan ringkas tentang Bumblebee atau nama asalnya B-127 dan Optimus Prime dimulakan. Aku melihat pembukaan filem Bumblebee ini yang dipenuhi dengan cahaya-cahaya tembakan, letupan serta pergerakan robot-robot yang mengikut pola struktur koreograf yang sangat kemas membuatkan ia sebuah babak yang sangat indah dan begitu awal untuk dinikmati. Pergerakan robot-robot yang sedang berperang, bergasak, menembak dan sebagainya ini juga dilihat betul-betul teliti dan cantik hasilnya apabila dipandang di layar perak. Aku melihat kedua-dua puak ini berjaya dipaparkan di dalam visual dalam jasad yang kelihatan betul-betul realistik walaupun aku sendiri sedar ia adalah hasil imej janaan komputer.


Permulaan plot filem ini yang kelihatan begitu mengujakan dan bergerak pantas nampaknya tidak dapat diteruskan dengan baik apabila pengenalan watak manusia yang bernama Charlie Watson, seorang remaja berumur 18 tahun mula mengambil tempat di dalam jalan cerita filem ini. Charlie yang berada di dalam fasa pemberontakan seorang remaja dimana dia merasakan jiwanya kosong dan diabaikan oleh ibunya setelah ayahnya emninggal dunia. Pada masa yang sama, Charlie turut berasa tertekan kerana rakan-rakan sebayanya masing-masing mempunyai kereta yang membuatkan dia turut ingin memiliki kereta sebagai hadiah hari jadinya. Jadi, masa yang diperuntukkan sepanjang penceritaan terhadap pengenalan watak Charlie ini kepada penonton sehingga lah kepada babak pertemuan antara Charlie dan Bumblebee yang ketika itu di dalam keadaan penyamaran sebagai sebuah kereta Volkswagen Beetle berwarna kuning mengambil masa yang agak lama. Momentum perjalanan cerita turut sama terjejas menjadi perlahan ditambah dengan beberapa dialog serta kemunculan watak-watak tambahan yang tidak penting dan secara tidak langsung membuatkan masa filem ini terbazir secara sia-sia.


Aku melihat filem-filem dari Hollywood pada tahun ini yang berada di dalam kategori bakal pecah panggung, tidak kira daripada mana-mana produksi besar sekali pun sudah mula giat menyuntik elemen humor di dalam susur galur penceritaan mereka. Tidak dinafikan selalunya formula sebegini sememangnya membantu sesebuah filem untuk lebih mudah diterima pelbagai golongan penonton dan secara tidak langsung menarik perhatian serta minat penonton untuk menonton filem ini sehingga penamat dalam keadaan yang terhibur. Namun, berlainan pula situasinya di dalam filem Bumblebee ini dimana kebanyakan babaknya yang berunsur humor dipenuhi dengan dialog-dialog yang kelihatan terlalu 'chessy' atau berlebihan yang menyebabkan adakalanya aku berasa canggung melihat plot cerita filem ini. Aku tidak bermaksud menyatakan elemen komedi di dalam filem ini gagal. Ia masih menghiburkan tetapi apabila kebanyakkannya babak humor filem ini kelihatan terlalu ingin dilihat sebagai menghiburkan dan melucukan menjadikan ia gagal meneruskan tahap tertinggi yang telah dipasak oleh filem ini pada awal pembukaan kisahnya tadi. Bukan sekadar elemen lucu tetapi keadaan 'cheesy' ini turut dilihat membelenggu sesetengah babak yang melibatkan emosi di antara watak Charlie dan juga Bumblebee yang menjadikan momen-momen tersebut adakalanya seperti tidak sampai atau sekadar ada untuk memenuhi tuntutan penceritaan sahaja.


Menyentuh tentang persembahan lakonan watak-watak utamanya, aku melihat kesemuanya dapat menyinar dan berdiri dengan karakter watak masing-masing. Tetapi, ia berbeza dengan impak yang diberikan oleh watak Agent Burns yang dilakonkan oleh John Cena dimana aku melihat watak ini bukan sekadar tenggelam tetapi karam di laut dalam. Bukan disebabkan lakonannya tidak bagus tetapi watak ini seperti tidak ada aura atau momen hebat untuk membuatkannya diingati oleh penonton. Sedangkan watak pembantu Memo lakonan Jorge Lendeborg Jr. pun dilihat memberi impak yang lebih kuat jika dibandingkan dengan watak Agent Burns ini.   


Walau bagaimanapun, filem Bumblebee ini sebenarnya masih berbaloi dan menghiburkan untuk anda tonton di pawagam. Ia masih sebuah karya yang menghiburkan dan disini aku senaraikan beberapa sebab kenapa anda perlu menonton filem ini di pawagam berhampiran bermula pada 20 Disember 2018:

1) Filem Bumblebee berjaya menyajikan pergerakan, pertukaran serta keadaan fizikal robot-robot seperti Bumblebee, Optimus Prime serta pihak musuh kali ini dalam keadaan yang sangat menarik, jelas dan sempurna untuk ditonton di layar perak. Ia kelihatan sangat nyata dan berjaya membuatkan anda terlupa bahawa itu semua sebenarnya hanyalah imej yang dibuat melalui hasil janaan teknologi komputer sahaja.   

2) Filem ini walaupun kelihatan 'cheesy' di merata-rata bahagian namun masih tetap menghiburkan daripada aspek aksi, humor serta jalan penceritaannya yang ringan dan berjaya digarap serta disatukan sepanjang 1 jam 53 minit filem ini ditayangkan kepada anda.


Jadi, selamat menonton filem Bumblebee dan jangan lupa kongsikan pandangan anda melalui komen di ruangan komen di bawahSekian!

P/S : Filem Apa Pula Yang Bakal Menjengah Pawagam Pada Minggu Hadapan Untuk Ditonton Dan Diulas? Nantikan!

Catat Ulasan

4 Ulasan

  1. Bertuah Hans bole tonton film ni awal. Tak sangka pulak film ni dpt review rendah, ingatkan rating nya sama level dgn Aquaman at least. Maknanya dah tukar director pon, live action series utk Transformers ni takde beza dgn version Michael Bay, menarik pd visual tapi takde "soul"... kechewa

    BalasPadam
    Balasan
    1. owh...bagi Hans filem nih okay cuma rendah sebab banyak babak yang rasa macam cheesy
      tapi kalau nak banding dengan version terakhir Michael Bay...rasa2nya filem Bumblebee ini sangat-sangat bagus daripada judul sebelum nih

      Padam
  2. Lega bila Hans nyatakan yg versi ini lebih baik dr Michael Bay walaupon nama nya tersenarai sbg producer. Cheesy mungkin dah sinonim dgn film2 aksi Hollywood sekarang nih, heheheh. Terima kasih di atas penjelasan

    BalasPadam
    Balasan
    1. yes
      yang version dulu Hans tengok pun rasa nak tertidur
      yang kali ini okay..tak mengantuk pun...layan :)

      Padam