15/03/19

Review Filem Bikers Kental 2


Filem:
Bikers Kental 2

Penilaian:
5/10

Pengarah:
Helmi Yusof

Genre:
Komedi

Pelakon:
Zizan Razak, Awie, Afdlin Shauki, Pont Cranium, Amerul Affendi,
Meau Julallangtip, Kaewkorravee, Hushairi Husain, Bront Palarae & Etc.

Tarikh Tayangan:
14 Mac 2019

Pengedar:
TGV Pictures

Sinopsis:
Filem ini merupakan sambungan dari kisah anak muda bernama Bidin Al-Zaifa dari ‘Bikers Kental’, beliau kini sudah mempunyai sebuah pernigaan sendiri dalam bidang permotoran, Bidin memulakan perniagaan dalam air brush dan sticker motor secara kecil-kecilan secara sendiri. Rentetan kisah cinta Bidin dengan gadis Thailand bernama Cherry Porntit melalui hubungan jarak jauh, kali ini Bidin bertekad untuk memperisterikan Cherry yang masih lagi menetap di Hatyai. Sebagaimana kali pertama bertemu, Bidin sekali lagi akan ke Hatyai dengan menunggang motosikal kesayanganya, Aprilla RSV4 untuk bertemu kekasih hatinya dan melamarnya. Kali ini Bidin akan Hatyai demi cintanya terhadap Cherry secara solo. Bagaimanapun, Bidin kini sudah mempunyai musuh di Thailand, Pornthaliwat Thani yang telah dipenjarakan selepas ditangkap. Dengan ini secara rasminya, Porthaliwat menyimpan dendam terhadap Bidin Al Zaifa. Adakah Bidin akan melalui pengalaman ngeri kerana dendam demi cintanya terhadap Cherry Porntit? Adakah Bidin berjaya memiliki gadis Thailand ini? Segala insiden dan gelagat akan berlangsung sepanjang perjalanan Bidin Al Zaifa ke Hatyai demi sebuah cinta.

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula mengucapkan ribuan terima kasih buat pihak TGV Pictures kerana menjemput kami untuk menghadiri Tayangan Media Filem Bikers Kental 2 bertempat di TGV Cinemas 1 Utama pada pagi Rabu, 20 Februari 2019 yang lepas. Filem sekuel kepada filem Bikers Kental ini merupakan antara salah satu filem tempatan yang termasuk di dalam senarai filem yang dinanti-nanti untuk ditonton pada tahun 2019 oleh kebanyakkan kaki wayang di seluruh Malaysia terutamanya daripada para penonton yang telah menyaksikan filem Bikers Kental ini pada tahun 2013. Selain nama-nama besar yang membintangi karya ini, para penonton turut menyukai elemen komedi serta aksi-aksi motosikal berkuasa tinggi yang dipaparkan di dalam filem sebelum ini. Maka setiap penonton mengharapkan agar filem Bikers Kental 2 mampu memberikan yang lebih daripada filem pertama untuk kepuasan tontonan mereka.


Selepas menonton filem Bikers Kental 2, apa yang boleh kami katakan ialah plot penceritaan filem ini masih mengekalkan jalan cerita yang mudah difahami. Tiada perubahan plot yang terlalu mengujakan boleh disaksikan atau sebarang peninggalan teka-teki yang perlu dijawab seperti mana yang kami tonton di dalam filem Misteri Dilaila tempoh hari. Ia jelas menunjukkan bahawa filem ini secara terang-terangan memaparkan cabaran dan perjalanan Bidin ke Hatyai untuk berjumpa dengan kekasihnya Cherry Porntit demi melamar gadis tersebut untuk dijadikan sebagai isterinya. Secara tidak sengaja, Bidin tertinggal cincin lamaran dan meminta bantuan rakannya iaitu Eddie dan Aidid untuk membawakan cincin tersebut dan datang ke Hatyai untuk diberikan kepadanya. Kemudian, secara tidak sengaja Bidin telah terserempak dengan musuh lamanya iaitu Albuqueq dan terpaksa melarikan diri serta bersembunyi daripada ditangkap. Jadi, perjalanan filem Bikers Kental 2 kali ini hanya bermain di dalam lingkungan tiga perkara ini sahaja iaitu berkaitan hubungan cinta, persahabatan dan jenayah.


Kami boleh katakan filem Bikers Kental 2 ini dibuka dengan agak baik apabila permulaan ceritanya memaparkan watak antagonis pada filem terdahulu iaitu Pornthaliwat (lakonan Bront Palarae) yang baru dibebaskan dari penjara. Pornthaliwat dijemput oleh Albuqueq (lakonan Amerul Affendi) dari luar penjara dimana kedua-duanya berkomunikasi di dalam bahasa Thai dengan cukup baik. Mereka kemudiannya diculik oleh sebuah kumpulan gangster dimana ketua (lakonan Hushairi Husain) meminta wangnya dipulangkan sebelum terjadi sebuah insiden yang mengorbankan seseorang dan menyebabkan rasa teruja kami untuk menonton sedikit terganggu kerana filem ini telah kehilangan satu watak yang agak besar pada peringkat yang terlalu awal. Lebih menyedihkan apabila aura filem yang dirasakan agak gah pada permulaan tadi kelihatan semakin pudar apabila filem ini kembali menyajikan perjalanan cerita yang terlalu santai dan boleh diramal kesudahannya.


Filem Bikers Kental 2 kemudian mula mengorak langkah apabila mula memaparkan adegan hebat kejar mengejar serta aksi pecut memecut menggunakan motosikal berkuasa tinggi. Walaupun babak tersebut tidak lah seperti mana yang anda pernah tonton di dalam filem-filem luar Hollywood yang berbaget besar namun ia masih boleh diberi pujian untuk sebuah filem tempatan yang berbaget sederhana seperti ini. Kami akui babak-babak tersebut secara tidak langsung berjaya mendekatkan kami sebagai penonton dengan latar filem yang menjadikan Hatyai sebagai latar kisah utamanya. Kami dapat melihat suasana, masyarakat serta budaya rakyat negara Thailand ini melalui paparan yang agak menarik bagi setiap babak kejar mengejar di dalam filem tersebut.


Kami tidak nafikan filem Bikers Kental 2 ini mempunyai daya tarikan komedi tersendiri tetapi bukan semua penonton yang akan menyukai humor yang diperjuangkan filem ini. Unsur lucunya lebih sesuai dengan jiwa penonton marhaen yang sukakan komedi ringan berunsur seksual yang dapat dihadam terus tanpa perlukan pemikiran yang berat. Walaupun ada beberapa babak yang berjaya menghiburkan kami namun secara jujurnya kami kurang menggemari humor filem Bikers Kental 2 ini. Kami berpandangan bahawa filem ini terlalu mengambil jalan mudah dengan kerap mengharapkan bantuan dan sokongan daripada elemen seksual yang dapat dilihat daripada adegan, dialog serta reaksi wajah para pelakonnya di dalam kebanyakkan babak filem ini. Asasnya sahaja boleh dilihat kepada nama watak-watak pelakon filem ini sendiri seperti yang sudah diketahui ramai berbunyi Porntit, Saiyasukhaporn, Pornthaliwat dan pelbagai lagi yang adakalanya telah melumpuhkan sendiri kekuatan adegan-adegan yang sepatutnya boleh mencetuskan rasa ghairah ketawa tanpa perlu adanya semua itu. Belum lagi ditambah adegan-adegan separa gersang terutamanya selepas babak hujan serta ungkapan beberapa perkataan terutamanya perkataan 'Denyut' yang mungkin selepas ini akan popular di kalangan kanak-kanak dan remaja yang menonton. Maklum sahajalah filem ini kemungkinan besar mendapat klasifikasi sesuai untuk ditonton oleh seluruh lapisan masyarakat. Kami juga melihat kekuatan utama filem Bikers Kental 2 ini datang daripada lakonan bersahaja yang boleh dilihat pada watak Eddie (lakonan Dato' Awie) dan Aidid (lakonan Datuk Afdlin Shauki) melalui babak-babak lucu yang melibatkan kedua-dua watak ini dan secara tidak langsung menghidupkan aura serta menyelamatkan filem ini daripada terus diganggu oleh struktur penceritaan yang terlalu lurus dan membosankan. Babak-babak lain bukannya tidak menarik namun ia kelihatan tidak kemas dan nampak terlalu mencuba. Sayang sebenarnya kerana filem ini mempunyai ramai nama-nama besar yang hebat namun bakat lakonan mereka dilihat tidak dimanfaatkan semaksimum yang mungkin. 


Melihat dari sinematografi filem ini pula, kami sebenarnya mengjangkakan sesuatu yang lebih menarik lagi terutamanya dari segi keindahan dan panorama di sekitar Hatyai dan Phuket yang sememangnya diketahui indah dan memukau. Namun, kami tidak memperoleh kesemua keseronokan dan keindahan tersebut di dalam filem Bikers Kental 2 ini. Walau bagaimanapun, kami dapat melihat sikap rajin pihak produksi di dalam menghasilkan beberapa babak menggunakan pelbagai jenis rakaman sudut kamera. Ini secara tidak langsung membuktikan bahawa produksi Malaysia juga boleh menghasilkan sebuah filem aksi motosikal sebegini. 


Filem Bikers Kental 2 ini mempunyai nilai-nilai murni yang turut tidak ketinggalan dipaparkan di dalam filem ini berkaitan dengan kepentingan persahabatan, kekeluargaan dan kesetiaan. Namun, kami harus nyatakan kekuatan ini telah ditenggelamkan oleh beberapa babak yang tidak penting dan melibatkan lawak-lawak slapstik yang dipenuhi unsur seksual. Kami yakin filem seperti ini akan disukai oleh lapisan penonton di dalam beberapa tahun akan datang. Namun, selepas 10 tahun aura yang wujud di dalam filem ini pasti akan tenggelam seperti mana yang berlaku kepada filem-filem komedi tanah air yang pernah mencetuskan fenomena pada era zaman tayangannya namun menjadi suam selepas beberapa tahun ditayangkan semula untuk tontonan generasi seterusnya.


Filem Bikers Kental 2 merupakan sebuah filem komedi ringan yang dipadatkan dengan aksi-aksi menarik berkaitan motosikal berkuasa tinggi. Filem ini sesuai untuk dijadikan hiburan minggu bagi sesiapa yang meminati filem-filem komedi berkonsep sebegini. Sekali lagi kami nyatakan, bahawa filem Bikers Kental 2 ini pasti akan disukai oleh golongan penonton yang sukakan hiburan ringan sebegini namun tidak akan diminati oleh golongan penonton yang mahukan lawak yang lebih bermakna. Jadi, selamat menonton filem Bikers Kental 2 pada 14 Mac 2019 nanti di pawagam-pawagam seluruh Malaysia. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini sebagai perkongsian bersama buat kita semua. Semoga terhibur!

P/S : Filem Seterusnya Yang Akan Diulas Ialah Sebuah Filem Tamil Tempatan Berjudul Satte . Nantikan Ulasannya!

4 ulasan:

  1. tertunggu2 jgk filem ni, tp alahai syg betul kalu baca review kt sini mcm kureng best lak...

    BalasPadam
    Balasan
    1. filem nih bukan tak best
      ramai yang suka dan bagi 4/5
      cuma untuk Hans...Hans tak berapa suka...
      gelak-gelak lah tapi itu jer lah
      hehehe

      Padam
  2. Sesuai untuk bawak kanak-kanak tak?

    BalasPadam
    Balasan
    1. secara personal saya rasa filem ini sepatutnya P13.

      Padam