Review Filem Boomerang


Filem:
Boomerang

Penilaian:
6/10

Pengarah:
R Kannan

Genre:
Aksi, Komedi & Romantik

Pelakon:
Atharvaa, Megha Akash, Indhuja, Upen Patel, Sathish, RJ Balaji & Etc.

Tarikh Tayangan:
8 Mac 2019

Pengedar:
Lotus Five Star

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan seorang pemuda bernama Shiva yang menjalani pemindahan wajah selepas terlibat di dalam kebakaran yang memusnahkan keseluruhan wajah dan kepalanya. Setelah menerima wajah baru daripada seorang penderma yang tidak dikenali, kehidupan Shiva berubah disebabkan wajah barunya yang kacak kini menjadi tumpuan ramai gadis. Namun, hari demi hari Shiva menyedari kehidupannya mula berubah apabila dia sering diikuti dan apa yang lebih buruk terdapat cubaan untuk membunuh dirinya. Shiva mula mencari sebab dan punca terhadap apa yang berlaku. Apa yang ditemuinya agak mengejutkan dan menakutkan apabila mengetahui identiti sebenar pemilik wajah ini. Apakah sebenarnya yang berlaku? Siapakah pemilik asal wajah yang kini menjadi milik Shiva? Saksikan filem aksi yang penuh misteri ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 8 Mac 2019 untuk mengetahui jawapannya.

Ulasan:

Alhamdulillah kami di portal filem Rollo De Pelicula telah berjaya menonton filem Boomerang di Amerin Cineplex pada 14 Mac 2019 yang lepas. Disebabkan kekangan masa maka kami terlewat seminggu untuk menonton filem Boomerang ini. Filem ini menampilkan kisah yang tidak asing bagi industri perfileman India dimana ia membawakan kisah tentang pertukaran muka watak utamanya yang kemudian membawa kepada kejadian misteri mahu pun malapetaka yang dasyat yang perlu diselesaikan oleh watak utama tersebut. Nampaknya filem Boomerang turut tidak terkecuali mengambil risiko sekali untuk bermain dengan penceritaan sebegini.


Permulaan filem Boomerang ini boleh kami katakan berjalan dengan baik. Dikuatkan dengan teknik solekan ngeri wajah watak utamanya Shiva serta kekuatan permainan emosi watak ibu bapanya sewaktu babak di hospital sememang merupakan satu momentum yang baik untuk filem ini. Memberi fokus kepada penceritaan watak Shiva ini selepas kejadian pembakaran berjaya membuatkan para penonton terasa ngeri dengan keadaan serta penderitaan yang dialami oleh Shiva. Kemudian, penceritaan filem ini kembali klise melalui babak saranan doktor hospital yang mencadangkan agar Shiva menjalankan pembedahan pemindahan wajah dan bakal berhadapan dengan risiko kegagalan jika pembedahan tidak berjaya. Tetapi, kami dengan yakinnya percaya pembedahan tersebut pasti akan berjaya dengan jayanya kerana ini adalah filem Tamil. Tiada yang mustahil untuk berlaku! Lumrah filem Tamil sebegini lah yang membuatkan rasa teruja dan terhibur untuk menonton itu sentiasa ada.


Namun, kami akui mula tertarik dengan penceritaan filem ini apabila mendapati watak Shiva ini mula mengalami pelbagai kejadian aneh yang mengerikan seperti ancaman bunuh dalam pelbagai bentuk yang memberikan kami pelbagai teka-teka serta rasa ingin tahu yang semakin membuak-buak untuk mengetahui apa sebenarnya yang terjadi. Plot penceritaan filem Boomerang ini berjaya bermula dengan baik pada pertengahan filem dimana struktur penceritaanya boleh dikatakan kemas dan tersusun. Watak Shiva yang cuba menyiasat setiap sumber-sumber yang bakal membawakannya ke arah jawapan yang dicari berjaya memberikan satu sentuhan yang cukup baik kepada naratif filem ini. Namun, kesimpulannya selepas itu yang kelihatan terlalu mudah serta beberapa kecelaruan dan kesinambungan antara setiap babak yang diselesaikan dengan agak mudah dan kurang meyakinkan membuatkan kami agak kecewa. Ini menyebabkan keterujaan kami yang terlalu tinggi pada pertengahan filem terjejas akibat kelemahan beberapa babak yang kelihatan bergerak terlalu tergesa-gesa, tidak kuat dan terlalu lari daripada realiti sebenar untuk menyokong penceritaan watak pemilik asal wajah Shiva.


Selain kelemahan babak tanah runtuh yang melibatkan VFX dan kelihatan sangat lemah, kami juga mendapati intipati filem ini yang melibatkan kisah percintaan antara watak Shiva dan gadis yang memujanya juga tidak kuat dan seolah-olah kelihatan tidak perlu wujud pun di dalam filem ini. Namun, kamu akui pelakon utamanya iaitu Atharvaa Murali berjaya membawakan peranannya sebagai Shiva dan Sakthi dengan sangat cemerlang. Selain itu watak pembantu filem ini yang bertindak sebagai pelakon komedi berjaya melunaskan tanggungjawab untuk menghiburkan penonton dan mengurangkan ketegangan yang wujud di dalam filem ini. Manakala watak teman wanita kepada Shiva di dalam filem ini pula kelihatan tenggelam pada pertengahan filem kerana kegagalan skrip penceritaan yang tidak memberi fokus kepada watak ini untuk kekal berkembang pada penceritaan filem.

Kesimpulannya, walaupun jalan cerita filem Boomerang ini adakalanya tidak konsisten namun filem ini masih berbaloi dan menghiburkan untuk ditonton . Jadi, selamat menonton filem Boomerang di pawagam seluruh Malaysia bermula pada Mac 2019 nanti. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : In Sha Allah Pada Jumaat Minggu Hadapan Kami Akan Mengulas Tiga Buah Filem Indonesia Yang Telah Ditonton Di Bandaraya Jakarta Tempoh Hari. Nantikan Ulasannya!

Catat Ulasan

0 Ulasan