Review Filem 100


Filem:
100

Penilaian:
8/10

Pengarah:
Sam Anton

Genre:
Jenayah & Ngeri

Pelakon:
Atharvaa, Hansika Motwani, Yogi Babu, Rajkiran, Ramya Krishnan& Etc.

Tarikh Tayangan:
9 Mei 2019

Pengedar:
MSK Film Production Sdn Bhd

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan Sathya yang merupakan seorang anggota polis baru yang mencuba sedaya upaya untuk memberkas dan menangkap kumpulan penyeludup serta penculik. Dia juga melakukan penyiasatan atas sebuah syarikat e-dagang yang menggunakan kotak telefon bimbit untuk menyeludup dadah. Saksikan filem yang penuh ini di pawagam berhampiran anda bermula 9 Mei 2019 untuk mengetahui jawapannya.

Ulasan:

Alhamdulillah kami di portal filem Rollo De Pelicula telah berjaya menonton filem 100 di Amerin Cineplex pada 15 Mei 2019 yang lepas. Filem 100 ini sebenarnya bukan lah sebuah filem yang terlalu cemerlang walaupun skrip penceritaannya ada kala kurang meyakinkan. Tetapi, pada masa yang sama ia bukan lah sebuah naskah yang buruk. Namun, apa yang menjadikan filem ini mendapat penilaian yang agak tinggi daripada kami kerana karya ini mengubat rindu kami kepada identiti filem-filem Tamil sebelum ini yang penuh dengan aksi perlawanan yang menarik, mendebarkan, dasyat dan adakalanya tidak masuk akal yang sangat menghiburkan.


Selepas filem Boomerang, Atharvaa kembali dengan filem 100 yang mengisahkan tentang  Sathya iaitu seorang anggota polis baru yang bertugas di pusat talian balai polis India yang memerlukannya untuk menarik dan mengambil peduli aduan daripada mangsa-mangsa atau talian palsu yang menghubunginya melalui talian 100. Namun, Sathya tidak menyukai tugasnya di bahagian pusat panggilan tersebut kerana merasakan ia bukannya tempat sebenar untuk seorang pegawai polis membuktikan kehebatan mereka di dalam menghalang dan menghapuskan jenayah. Namun, akhirnya Sathya mula jatuh cinta dengan pekerjaan tersebut disebabkan oleh satu peristiwa menarik yang memberi kesan kepada dirinya sepanjang keseluruhan filem ini.


Filem 100 ini memberikan kami satu kepuasan yang maksimum kerana ia membawakan sebuah citarasa filem tamil yang diinginkan iaitu penuh dengan aksi-aksi menarik dan adakalanya tidak masuk akal tetapi membawa identiti sebenar filem Tamil seperti yang dikehendaki. Semua elemen yang diperlukan sama ada aksi, humor, jenayah, keluarga, persahabatan dan cinta berjaya dipadatkan di dalam keseluruhan penceritaannya menjadikan filem ni bernilai komersial yang tinggi. Topik serta mesej kemanusiaan menarik berkaitan dengan pemerdagangan manusia, dadah dan sebagainya turut sama menjadikan filem ini bukan sekadar menawarkan adegan aksi semata-mata tetapi membantu anda melihat lebih jauh tentang realiti dunia semasa.


Filem 100 ini sebenarnya telah didominasi oleh watak lelaki secara keseluruhannya. Walaupun isu utamanya adalah berkaitan wanita namun watak wanita-wanita di dalam ini seperti tenggelam dan tidak menyerlah. Namun, kami menyukai bagaimana penceritaan filem ini yang lebih menekankan kepada hubungan persahabatan dan kekeluargaan berbanding cinta. Konflik-konflik yang wujud di dalam filem ini juga sangat menarik dan penuh dengan beberapa perubahan plot atau plot twist yang menarik. Kami menyukai babak- babak melibatkan Sathya dan rakan baiknya berkaitan prinsip serta pegangan mereka tentang rasuah, jenayah dan kerjaya polis itu sendiri. Pelakon Atharvaa sememangnya mengagumkan di dalam filem ini dan kelihatan memang betul-betul berjaya menjadikan watak Sathya itu khas sebagai miliknya seorang diri. Pelawak tersohor iaitu Yogi Babu tetap tidak mengecewakan dengan unsur humor yang ada di dalam dirinya apabila kerap kali berjaya membangkitkan ketawa kami sewaktu menonton adegan melibatkannya. Pelakon Radha Ravi pula yang memainkan peranan sebagai seorang polis senior berjaya menjentik emosi kami di dalam beberapa adegan yang melankolik manakala pelakon Hansika pula tidak lebih sekadar bunga untuk menyerikan filem 100 ini.


Untuk sesiapa yang menantikan aksi-aksi perlawanan yang menarik, Atharvaa telah memberikan apa yang anda kehendaki melalui watak yang dipegangnya iaitu Sathya. Aksinya yang sangat meyakinkan dibantu oleh sinematografi serta koreografer untuk setiap babak pergaduhan telah berjaya memberikan visual-visual yang cukup menarik dan bergaya untuk kepuasan tontonan anda. Walaupun filem ini tidak mendapat pujian melangit daripada penonton-penonton di India namun kami menyukai filem 100 ini disebabkan elemen-elemen yang kami kongsikan sebentar tadi. Sebuah filem yang cukup menghiburkan dan berbaloi untuk anda tonton di pawagam walaupun bukan lah sebuah filem yang terbaik daripada segi penceritaannya.


Jadi, selamat menonton filem 100 di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 9 Mei 2019 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Selepas Ini Ialah Sebuah Lagi Filem Tamil Berjudul Ayogya. Nantikan Ulasannya!

Catat Ulasan

0 Ulasan