Filem:
Ayogya
Penilaian:
7/10
Pengarah:
Venkat Mohan
Genre:
Aksi, Drama & Ngeri
Pelakon:
Vishal, R. Parthiepan, Raashi Khanna, K.S. Ravikumar, Pooja Devariya, Yogi Babu, M S Baskar & Etc.
Tarikh Tayangan:
10 Mei 2019
Pengedar:
Lotus Five Star
Sinopsis:
Filem ini merupakan remake filem Telugu yang berjudul "Temper". Ia mengisahkan kehidupan seorang anggota polis yang sering melakukan perkara tidak bermoral. Dia sering dilihat mengugut orang, mengambil rasuah dan mencuri duit peminta sedekah. Namun, kehidupannya berubah setelah dia menyiasat kes rogol dan bunuh seorang gadis yang membuatkan dia ingin menjadi seorang polis yang berbakti kepada masyarakat dan negara. Mampukah seorang polis yang korup berubah menjadi polis yang diharapkan oleh masyarakat? Saksikan filem yang penuh dengan kejutan ini di pawagam berhampiran anda bermula 10 Mei 2019 untuk mengetahui jawapannya.
Ulasan:
Alhamdulillah kami di portal filem Rollo De Pelicula telah berjaya menonton filem Ayogya di mmCineplexes Cinemas, Mutiara Damansara pada 11 Mei 2019 yang lepas. Kami melihat intipati filem ini pada permulaan kisahnya sangat menarik dan berkesan di dalam mengangkat kisah kehidupan watak utamanya, Karnan yang merupakan seorang anak yatim piatu dan bercita-cita menjadi seorang polis demi memudahkannya mendapatkan wang yang banyak dengan cara yang kotor. Walaupun fokus tentang keseluruhan kisah hidup watak utamanya ini terlalu panjang tetapi ia setidak-tidak berjaya memahamkan penonton tentang salah silah dan punca Karnan menjadi seorang polis yang tidak bermoral.
Kami melihat kekuatan terbesar filem Ayogya ini datangnya daripada kehebatan lakonan pelakonnya serta struktur dan olahan jalan ceritanya yang adil buat semua pelakon yang membintangi filem ini. Ia diperkukuhkan lagi dengan mesej-mesej kemanusiaan yang menarik berkaitan tentang hak wanita, kekejaman terhadap wanita dan maruah wanita terutamanya apabila ia melibatkan jenayah rogol serta bagaimana cabarannya apabila kes jenayah ini dibawa ke muka pengadilan untuk dibicarakan. Setiap babak ini telah disusun dengan cantik dan apa yang membezakan antara filem Ayogya dengan filem Temper ialah 20 minit babak akhirnya yang melawan arus penerimaan penonton di sana dengan penuh bergaya sekali. Jika filem ini ditayangkan pada zaman dahulu, ada kemungkinan panggung wayang akan dibakar oleh penonton selepas tamat menonton filem ini. Satu pengakhiran yang sangat luar biasa untuk sebuah filem berbentuk komersial seperti ini dan ia pasti membuatkan anda sangat terhibur dengan penutup yang tidak disangka-sangka.
Lakonan pelakon utamanya Vishal sebagai seorang anggota polis yang tidak beretika agak meyakinkan. Begitu juga dengan pelakon Raashi Khanna yang berjaya membawakan watak Sindhu dengan baik seperti mana yang dapat dilihat pada filem asli sebelum ini. Sekali lagi pelakon komedi Yogi Babu tidak mengecewakan apabila berjaya menyempurnakan adegan-adegan lucu yang melibatkan dirinya. Dari sudut teknikal, dapat dilihat visual filem ini terutamanya babak-babak penting berjaya dipaparkan kepada penonton dengan paparan yang cukup baik. Sinematografi untuk babak-babak malamnya juga agak cantik ditambah dengan penggunaan muzik latar yang bersesuaian dengan situasi-situasi yang wujud di dalam filem ini.
Secara keseluruhan, filem Ayogya ini berjaya menyampaikan mesej yang cukup baik tentang peranan dan tanggungjawab sebenarnya seorang polis dimana pengorbanan yang mereka lakukan demi kemasyalatan masyarakat dan memartabatkan undang-undang di tempat yang sepatutnya. Kami sangat percaya kekuatan terbesar filem ini datangnya pada 20 minit terakhir yang pasti memberikan impak terbesar buat tontonan anda untuk diingati apabila selesai menonton filem Ayogya ini.
Jadi, selamat menonton filem Ayogya di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 10 Mei 2019 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!
P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Selepas Ini Ialah Sebuah Lagi Filem Tamil Berjudul Kee. Nantikan Ulasannya!
0 Ulasan