Review Filem Kee


Filem:
Kee

Penilaian:
3/10

Pengarah:
Kalees

Genre:
Fiksyen Sains & Ngeri

Pelakon:
Jiiva, Govind Padmasoorya, Nikki Galrani, Anaika Soti, RJ Balaji, Rajendra Prasad & Etc.

Tarikh Tayangan:
10 Mei 2019

Pengedar:
DMY Creation Sdn Bhd

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan Siddharth, seorang lelaki yang jatuh cinta kepada seorang gadis dan cuba menarik perhatiannya. Walau bagaimanapun, kehidupan Siddhart mula berubah apabila dia terperangkap dan mula diburu oleh penjenayah internet yang sebelum ini telah menyebabkan ramai mangsa mereka membunuh diri akibat dibuli melalui kegiatan psiko kumpulan penjenayah tersebut. Mampukah Siddharth mengelakkan diri daripada dijejaki oleh kumpulan penjenayah tersebut? Saksikan filem ini di pawagam berhampiran anda bermula 10 Mei 2019 untuk mengetahui jawapannya.

Ulasan:

Alhamdulillah kami di portal filem Rollo De Pelicula telah berjaya menonton filem Kee di Amerin Cineplex pada 12 Mei 2019 yang lepas. Kami sebenarnya tertarik dengan sinopsis serta trailer filem ini yang memaparkan tentang kisah penggodam yang beroperasi melalui alam maya sahaja dan mengingatkan kami kepada sebuah filem yang cukup hebat berjudul Who Am I. Namun, sangkaan kami meleset dan filem Kee ini sebenarnya merupakan antara filem yang agak mengecewakan kami secara keseluruhannya.


Filem Kee ini sebenarnya mempunyai intipati kisah yang sangat menarik. Kisahnya tentang dunia siber dan penjenayah yang beroperasi dengan memanfaatkan teknologi ini untuk pilihan yang salah sebenarnya berpotensi untuk pergi jauh. Kisah cinta yang cuba ditimbulkan di dalam penceritaan filem ini juga menarik untuk diteroka. Namun kesilapan besar filem Kee ini ialah setiap intipati kisahnya yang langsung tiada keseimbangan antara satu sama lain. Kami tidak nampak kisah mana yang sepatutnya menjadi fokus utama kerana semua penceritaan ini menjadi caca marba apabila digabungnkan di dalam satu garis masa. Belum lagi menyentuh tentang penjelasan yang sangat kelam berkaitan dengan watak utama filem ini sendiri iaitu Siddharth yang sebenarnya sangat mengelirukan para penonton. Terdapat watak seorang wanita yang kelihatan penting pada awalnya tetapi kehilangannya langsung tidak diendahkan oleh watak Siddharth. Serius, jalan ceritanya langsung tidak ada titik fokus yang sewajarnya. Sudahlah kisah tentang penggodam dan kisah cintanya ke laut dan tiba-tiba ditambah pula dengan pelbagai elemen seperti persahabatan, komedi, dunia siber dan sebagainya yang menjadikan filem ini antara filem Tamil yang membosankan yang pernah kami tonton untuk tahun 2019 ini.


Ada beberapa babak melibatkan penggodam yang kelihatan telah berjaya mencapai klimaks yang mampu membuatkan kami terhibur dengannya namun ia dirosakkan dengan penerangan yang sangat lemah. Pengenalan tentang virus Baasha yang dibangunkan oleh Siddharth langsung tiada kegunaan di dalam filem ini. Belum lagi tentang kekeliruan yang dipaparkan seperti boleh menggodam alat jantung, kereta dan sebagainya yang langsung tidak ada penerangan yang boleh membuatkan kami sebagai penonton dipengaruhi untuk percaya. Sebaliknya, ia lebih kepada angan-angan pihak produksi filem ini sendiri yang menghasilkannya dengan niat yang kelihatan hanya untuk nampak gah di visual tetapi hakikatnya tidak kerana anda yang menonton sendiri akan merasai dan bersetuju dengan kami bahawa penceritaannya tentang teknologi serta penggodam ini sangat lemah dan seolah-olah tidak membuat kajian terperinci terlebih dahulu sebelum menghasilkan filem ini.


Lakonan para pelakonnya bagi kami tiada masalah. Kami juga beranggapan filem Kee ini sebenarnya mampu pergi lebih jauh jika skrip penceritaannya diolah dan dihasilkan dengan kajian yang menyeluruh dan lebih berfakta. Namun, sayang seribu kali sayang kerana filem ini kelihatan sangat teruk disebabkan kelemahan yang ketara besar apabila dilihat melalui sudut tersebut. Filem yang sepatutnya boleh berjaya tetapi telah dihancurkan akibat terlalu mengejar nilai-nilai komersial untuk menarik perhatian penonton marhaen. Sangat mengecewakan! 


Jadi, selamat menonton filem Kee di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 10 Mei 2019 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Selepas Ini Ialah Sebuah Filem Bollywood Yang Menarik Berjudul De De Pyaar De. Nantikan Ulasannya!

Catat Ulasan

0 Ulasan