Review Filem De De Pyaar De


Filem:
De De Pyaar De

Penilaian:
6/10

Pengarah:
Akiv Ali

Genre:
Komedi & Romantik

Pelakon:
Ajay Devgn, Tabu, Rakul Preet Singh & Etc.

Tarikh Tayangan:
17 Mei 2019

Pengedar:
Suraya Filem

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan Ashish yang berusia 50 tahun telah menemui kekasih baru. Apa yang menjadi masalah padanya adalah bekas isteri dan keluarganya enggan menerima gadis itu, ini kerana gadis itu berusia hampir dua puluh tahun lagi muda daripadanya. Saksikan filem ini di pawagam berhampiran anda bermula 17 Mei 2019 untuk mengetahui jawapannya.

Ulasan:

Alhamdulillah kami di portal filem Rollo De Pelicula telah berjaya menonton filem De De Pyaar De di mmCineplexes Cinemas, Mutiara Damansara pada 18 Mei 2019 yang lepas. Kami tertarik untuk menonton filem Bollywood ini disebabkan sinopsis filem ini yang kelihatan agak menarik apabila memaparkan kisah percintaan seorang lelaki berumur 50 tahun dengan seorang wanita berumur 26 tahun dimana jarak perbezaan umur mereka sangat tinggi. Melihat kepada genre komedi romantik pula membuatkan kami lebih tertarik untuk melihat tiga nama besar iaitu Ajay Devgn, Tabu dan Rakul Preet Singh memainkan watak masing-masing yang telah diberi. Walaupun filem ini tidak dinafikan sangat menghiburkan namun seperti ada satu halangan kepada pembikin filem Hindi untuk cuba lari daripada nilai komersial yang mencacatkan pengakhiran filem ini dimana ia sepatutnya boleh berakhir dengan lebih baik daripada apa yang telah kami saksikan di pawagam saat menonton filem ini. Kami menyatakan demikian kerana kami melihat plot penceritaan digerakkan dengan cukup baik pada separuh masa pertama sebelum berubah menjadi sangat cemerlang pada pertengahan filem namun momentum ini gagal dikekalkan dengan sebaik mungkin pada pengakhiran yang lebih kepada memenuhkan nafsu penonton yang dahagakan nilai komersial filem berbanding pengakhiran yang lebih bersifat realiti.


Kami melihat filem De De Pyaar De ini berjaya membawakan beberapa kisah serta tema kehidupan menarik dengan gaya penceritaan yang lebih matang terutamanya berkaitan dengan soal kekeluargaan, penceraian, tanggungjawab seorang bapa dan yang paling utama tentang percintaan yang jarak umur pasangan kekasihnya sangat jauh seperti bapa dan anak. Hal-hal ini berjaya diceritakan dengan cukup baik, profesional dan berpaksikan kepada kehidupan sebenar yang menjadikan perjalanan kisah-kisah yang wujud di dalam filem Bollywood ini sangat menyeronokkan untuk ditonton. Ada sesetengah perkara yang diwujudkan di dalam penceritaan filem ini kelihatan taboo pada pandangan majoriti penonton namun ia tetap berjaya disampaikan dengan gaya yang kreatif dan bijak untuk membuatkan para penonton mudah untuk menerimanya. Namun, seperti yang kami maklumkan kehebatan elemen penceritaan ini akhirnya terumbang-ambing sewaktu babak-babak akhir filem ini mula muncul pada tonton khalayak penonton apabila dilihat penamatnya kelihatan terlalu mudah, klise dan tidak memberi impak besar kepada penonton seperti mana kejayaan yang telah dilakukan pada 3/4 bahagian filem ini.


Apa yang berjaya menyelamatkan filem ini pada bahagian pertengahan sehingga akhir ialah kemunculan pelakon Tabu yang berjaya memberikan pesona tersendiri yang menawan kepada watak yang dipegangnya. Kehadirannya di layar memberikan satu impak yang besar kerana berjaya menjiwai watak seorang wanita yang kelihatan tenang, berprinsip dan tinggi maruahnya dengan cukup baik. Kemunculannya memberikan klimaks yang unik kepada penceritaan filem De De Pyaar De dimana elemen humor yang terhasil kelihatan lebih kemas dan cukup untuk menghiburkan jiwa penonton yang mudah gembira dan ketawa besar dengan pembawakan watak oleh pelakon Tabu ini. Kemunculan pelakon Tabu juga berjaya menjelaskan nilai-nilai perbezaan serta moral yang cukup jelas tentang kekuatan cinta wanita tua serta wanita muda daripada segi pemikiran dan nilai-nilai murni yang sememangnya sangat berbeza tetapi mudah untuk dipersetujui oleh sesiapa yang menonton filem ini.

Tidak dinafikan selain kelemahan filem ini pada penceritaan di penghujung filemnya yang lemah dan terlalu mengikut kehendak penonton, kami melihat beberapa watak di dalam filem ini juga berada di dalam fasa yang mengelirukan. Ia boleh dilihat kepada watak anak perempuan Ajay di dalam filem ini yang kelihatan terlalu menjengkelkan dan kenapa watak ini dijadikan sebegitu kelihatan terlalu samar kerana tiada sokongan daripada penceritaan untuk watak ini berkembang dengan sebaik mungkin. Selain itu, kemunculan pelakon Jimmy Shergill juga menambah lagi kekeliruan kepada filem ini apabila wataknya juga tidak jelas, membazir masa dan kurang memberi kepercayaan kepada kami sebagai penonton. Bukannya lakonan mereka tidak bagus tetapi jalan cerita filem ini gagal untuk memperkembangkan wataknya menjadi penting, difahami dan berada di tempat yang sepatutnya.


Seperti biasa, filem-filem Bollywood selalunya tidak pernah mengecewakan daripada sudut sinematografi kerana filem ini kelihatan sangat cantik untuk setiap babak-babaknya. Lagu-lagu yang wujud di dalam filem ini juga agak merdu. Secara keseluruhannya, filem De De Pyaar De ini masih sebuah filem yang menghiburkan disebabkan kisahnya yang pada mulanya kelihatan unik dan berani dengan dialog-dialog yang frasanya disusun dengan cukup kemas dan cantik. Walaupun, filem ini akhirnya tenggelam dek kerana terlalu mengikut selera penonton tipikal yang terlalu dambakan kisah cinta stereotaip namun ia masih sebuah filem romantik komedi yang baik untuk industri filem Bollywood. Berbaloi untuk anda tonton filem ini di pawagam.


Jadi, selamat menonton filem De De Pyaar De di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 17 Mei 2019 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Selepas Ini Ialah Sebuah Filem Yang Sangat Menghiburkan Dan Mengembalikan Nostalgia Iaitu Aladdin. Nantikan Ulasannya!

Catat Ulasan

0 Ulasan