Review Filem Mr. Local


Filem:
Mr. Local

Penilaian:
6/10

Pengarah:
Rajesh

Genre:
Komedi & Romantik

Pelakon:
Sivakarthikeyan, Nayanthara, Raadhika Sarathkumar, Yogi Babu & Etc.

Tarikh Tayangan:
17 Mei 2019

Pengedar:
Malik Streams Corporation

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan seorang lelaki daripada keluarga sederhana bernama Manohar yang dikenali sebagai Mr. Local oleh orang-orang di sekelilingnya. Pada suatu hari, berlakunya satu  insiden kemalangan yang menemukan Manohar dengan seorang gadis bernama Keerthana Vasudevan yang sangat ego dan angkuh. Disebabkankan Keerthana enggan meminta maaf kepada Manohar menyebabkan mereka berdua mula memusnahkan antara satu sama lain dengan pelbagai kejadian yang melucukan. Namun, masing-masing kelihatan mula jatuh cinta sebelum salah seorang daripada mereka sebenarnya hanya berpura-pura demi membalas dendam. Siapakah sebenarnya yang menjadi mangsa di dalam hal ini? Saksikan filem yang menghiburkan ini di pawagam berhampiran anda bermula 17 Mei 2019 untuk mengetahui keseluruhan kisahnya.

Ulasan:

Alhamdulillah kami di portal filem Rollo De Pelicula telah berjaya menonton filem Mr. Local di GSC IOI Mall Puchong pada 17 Mei 2019 yang lepas. Filem yang membariskan dua nama besar dalam industri filem Tamil ini dilihat mendapat tempat dan masa tayangan yang sangat banyak di kebanyakan pawagam tempatan yang gemar menayang filem Tamil. Jadi, kami mengambil keputusan untuk menonton lakonan bintang Sivakarthikeyan dan Nayanthara untuk mengetahui apa sebenarnya yang menjadi punca filem ini menjadi tarikan buat penonton-penonton filem Tamil.


Filem Mr. Local ini sebenarnya mengisahkan tentang seorang lelaki kelas pertengahan bernama Manohar yang bertemu dengan seorang wanita kelas atasan iaitu Keerthana Vasudevan yang merupakan pemilik sebuah syarikat hiburan iaitu KV Entertainment dalam sebuah kemalangan kecil dan permulaan daripada situ menyebabkan kedua-dua mereka saling membenci antara satu sama lain. Babak-babak selepas kejadian ini dilihat agak menarik, lucu dan menghiburkan kerana kami dapat melihat bagaimana wanita bernama Keerthana Vasudevan lakonan pelakon Nayanthara ini menampilkan satu persembahan lakonan yang memukau. Emosinya yang cukup egois dan permainan ekspresi wajahnya amat tepat dan meyakinkan untuk anda memahami karakter Keerthana ini dengan lebih dekat. Begitu juga dengan watak Manohar yang dibawakan oleh Sivakarthikeyan yang berjaya disesuaikan dengan setiap situasi filem ini yang kerap kali turun naik tanpa haluan yang tetap. Segala-galanya dilihat berjaya lancar sebelum jalan cerita filem ini mula kelihatan seperti terlalu malas ditulis apabila tibanya babak di bandaraya Paris yang membongkarkan segala-galanya yang menjadi misteri di dalam filem ini.


Segala seperti tidak kena pada babak klimaks dan pengakhiran filem Mr. Local ini kerana penulisan ceritanya yang tidak meyakinkan dan gagal memanipulasikan fikiran kami untuk menerima apa yang yang dipersembahkan. Segala-galanya seperti tiada kesinambungan dan bagaimana emosi dan kehendak sebenar watak Manohar dan Keerthana juga sebenarnya terlalu mengelirukan dan tidak masuk akal. Ia sebenarnya tidak ada sebarang masalah untuk menjadikan filem ini berada di dalam kategori komersial namun perkembangan plot yang kelihatan sangat malas pada 1/4 bahagian akhir filem ini sebenarnya telah memusnahkan apa yang telah dibina dengan cantik pada 3/4 bahagian filem sebelum ini. Kisah di penjara juga sangat mengelirukan kerana tempoh tahanan Manohar juga tidak dimaklumkan dan kami mengakui perkara ini sangat mengganggu tontonan dan fokus kami terhadap filem Mr. Local ini. Syukur kepada elemen komedi filem ini yang setidak-tidaknya berjaya menyelamatkan filem ini daripada terus dirundung malang akibat penulisan ceritanya yang tidak berfungsi pada pengakhirannya.


Filem Mr. Local ini sebenarnya mampu menjadi lebih baik jika penceritan ini filem ini lebih berani mengekalkan konsep menentang arus komersial seperti mana yang telah dipaparkan pada separuh masa pertama filem ini yang cukup menghiburkan. Sayangnya ia tumpas dek kerana terlalu mengejar nilai komersial sehingga kelihatan seperti membazirkan kehebatan dua pelakon hebat Sivakarthikeyan dan Nayanthara yang merupakan daya tarikan utama filem ini. Kesimpulannya, filem ini menghiburkan tetapi tiada sebarang yang menarik boleh anda peroleh selepas selesai menonton filem ini. Lebih kepada kaedah kitar semula yang mengikut jejak filem-filem komedi romantik Tamil sebelum ini yang berakhir dengan kisah yang sudah boleh diramal sejak awal.


Jadi, selamat menonton filem Mr. Local di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 17 Mei 2019 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Selepas Ini Ialah Sebuah Filem Seram Berjudul Polaroid. Nantikan Ulasannya!

Catat Ulasan

0 Ulasan