Review Filem The Big Trip


Filem:
The Big Trip

Penilaian:
3/10

Pengarah:
Natalia Nilova

Genre:
Animasi, Pengembaraan & Komedi

Tarikh Tayangan:
6 Jun 2019

Pengedar:
TGV Pictures

Sinopsis:

Filem ini mengisahkan seekor burung upeh yang cuai membuat kesilapan menghantar anak panda ke alamat yang salah. Bagi memperbaiki kesilapan itu, sekumpulan haiwan liar yang terdiri daripada beruang, moose, harimau dan arnab perlu bekerjasama untuk mengembalikan anak panda itu ke pangkuan keluarganya. Saksikan filem animasi ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 6 Jun 2019 untuk mengetahui kisah selanjutnya.


Ulasan:

Alhamdulillah pihak Rollo De Pelicula mendapat jemputan daripada pihak TGV Pictures untuk menghadiri tayangan media filem The Big Trip bertempat di TGV One Utama pada 30 Mei 2019 yang lepas. 


Untuk pengetahuan semua, filem animasi The Big Trip ini merupakan sebuah karya animasi dari negara Rusia. Jadi, kami merasakan jalan ceritanya mungkin lebih dekat dengan masyarakat disana berbanding dengan kami yang berada di Malaysia. 


Menurut pandangan ikhlas kami, filem The Big Trip ini berkemungkinan besar akan diterima baik oleh penonton kanak-kanak kerana jalan ceritanya yang sangat ringan, bersifat mendidik dan tidak menampilkan plot penceritaan yang berat. Namun, buat kami sebagai penonton dewasa pula berasakan sebaliknya dimana karya ini sangat membosankan disebabkan ia terlalu mesra kanak-kanak berbanding penonton dewasa.


Berbeza dengan filem animasi yang mempunyai watak-watak haiwan lain, filem The Big Trip tidak menampilkan konflik-konflik menarik yang boleh kami rasakan. Ia berbeza dengan filem-filem sealiran dengannya sebagai contoh filem Madagascar dimana filem tersebut mempunyai konflik tentang kehidupan yang sangat menarik dan membuatkan kita sebagai penonton dewasa turut berasa teruja sama seperti mana penonton kanak-kanak. 


Tetapi, The Big Trip sangat lemah dari segi memberi tarikan menarik atau umpan istimewa buat penonton dewasa untuk setia menonton sehingga akhir. Pengembangan kisah setiap wataknya boleh dikatakan agak meleret dan ada beberapa babak yang kelihatan cuba untuk dijadikan komedi tetapi kurang menjadi. Kisah yang meleret ini kelihatan seperti membazir masa dan objektif utama filem ini tentang misi memulangkan anak panda kepada ibu bapanya seakan-akan tenggelam dek kisah penerangan setiap watak-watak haiwan lain ini. 


Walaupun animasinya tidak lah sehebat syarikat animasi Hollywood seperti Disney, Pixar dan sebagainya namun kami merasakan hasil animasinya masih kelihatan menarik walaupun bukan untuk keseluruhannya. Kesimpulannya, filem ini memang sesuai untuk tontonan kanak-kanak dan mereka pasti menyukainya. Tetapi, untuk penonton dewasa pula, kami merasakan ia bagaikan satu penderaan emosi untuk menonton filem ini sehingga ke penamat. 


Jadi, selamat menonton filem The Big Trip di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 6 Jun 2019 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Pihak Admin Rollo De Pelicula Ingin Mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri Dan Maaf Zahir Batin Buat Semua Pengikut Dan Pembaca Portal Filem Kami. 

Catat Ulasan

0 Ulasan