17/09/19

Review Filem Dendam Pontianak


Filem:
Dendam Pontianak

Penilaian:
4/10

Pengarah:
Glen Goei & Gavin Yap

Genre:
Seram & Romantik

Pelakon:
Nur Fazura, Remy Ishak, Hisyam Hamid, Shenty Feliziana, 
Namron, Tony Eusoff, Nadiah M. Din, Nadia Aqilah& Etc.

Tarikh Tayangan:
12 September 2019

Pengedar:
Primeworks Studios

Sinopsis:
Filem yang berlatar belakang tahun 1965 ini mengisahkan Khalid dan Siti yang sedang membuat persiapan perkahwinan mereka sambil dibantu oleh penduduk kampung. Tidak lama selepas itu, penduduk kampung dilanda ketakutan apabila kejadian aneh mula menguasai kampung tersebut, termasuk kematian ngeri serta perkara ghaib menakutkan mengganggu mereka. Situasi tersebut menyebabkan Khalid mengaku dia telah membunuh seorang gadis yang mengandungkan anaknya suatu masa dahulu. Gadis itu dipercayai kini kembali untuk membalas dendam sebagai Pontianak. Khalid kemudian mengumpulkan semua pemuda kampung itu untuk memburu Pontianak tersebut. Saksikan filem seram ini di pawagam berdekatan anda bermula pada 12 September 2019 ini untuk mengetahui kisah seterusnya.

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah berjaya menonton sebuah filem seram berjudul Dendam Pontianak di MMcineplesex eCurve pada 16 September 2019 yang lepas. Seperti anda semua sedia maklum, pontianak merupakan salah satu kisah hantu lagenda yang selalu disebut-sebut oleh masyarakat Melayu khususnya yang berada di Malaysia, Indonesia, Singapura dan Brunei. Untuk Malaysia, filem pontianak era baru yang selalu menjadi sebutan dan rujukan ramai semestinya ialah filem Pontianak Harum Sundal Malam yang berjaya membawakan kisah mitos serta kebudayaan yang tinggi untuk dikaji dan dipelajari secara mendalam oleh para peminat dan penonton filem tempatan.


Kami tidak pernah sesekali mengharapkan Dendam Pontianak menjadi filem kedua atau filem saduran kepada Pontianak Harum Sundal Malam. Jadi, apabila pada permulaan kami melihat filem ini mempunyai identiti awal yang tersendiri maka ia adalah satu permulaan yang positif. Babak awal yang banyak dibantu oleh sinematografi filem ini yang cukup menawan serta latar belakang muziknya adalah satu gabungan yang memberi kami satu harapan bahawa filem ini mampu memberi sesuatu yang cukup istimewa. Namun, sayangnya jangkaan kami yang terlalu tinggi ini sememangnya meleset sama sekali kerana filem ini memberikan kami satu pengalaman menonton yang serba tidak kena bermula pertengahan sehingga kepada peringkat yang mendukacitakan di akhir kisahnya. 



Walaupun filem Dendam Pontianak dilihat agak cemerlang dari sudut busana serta bagaimana mereka menyesuaikan dengan latar tahun 1965 yang dilihat meyakinkan tetapi kami melihat kelemahan utama filem ini ialah tentang pengolahan jalan ceritanya. Cara penyampaian filem ini berkaitan jalan ceritanya terlalu mudah sehingga terlepas pandang kepada perkembangan kisah watak-wataknya kelihatan lompong di sana sini. Penceritaan watak bomoh lakonan Namron tidak mempunyai penerangan yang jelas. Kehadiran Wan Hanafi Su sebagai ketua kampung pula telah disia-siakan. Fokus terhadap watak kanak-kanak lelaki Nik yang merupakan anak Khalid juga dilupakan. Ianya menjadi lebih mengecewakan apabila tiba kepada bahagian akhir yang penting dimana ia memaparkan lakonan para pelakon hebat yang kelihatan begitu kekok, tiada daya pengaruh dan tampak tiada keserasian. Adegan watak Mina di kebun pisang yang menangis kesedihan dan meluahkan kemarahan kepada watak Khalid selepas menyedari anaknya tidak bernafas bukan sahaja lemah tetapi langsung tiada jiwa kesakitan dan baran yang sepatutnya. Adegan Khalid sama ada sewaktu hilang kesedaran mahu pun adegan di hujung tanduk saat berdepan pontianak juga kelihatan terlalu mendatar. Kami sendiri yang menonton apa sebenarnya yang terjadi kepada lakonan pelakon-pelakon hebat di dalam filem ini kerana lakonan mereka di dalam filem-filem sebelum ini tidak pula kelihatan seperti yang kami tonton di dalam filem Dendam Pontianak. Satu perkara yang mengecewakan buat kami!



Kami secara positif melihat filem Dendam Pontianak ini cuba menukar mitos yang telah dipercayai masyarakat kita sejak sekian lama dimana penggunaan paku yang sebelum ini kita fahami untuk menukarkan pontianak menjadi seorang wanita jelita diubah fungsinya kepada membunuh pontianak. Walaupun bagi kami hal ini terlalu janggal namun ianya tidak lah sehingga merosakkan momentum jalan cerita. Kemudian, sekali lagi filem ini cuba membawa sesuatu yang bertentangan dimana pontianak ini tidak terbang tetapi kakinya boleh menjejak tanah. Menariknya, ia bukan sekadar menjejak tanah namun boleh berjalan kesana kesini berkaki ayam tanpa sebarang masalah. Situasi aneh ini sebenarnya telah mengurangkan serba sedikit elemen seram yang sepatutnya ada di dalam filem ini tetapi ianya masih tidak mengganggu lagi fokus kami.  Namun kejanggalan ini semakin bertambah apabila acap kali kemunculan pontianak yang dilakonkan oleh Fazura ini muncul dalam keadaan yang jelita. Bayangkan dimana skor bunyi, sinematografi, pengcahayaan dan permainan kamera sudah berjaya membantu menaikkan elemen seram di dalam pandangan penonton namun ianya dimusnahkan secara mudah oleh kemunculan watak pontianak ini yang langsung tidak menyeramkan. Sayangnya ini semua berlaku di dalam filem Dendam Pontianak.



Kami turut melihat filem Dendam Pontianak cuba lari daripada stigma dialog lama yang meleret-leret dan lebih gemar bermain dengan dialog penuh berbahasa melayu yang mempunyai aura sebutan baku. Walaupun susunan ayat yang ada di dalam dialog para pelakonnya tidak terlalu tinggi maksud tersiratnya seperti di dalam filem Pontianak Harum Sundal Malam namun ianya masih membantu untuk kita merasakan bahawa ia adalah sebuah filem berlatar belakangkan tahun 60-an. Namun, percayalah kami sememangnya sangat kecewa dengan babak-babak klimaks di dalam filem ini terutamanya apabila ia bermula dengan babak orang kampung yang memburu pontianak. Bayangkan sebelum itu, seluruh penduduk kampung turun dengan perasaan marah yang meluap-luap untuk menghukum keluarga Khalid sebelum tiba-tiba ianya hilang begitu sahaja tanpa sebab musabab yang meyakinkan. Lebih menyedihkan apabila melihat adegan Pontianak berkungfu atau bersilat dimana kami merasakan seperti ia adalah lakonan pelakon lagak ngeri dan bukannya Fazura. Maksudnya disini ialah kami merasakan seperti sedang menonton dua susuk tubuh yang memaparkan pergerakan dan lenggok yang berbeza dimana satu kelihatan feminin manakala satu lagi kelihatan maskulin. Bagi kami babak akhir filem kelihatan dilakukan dengan sangat tergesa-gesa sehinggakan elemen melodrama yang cuba disuntik pada penamat kisahnya juga kelihatan tidak punyai aura yang hebat seperti mana permulaan filem ini. Secara keseluruhannya, filem ini masih menghiburkan untuk ditonton tetapi kelompongan kisah watak, kronologi serta bagaimana mitosnya disampaikan bertentangan dengan kepercayaan yang asal sememangnya membuatkan kami sukar untuk menikmatinya dengan kegembiraan yang maksimum.


Jadi, selamat menonton filem Dendam Pontianak di pawagam terpilih bermula pada 12 September 2019 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Akan Kami Ulas Ialah Filem Aksi Berjudul Rambo Last Blood. Nantikan Ulasannya!

4 ulasan:

  1. Agak terkejot saya baca ulasan Hans yang memberi penilaian agak rendah pada film ini. Setuju, pelakon semua hebat, produksi dan teknikal film nya pon hebat juga. Tapi apa yang diterang oleh Hans sudah semestinya film ini mendapat penilaian seperti itu. Sayang, peluang tidak digunakan sebaik nya. Takpe... yang saya nak tahu dan baca adalah ulasan film hero favourite saya, Encik RAMBO, heheh...

    BalasPadam
    Balasan
    1. filem ini menghiburkan untuk ditonton tetapi Hans memang tengok benda lain juga selain hiburan :)

      Padam
    2. Yes... itulah antara sebab saya suka baca ulasan Hans. Bukan setakat penilaian dari sudut hiburan, Hans amat mengambil berat dan menilai dari segi plot, penceritaan, lakonan, teknikal, cinematografi, efx, jenis cinema dan termasuk berbaloi ke tak dgn masa dan wang yg dilaburkan utk tonton film tersebut... detail. You're the best

      Padam
    3. terima kasih
      alhamdulillah kalau setiap ulasan membantu para pembaca

      Padam